01 August 2012

Isu Sabah : Utusan Meloya dah mengaku akan kelebihan Lajim dan Bumburing .. Mampuih la UMNO kali ni ....

31 JULAI — Sah! Bekas Ketua Umno Bahagian Beufort, Datuk Seri Lajim Ukin akan menjadi panglima perang pembangkang di Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Semua teka-teki terjawab. Keluh-kesah kawan dan lawan terjawab kira-kira sejam sebelum umat Islam di Negeri Bawah Bayu itu berbuka puasa pada petang Sabtu lalu.
Secara kebetulannya, perisytiharan rasmi Lajim itu berlangsung pada masa yang sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap memberikan amanat dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Jamek Kampung Likas.
Jarak antara kedua-dua tempat itu, iaitu Taman Likas Jaya kediaman Lajim dengan rumah Allah itu tidak sampai pun dua kilometer.
Lajim yang turut digelar sebagai ‘raja lompat’ oleh musuh politiknya, menegaskan bahawa berkuat kuasa serta-merta semua jawatan politiknya iaitu sebagai ahli Majlis Tertinggi Umno, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Beaufort dan Ketua Umno Bahagian itu dilepaskan
Bagaimanapun, beliau dianggap agak licik apabila masih mengekalkan keahlian Umno dan jawatan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Beliau tidak melepaskannya tetapi dibiarkan sebagai ‘bola tanggung’ yang kebarangkalian akan digunakan semula sebagai senjata untuk melawan bekas majikannya.
“Bagi jawatan Timbalan Menteri saya serahkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) untuk menentukan kedudukan saya kerana itu adalah budi bicara beliau.
“Sebagai ahli Umno saya serahkan kepada Majlis Tertinggi kalau mereka rasa saya menyalahi peraturan parti maka mereka boleh memecat saya,” kata Lajim.
Ia sekali gus, boleh dimanipulasi bahawa Umno memecatnya setelah berkeras enggan mendengar keluhan hatinya yang didakwa membawa denyut nadi rakyat Sabah tetapi langsung tidak diambil tindakan sewajarnya oleh pucuk pimpinan parti.
Sekali lagi, tokoh veteran ini akan mendapat kredit, mustahil daripada musuhnya tetapi yang paling penting beliau akan menjadi popular di kalangan penyokongnya atau mana-mana pihak yang bersimpati dengan perjuangannya.
Mengikuti setiap bait ucapan pengumumannya serta sidang akhbar yang memakan masa hampir sejam itu, dapat disimpulkan bahawa syarat utama untuk menjadi seorang ahli politik ialah kebolehan untuk berkata-kata, sekali gus mempengaruhi para pendengarnya.
Ini kerana, daripada mulut sama, kira-kira beberapa hari atau beberapa bulan sebelum ini berdegar-degar mengkritik pembangkang - kiri, kanan, atas, bawah - langsung tiada yang baik, elok dan kena pada pandangan matanya.
Tetapi sebaliknya pada saat itu (sidang akhbar dan ucapan), ia berubah sekelip mata seperti pertunjukan silap mata apabila segala usaha dan inisiatif kerajaan BN sebelum ini terlalu hodoh, jijik dan berniat jahat, serba-serbi tidak kena di mulut insan bernama Lajim ini.
Malah Lajim dalam ucapannya turut mengungkit sejarah perjuangan politiknya hampir empat dekad, bermula pada zaman USNO, Berjaya, PBS hinggalah ke era Umno dan BN, yang semuanya didakwa berlandaskan kepada agenda kepentingan rakyat, langsung tidak berkait dengan agenda peribadi.
“Ini kerana dalam perjuangan politik saya, rakyat adalah keutamaan saya. Kepentingan rakyat sentiasa didahulukan daripada kepentingan diri. Kerana rakyat yang mengangkat kita menjadi pemimpin. Kerana rakyat kita berada di singgahsana kuasa.
“Berpegang kepada prinsip mengutamakan rakyat inilah, maka saya telah membuat beberapa keputusan drastik sepanjang perjuangan politik saya. Salah satu daripadanya adalah apabila saya nekad meninggalkan PBS dan menyertai Umno, yang akhirnya membawa kepada pembentukan kerajaan BN sehingga ke hari ini,” katanya.
Lajim menjelaskan tindakannya kali ini adalah bagi mempertahankan maruah dan jati diri rakyat Sabah kerana tidak sanggup lagi melihat ia terus diperkotak-katikkan, menjadi pak turut. Saling tidak tumpah seperti kambing biri-biri yang terkurung dalam kandang hanya sekadar menunggu arahan dan telunjuk tuannya.
“Dalam politik, perjuangan mesti berprinsip. Ideologi saja tidak mencukupi, kerana prinsip itu penting dan lebih bermakna. Seseorang yang berpegang kepada ideologi semata-mata tanpa prinsip, samalah seperti seorang nakhoda kapal yang tiada kompas.
“Tidak tahu laluan mana untuk diharungi bagi sampai ke destinasi dituju. Tetapi jika ada kompas, kita pasti sampai ke destinasi,” katanya.
Lajim turut menarik perhatian dengan mengaku perjuangannya yang mewakili hasrat majoriti rakyat Sabah itu seperti lalang, meliuk-lintuk yang tunduk mengikut arah tiupan angin.
“Mungkin ada benarnya, kerana kita memang mengikut arus perubahan. Sekali angin bertiup, sekali kita berubah. Sekali ombak menghempas pantai, sekali pasir berubah.
“Tapi ingat! kita bukan lalang sebarang lalang, kita bukan lalang petualang. Kita berakar-kuat, berpasak di bumi Sabah dan tidak mungkin mudah dicabut begitu saja,” katanya penuh yakin sambil menambah keyakinan tsunami politik maha dahsyat akan melanda pada Sabah pada PRU-13 nanti.
Sementara itu, keesokan harinya iaitu Ahad, langkah Lajim disertai rakannya, Timbalan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Bumburing yang juga Ahli Parlimen Tuaran.
Pakej pengumuman Lajim dan Bumburing itu boleh dianggap sebagai lengkap apabila mereka berdua ‘beraksi’ di pentas sama dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Beaufort. Secara rasmi juga bermulanya gerakan ‘Pakatan Perubahan Sabah’ (PPS) dengan matlamat menukar kerajaan BN.
Babak melompatnya dua tokoh itu daripada BN telah selesai. BN tidak boleh meratapi kesedihan atas pemergian mereka berdua atau bertepuk tangan kerana ‘gunting dalam lipatan itu’ telah menzahirkan diri.
Segalanya masih belum berakhir, malah cerita penuh dramatik dan pancaroba itu baru bermula. Jangan menuding jari menyalahkan Lajim kerana tanpa disedari empat lagi jari sedang menghala ke arah BN.
Masih belum terlambat untuk BN terutamanya di Sabah duduk semeja, bermusyawarah seperti yang diingatkan oleh Muhyiddin pada majlis berbuka puasa di Masjid Jamek Kampung Likas itu, untuk bersama-sama mencari jalan terbaik ‘merawat’ 10 agenda utama PPS itu.
Sebenarnya kehadiran lebih 10,000 orang pada majlis malam pembangkang, tidak boleh dipandang enteng terutamanya BN, sesuatu perlu dilakukan sebelum terlambat, jika tidak moto pembangkang “Ini Kali Lah” akan menjadi kenyataan! — Utusan Online

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive