06 March 2012

Kemelut Kedah : Kuasa MB dihadkan

Jawatankuasa Pemandu ditubuh pantau Azizan tadbir, urus negeri

KUALA LUMPUR: Krisis dalaman kerajaan Kedah berikutan penolakan dua EXCO terhadap pentadbiran Datuk Seri Azizan Abdul Razak memaksa PAS menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pemandu yang akan bertanggungjawab memantau Menteri Besar mentadbir dan menguruskan negeri, sekali gus mengehadkan kuasanya.

Walaupun kemelut itu dilihat selesai selepas dua EXCO terbabit, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr Ismail Salleh bersetuju menyertai semula barisan EXCO negeri, jawatankuasa berkenaan antara lain berfungsi memberi pandangan mengenai apa yang dirasakan perlu oleh PAS Pusat dalam tugas Azizan mengurus dan mentadbir Kedah.


Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali pada sidang media di ibu pejabat PAS di sini, semalam selepas diputuskan oleh mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat di Alor Star, pada Sabtu lalu.

Bagaimanapun, Phahrolrazi ketika mengumumkan keputusan beliau dan Dr Ismail menyertai barisan EXCO negeri di Alor Star petang semalam, berkata jawatankuasa itu akan berfungsi sebagai kuasa pemutus tertinggi, sekali gus membolehkan sebarang percanggahan pendapat di kalangan EXCO, termasuk dengan Menteri Besar diselesaikan di peringkat jawatankuasa itu.

Namun, Mustafa ketika ditanya mengenai peranan jawatankuasa itu menjelaskan ia tidak akan mencampuri urusan pentadbiran Menteri Besar secara terus tetapi akan memberikan pandangan dalam beberapa perkara yang dirasakan perlu oleh PAS Pusat.

"Kita tidak campur pentadbiran secara ‘per se’ (secara khusus). Tidak boleh campur, tetapi kita boleh berikan pandangan mengenai perjalanan (pentadbiran) negeri itu. Kerajaan yang kita (PAS) pimpin itu atau yang kita terbabit secara langsung (bertanggungjawab) maklumkan program yang dijalankan dan kita boleh beri pandangan kita," katanya pada sidang media yang turut dihadiri dua Naib Presiden PAS, iaitu Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar.
Beliau berkata, keanggotaan jawatankuasa berkenaan akan diputuskan dalam mesyuarat parti pada 12 Mac ini.

Kemelut dalam pentadbiran PAS Kedah bermula dua minggu lalu apabila Phahrolrazi, yang juga EXCO kanan bersama Dr Ismail menolak untuk dilantik semula ke jawatan itu beberapa hari sebelum majlis angkat sumpah jawatan berlangsung di Istana Anak Bukit.

Berikutan itu, pelbagai usaha memujuk mereka menerima semula pelantikan tetapi Phahrolrazi dan Dr Ismail bertindak berani apabila menetapkan syarat kepada Menteri Besar untuk dilantik semula ke jawatan itu.

Keengganan mereka menyertai barisan EXCO Azizan dikatakan ada kaitan dengan desakan daripada penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam PAS atau kumpulan Anwarinas yang tidak setuju dengan pemimpin tertentu, termasuk Azizan bagi memastikan kelangsungan agenda politik mereka.

Mustafa berkata, jawatankuasa sama pernah diwujudkan selepas pilihan raya umum pada 2008 untuk memberikan pandangan berkaitan soal pengurusan, kelicinan dan pentadbiran negeri itu.

Mengenai laporan yang menyatakan Phahrolrazi ada menetapkan syarat supaya beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kedah, Mustafa berkata, perkara itu tidak berbangkit kerana semua keputusan dibuat dalam mesyuarat yang dipengerusikan sendiri oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Inilah hasilnya, inilah keputusan yang dibuat dan kita yakin ia boleh diselesaikan. Semua yang terbabit sebelum ini menyerahkan kepada PAS Pusat untuk membuat keputusan dan ia sudah pun diputuskan," katanya.

Ditanya sama ada isu itu akan menjejaskan peluang PAS Kedah untuk kekal berkuasa di negeri itu, Mustafa berkata, ia sama sekali tidak berbangkit malah yakin Kedah akan kekal di bawah PAS.- Berita Harian

1 comment:

Anonymous said...

Gembira dan sedih..itulah perasaan aku untuk penyelesaian kemelut Pas kedah. Gembira aku kerana jalan keluar telah dicapai dan mungkin perasaan ini dikongsi oleh kem pendesak (2 exco_)namun aku sedih dengan penubuhan j/k pemandu bagi membantu pentadbiran MB. Apa pun keputusannya adalah hak pusat.....

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive