21 May 2012

Motif Dakwaan Terhadap Anwar Dan Azmin Untuk Halang Tanding PRU13

SHAH ALAM - Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presidennya, Azmin Ali akan dikenakan dakwaan berhubung penyertaan dalam perhimpunan Bersih 3.0 di kawasan Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 28 April lalu di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur esok.

Kenyataan media dikeluarkan pejabat Azmin berkata wakil rakyat itu telah diminta hadir di Mahkamah Majistret Jalan Duta atas dua pertuduhan masing-masing di bawah Akta Perhimpunan Aman dan Kanun Keseksaan.

"Beliau (Azmin) diminta hadir ke Mahkamah pada jam 9 pagi, Selasa, 22 Mei 2012," kata kenyataan itu.

Kenyataan media diperoleh dari blog Anwar menyebut beliau telah diperintahkan hadir di mahkamah yang sama, juga jam 9 pagi untuk menghadapi dakwaan di bawah Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan "boleh dihukum dibawah Seksyen 4(3)Akta yang sama kerana menyertai perhimpunan Bersih 3.0.


"Perintah tersebut dimohon oleh Ketua Polis Daerah Dang Wangi," kata kenyataan itu.

Sementara itu, salinan pertuduhan yang diedarkan kepada media menyebut bahawa "bahawa kamu (Azmin) pada 28 April 2012, di antara 2.30 dan 3 petang, di sepanjang Jalan Tun Perak di dalam Bandar Raya Kuala Lumpur, dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, telah menyertai satu protes jalanan bagi maksud membantah perintah Mahkamah Majistret di bawah Seksyen 98 Kanun Tatacara Jenayah yang telah dibuat pada 26 April 2012 oleh Majistret Zaki Asyraf Zubir, seorang penjawat awam, yang mana perintah tersebut melarang sebarang perhimpunan di Dataran Merdeka iaitu kesemua permukaan tanah yang disempadani Jalan Sultan Hishamuddin, Jalan Raja dan Jalan Kelab kecuali kawasan yang diduduki oleh Kelab Diraja Selangor, dan orang awam diberi amaran agar tidak hadir, berada atau mengambil apa-apa bahagian dalam apa-apa perhimpunan dari 28 April 2012 hingga 1 Mei 2012; dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(3) akta yang sama."

Kedua-dua pemimpin itu antara mereka yang menyertai perhimpunan yang diadakan di ibu negara, anjuran Bersih 2.0, bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil.

Dalam pada itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor mengecam tindakan polis yang menyerahkan writ saman ke atas Anwar dan Azmin dan menyifatkan itu tidak lebih dari satu tindakan politik.

"AMK Selangor mempersoalkan asas pertuduhan itu yang dlihat amat tergesa-gesa untuk mengheret dua pemimpin utama PKR ini ke mahkamah sekali gus satu percubaan berniat politik untuk menghukum keduanya dibawah Seksyen 4(3) yang boleh menyebabkan mereka hilang kelayakan untuk bertanding pada pilihan raya akan datang.

"Justeru AMK Selangor merasa terpanggil untuk menggerakkan rakyat untuk turun beramai-ramai esok, ke Mahkamah Jalan Duta bagi menyatakan sokongan padu terhadap percubaan terbaru regim Najib Razak yang cuba menggunakan kuasa kehakiman bagi menghalang kemaraan Pakatan Rakyat yang dilihat semakin mendapat sokongan padu rakyat Malaysia," kata Naib Ketua AMK Pusat, Azmizam Zaman Huri dalam satu kenyataan berasingan.

Beliau yang juga Ketua AMK Selangor berkata, pihaknya juga tidak teragak-agak untuk mobilisasi perhimpunan rakyat yang lebih besar bagi membantah usaha jahat ini, yang dipercayai antara langkah terakhir regim untuk menafikan tertegaknya kerajaan Pakatan Rakyat di Putrajaya.

- Sinar Harian

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive