‘Seperti mati hidup semula’
Raju adalah mangsa terakhir yang dikeluarkan dan dia kini dirawat di Hospital Besut.
JERTIH - “Saya seperti mati hidup semula. Jika tidak segera dijumpai dan diselamatkan, pasti saya sudah tiada...” demikian kata Raju, buruh warganegara Bangladesh yang paling akhir berjaya dikeluarkan dalam runtuhan astaka di Padang Astaka, Gong Kemuntong, Jertih, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1 petang itu, Raju, 42, bersama lima lagi rakan sekerja iaitu dua rakan senegaranya dan tiga warga Indonesia terperangkap di dalam runtuhan tersebut.

Raju yang sudah lima tahun bekerja di negara ini berkata, sebelum kejadian dia bersama dua rakan berada berdekatan, melakukan kerja menyimen pentas astaka itu, apabila tiba-tiba struktur lantai tempat dia berdiri runtuh.

“Pandangan saya gelap dan saya nampak struktur binaan terutama konkrit menghempap kami,” katanya yang ketika itu menyangka tidak akan bertemu lagi isteri dan tiga anaknya
yang berada di Bangladesh.



Pedih bila simen keras mencengkam pinggang

"Saya berasa ajal sudah tiba bila sebahagian badan dan tangan yang berada di dalam simen semakin mengeras berikutan terperangkap selama hampir tiga jam sebelum berjaya dikeluarkan pada 3.35 petang."

Menurut Raju, dia berasa amat pedih kerana simen jenis cepat keras itu mencengkam bahagian pinggang, kaki dan tangannya.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana cepat diselamatkan dan dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan untuk menjalani pemeriksaan mata akibat termasuk sisa simen, sebelum ditahan di wad Hospital Besut,” katanya.

Akibat kemalangan itu, Raju mengalami kesakitan pada kedua dua belah mata selain sakit bahagian belakang badan manakala kaki dan tangannya melecet.


Ucap dua kalimah syahadah tanpa henti

SEMENTARA itu, seorang lagi buruh yang terperangkap, Munawir Pusahwi, 21, dari Madura, Indonesia berkata, dia mengucap dua kalimah syahadah sepanjang terperangkap kerana
menjangkakan peluangnya untuk hidup sangat tipis berikutan sisa runtuhan itu berada di atas kepala.

Katanya, dia turut dikelilingi besi tajam manakala kakinya tenggelam dalam simen yang semakin mengeras.

“Jika lambat diselamatkan mungkin kami akan mati dalam simen yang mengeras itu. Saya baru lapan bulan bekerja di sini dan pengalaman ini amat menakutkan, namun saya bersyukur kepada ALLAH SWT kerana selamat,” katanya.

Munawir yang masih dirawat di wad bersama Raju turut berterima kasih kepada pasukan penyelamat dan rakyat negara ini yang berusaha keras menyelamatnya dan rakan.


Tiang tumbang, bahagian lain turut runtuh

SELAIN Raju dan Munawir, seorang lagi warga Indonesia, Fendi, 20, masih dirawat di Wad 6 hospital berkenaan manakala seorang lagi warganegara Bangladesh, Zilo yang mengalami
kecederaan pada bahagian mata akibat termasuk pasir masih dirawat HUSM.

Dua yang lain hanya dirawat sebagai pesakit luar iaitu Ari Ramlan, 31, dan Suksan Ali, 25. Ari berkata, ketika kejadian, dia bersama dua yang lain berada berdekatan Suksan dan Fendi manakala tiga lagi berada di bahagian tengah.

“Selepas menuang simen yang diangkut dengan kren di tapak projek itu, tiba-tiba salah satu tiang yang berada di tengah pentas tersebut tumbang menyebabkan bahagian lain turut
runtuh.

“Kami tidak sempat menyelamatkan diri dan saya fikir nyawa saya akan berakhir pada hari itu kerana terperangkap dan berada dalam simen cair,” katanya yang terbayangkan anak perempuannya, Normaisarah, 5, tahun yang berada di Surabaya, Indonesia bersama neneknya.

Ketika itu, dia tidak risaukan isterinya, Norhayati, 32, juga dari Surabaya kerana berada di luar bangunan dan sedang memasak makanan untuk mereka.

Menurutnya, dia bersama Fendi dan Suksan antara tiga terawal dikeluarkan oleh pemandu kren yang bertindak mengangkat runtuhan itu kerana kedudukan mereka hanya di tepi.


Siasatan akan dijalankan

“SAYA, Munawir dan Fendi hanya dipinjamkan melakukan kerja konkrit di tapak projek itu pada hari berkenaan. Kami sebenarnya bekerja di tapak projek membina bangunan kedai
di Kuala Krai, Kelantan,” katanya yang ditemui di pekarangan Hospital Besut, semalam.

Dia turut mendoakan semua rakan sekerjanya segera sembuh dan bersyukur kerana kesemua mereka tidak mengalami kecederaan parah.

Sinar Harian difahamkan sepasukan pegawai dari Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Kuala Lumpur tiba di kawasan runtuhan pagi semalam bagi meninjau dan menyiasat kejadian tersebut.

Projek pentas tempat duduk bersaiz anggaran 6X9 meter persegi dengan kos kira-kira RM300,000 itu hampir 30 peratus siap dan dijangka boleh digunakan pada hujung tahun ini.

Sumber memberitahu, status sebenar projek itu akan diputuskan pada mesyuarat khas Ahad ini.