SAYA ingin merujuk kepada kenyataan Abdullah Samaah yang dikeluarkan oleh sebuah akhbar perdana berkaitan haram menyokong DAP kerana mereka merupakan kafir harbi. Istilah kafir harbi merupakan istilah fiqh yang membawa konotasi suasana zaman perang di antara wilayah Islam di zaman dahulu dengan negara musuh.

Kafir harbi adalah merujuk kepada negara musuh yang berperang dengan Muslim di mana darah mereka adalah halal ditumpahkan kerana ia dalam suasana perang, di mana kafir harbi itu sendiri berusaha membunuh umat Islam. Kafir harbi adalah wajib diperangi di peringkat negara di atas dasar peperangan.

Di zaman ini, warga atau rakyat non-Muslim yang tinggal bersama umat Islam tidak dikira sebagai kafir harbi. Malah pengklafikasian harbi atau dimmi yang digunakan oleh ulama klasik telah diperbaiki oleh ulama moden memandangkan negara-negara moden mempunyai konsep kewargenegaraan yang memberikan hak dan tanggungjawab yang saksama di antara Muslim dan non-Muslim.

Pengklafikasian Abdullah Samaah bahawa DAP adalah kafir harbi adalah tidak tepat sama sekali, malah membahayakan. Beliau seolah-olah memberikan lampu hijau untuk umat Islam memerangi parti DAP. Bahkan dalam DAP terdapat juga di kalangan pemimpin dan juga ahli mereka yang Muslim.

'Fatwa' Abdullah yang juga memberikan konotasi bahawa umat Islam di Malaysia sekarang hidup dalam suasana peperangan dan permusuhan dengan rakyat bukan Islam.

'Fatwa' tidak tepat lagi membahayakan seperti ini perlu dibendung. Majlis Fatwa Kebangsaan perlu berani menegur beliau dan juga akhbar tersebut kerana mencetuskan provokasi yang berkemungkinan akan membuka jalan bagi para ekstrimis bangsa dan golongan subversif.

Saya menggesa agar pihak keselamatan segera mengambil tindakan terhadap kenyataannya yang berbau ekstrimisme dan boleh menyemarakkan api perkauman.

Dr Maszlee Malik, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia