24 February 2012

Himpunan Hijau 2.0 : Padang MPK atau banjiri jalanraya Kuantan

KUALA LUMPUR, 24 Feb: Dua hari menjelang Himpunan Hijau 2.0 bagi membantah pembinaan pusat memproses nadir bumi Lynas Advanced Materials Plant (LAMP), lokasi tapak perhimpunan yang dicadang iaitu Padang MPK(1) telah dipagar dan ditutup untuk orang ramai.

“Alasan untuk menaiktaraf padang adalah tidak masuk akal memandangkan tiada cacat celanya padang tersebut menurut pandangan ramai,” kata Pengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Edy Noor Reduan.

Katanya, SAMM melihat penutupan Padang MPK(1) adalah satu tindakan bacul dan tidak 'gentleman' oleh seorang menteri besar yang telah berada di tampuk kuasa selama berbelas tahun.

Justeru, ujarnya hasrat Menteri Besar Pahang untuk melihat sejauh mana sokongan anti-lynas berlangsung di Kuantan adalah satu lagi retorik apabila satu demi satu halangan terancang diwujudkan.


Menurutnya, pada peringkat awal iaitu dua hari lalu, sebuah notis telah memberi maklum bahawa MPK akan menganjurkan perlawan Futsal di padang yang sama manakala hari ini pula padang tersebut telah dipagar.

Ini, tambahnya tindakan terdesak oleh pihak yang takut akan kebangkitan rakyat khususnya menjelang perhimpunan anti-lynas.

“Tindakan ini juga memberi gambaran betapa Menteri Besar Pahang panik sesudah memberi lampu hijau untuk rakyat berhimpun secara aman menyatakan bantahan.

“Di atas penipuan ini juga, rakyat yang akan hadir dalam Himpunan Hijau tidak mempunyai pilihan apabila padang yang sepatutnya cukup untuk memuatkan 20 ribu kehadiran yang dijangka, akan melimpah ke seluruh jalan raya di bandar Kuantan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, SAMM memberi kata dua buat kerajaan negeri Pahang sama ada untuk membuka kembali padang MPK(1) atau bertanggungjawab di atas kebanjiran demonstran ke jalan raya seluruh bandar Kuantan selama beberapa jam himpunan berlangsung.

Beliau menambah, jika jalan raya adalah pilihan, sila beri kerjasama dengan menjaga lalulintas dan kawalan trafik.

“Akhir, SAMM mengambil kesempatan ini untuk menyeru rakyat dari seluruh pelosok negara supaya turut sama hadir berhimpun 26 Febuari ini di Kuantan dan beberapa spot lain untuk menyatakan bantahan terhadap pembinaan pusat janakuasa yang berorientasikan radiasi,” ujarnya.

Katanya, semua harus percaya projek Lynas ini bukan hanya masalah untuk rakyat negeri pahang tetapi juga merupakan malapetaka berjangka buat setiap rakyat di seluruh negara. - Harakah Daily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive