Bintang kelahiran Akademi Fantasia Musim ke 3 Marsha Londoh akhirnya mengakui beliau sudah jemu menerima tawaran lakonan dengan watak yang sama. Malah beliau merasakan sudah sampai masanya beliau tampil dengan lakonan yang lebih serius berbanding watak gedik dan manja yang diterimanya sebelum ini.
Mengambil contoh aksi Marsha melalui telefilem Kum Kum, ramai yang mengharapkan agar Marsha diberi watak-watak yang berbeza kerana tidak mahu peminatnya merasa muak dengan lakonan beliau.
Meskipun ramai yang menyangka beraksi gedik dan seksi ialah kehendak sebenar pelakon jelita ini, namun sewaktu menghadiri majlis pelancaran drama bersiri Bicara Hati yang diadakan di sebuah restoran di Jalan Ampang baru-baru ini, Marsha membuat kejutan bahawa dia sebenarnya sudah jemu membawakan watak sebegitu.
“Sejujurnya saya sendiri sudah jemu untuk membawakan watak begitu. Sebaik saja dapat skrip, saya lihat watak yang diberikan sama saja dengan apa yang pernah saya lakonkan sebelum ini. Kalau ikutkan hati, memang saya mahu menolak tawaran itu. Namun apabila mendapat tahu drama ini adalah arahan Osman Ali dan juga ia adalah projek besar Astro, lantas saya terima.
“Mujurlah dalam drama ini, pengarah meminta saya supaya membawakan watak gedik yang tidak keterlaluan. Jadi saya kena kawal tahap kegedikan itu supaya tidak kelihatan berlebihan.
"Watak Linda juga tetap ada cabarannya kerana saya perlu menghisap rokok dan minum, sedangkan saya tidak pernah melakukan perkara itu dalam kehidupan seharian. Memang ada kesukarannya di situ,” ujarnya lagi.
SATU perkara yang cukup positif dalam diri pelakon ini ialah sifatnya yang jujur. Meskipun banyak kecaman dan kata-kata negatif yang dilemparkan terhadapnya, hanya kerana dia tidak pernah berahsia mengenai kisah cinta, Marsha tetap mahu berkongsi cerita peribadinya itu.
Tanpa berselindung, Marsha mengakui kini menjalinkan hubungan rapat dengan jejaka kerabat Pahang yang hanya dikenali sebagai Tengku Burn.
“Ya, saya memang menjalinkan hubungan dengan dia ketika ini. Kami sudah lama berkenalan, iaitu sebelum dia melanjutkan pelajaran ke luar negara. Selepas dia pulang dari luar negara, barulah hubungan itu terjalin kembali. Buat masa ini kami hanya berkawan dan belum terfikir sehingga ke peringkat lebih serius. “Apapun, keluarga kami mengetahui hubungan ini dan mereka mengenali dirinya,” luah Marsha.
Sementara itu, mengulas kerjaya nyanyiannya yang dilihat begitu suram sejak kebelakangan ini, Marsha mengakui hakikat itu.
“Dari segi undangan nyanyian, memang tak pernah putus. Cuma saya tak ada cerita terbaru mengenai dunia muzik. Lagipun saya sudah bertukar pengurusan dan pihak pengurusan baru masih dalam perancangan untuk merencana kerjaya nyanyian saya.
“Selain itu kesibukan saya berlakon membuatkan tumpuan terhadap bidang nyanyian terpaksa dikurangkan. Mungkin selepas ini saya kena aktif balik,” katanya yang kini mempromosikan single terbaru berjudul Tak Perlu Selamanya.
Mengenai sambutan Krismas yang bakal menjelang, Marsha berkata, besar kemungkinan dia tidak akan pulang ke kampung dan hanya meraikannya di Kuala Lumpur (KL).
“Abang dan kakak saya ada di sini, jadi mungkin kami akan berkumpul di KL saja. Lagipun kami baru saja kematian datuk lebih sebulan lalu. Jadi kami tidaklah beriya-iya untuk menyambutnya,” katanya mengakhiri perbualan. - klpos
No comments:
Post a Comment