SAYA ingin merujuk kepada kenyataan Abdullah Samaah yang dikeluarkan oleh sebuah akhbar perdana berkaitan haram menyokong DAP kerana mereka merupakan kafir harbi. Istilah kafir harbi merupakan istilah fiqh yang membawa konotasi suasana zaman perang di antara wilayah Islam di zaman dahulu dengan negara musuh.

Kafir harbi adalah merujuk kepada negara musuh yang berperang dengan Muslim di mana darah mereka adalah halal ditumpahkan kerana ia dalam suasana perang, di mana kafir harbi itu sendiri berusaha membunuh umat Islam. Kafir harbi adalah wajib diperangi di peringkat negara di atas dasar peperangan.

Di zaman ini, warga atau rakyat non-Muslim yang tinggal bersama umat Islam tidak dikira sebagai kafir harbi. Malah pengklafikasian harbi atau dimmi yang digunakan oleh ulama klasik telah diperbaiki oleh ulama moden memandangkan negara-negara moden mempunyai konsep kewargenegaraan yang memberikan hak dan tanggungjawab yang saksama di antara Muslim dan non-Muslim.