Apa itu Seksyen 114A?
Seksyen 114A adalah satu daripada dua pindaan terhadap Akta Keterangan yang dibentangkan di parlimen April lalu dan telah digazetkan pada 31 Julai 2012. Tujuan seksyen ini dipinda katanya adalah khas untuk bertindak terhadap bahan-bahan ‘berbahaya’ di internet. Pindaan tersebut memudahkan pihak berkuasa mendakwa mana-mana pihak yang menyiarkan sesuatu yang memfitnah atau menghasut di internet.
Pindaan terbaru ini meletakkan kebertanggungjawaban kepada pemilik atau penyelaras blog, forum yang membolehkan orang lain menyiarkan komen; pembekal internet dan pembekal webhosting serta mereka yang memiliki komputer atau alat untuk menyiarkan bahan secara online.
Sebagai contoh sekiranya ada apa-apa kenyataan fitnah yang boleh dijejak kembali kepada kata laluan anda, atau alat elektronik anda, bahkan rangkaian internet rumah anda; Seksyen 114A memberi tanggapan bahawa anda bersalah sehingga anda dapat membuktikan sebaliknya. Ini bersalahan dengan tanggapan tidak bersalah sehingga terbukti bersalah seperti yang menjadi amalan kehakiman selama ini di seluruh dunia.
Justeru pindaan gila ini secara tidak adil memindahkan beban bukti kepada pengguna internet yang mungkin didakwa secara salah, untuk sebarang kenyataan fitnah atau menghasut yang terbit daripada rangkaian internetnya. Malah pentadbir forum-forum juga boleh dikenakan tindakan untuk kenyataan-kenyataan yang diterbitkan di laman forum mereka.
Apa yang lebih buruk ialah seandainya rangkaian internet seseorang digodam dan digunakan untuk menyiarkan bahan-bahan tersebut.
Inilah yang bakal berlaku…
Bayangkan seorang nenek yang sendirian di rumah, hanya guna internet untuk buka YouTube buat belajar memasak atau mengait; tiba-tiba sahaja pintu rumahnya diketuk polis. Mengapa? Kerana ada kenyataan yang menghasut diterbitkan dari rangkaian WiFi rumahnya yang digodam orang.
Jadi pindaan sebegini ini adalah gila dan tidak masuk akal. Undang-undang begini adalah undang-undang bobrok dan zalim yang mengekang kebebasan bersuara rakyat jelata.
Pemerintah yang mengekang kebebasan rakyat bersuara dan mengkritik ini adalah pemerintah yang selayaknya dihumbankan ke jurang paling dalam apabila selesai sahaja Pilihanraya Umum akan datang.
Kesannya nanti, orang akan takut untuk bersuara dan tidak lagi berani mengkritik. Malah blog-blog juga akan terpaksa menapis komen-komen dengan lebih tegas. Apa dia garis pemisah antara fitnah, hasut dengan ayat-ayat kritikan dan penegasan untuk mencabar pemerintah yang menzalimi rakyatnya? Ini semua hanya berhak ditafsirkan oleh pemerintah sendiri.
Maka akan takutlah sekalian hamba rakyat untuk mempersoal tindakan pemerintah. Akan tutuplah WiFi percuma di tempat-tempat lepak awam, risau rangkaian internetnya nanti digunakan untuk menulis ayat-ayat bahaya yang menggugat pemerintah. Di mana lagi kami semua nak lepak minum the tarik nanti kalau sudah tak ada WiFi percuma?
Bukan sahaja media massa dikawalnya, internet juga mahu dikawalnya. Ini pemerintah jenis apa ini?
Tetapi apabila pecacainya sendiri menyiarkan fitnah dan tohmah, kebal pula mereka itu daripada tindakan undang-undang. Lihat sahaja bagaimana mereka menggerakkan tentera siber dan media sosialnya untuk memfitnah dan menyebar berita palsu secara berleluasa, dan tidak pula memberi ruang untuk diskusi dan jawapan balas.
Ini halal pula? Tidak pula dihukum kafir harbi? Undang-undang tidak menyalahkan mereka? Ini undang-undang apa? Undang-undang kandang lembu? Mungkin lembu lebih mulia daripada segelintir manusia kemaruk kuasa yang berhati busuk serta zalim kerana sanggup mengongkong rakyat sendiri.
-harakahdaily
Seperti yang semua sedia maklum, pindaan kepada sekysen 114A Akta Keterangan 1950 telah menerima banyak tentangan dari pelbagai sudut masyarakat, termasuk dari Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional sendiri.
Pindaan ini akan meletakkan beban membuktikan kesalahan pada pihak yang dituduh dan bukannya kepada pihak yang menuduh, yang jelas bercanggah dengan dasar dan prinsip keadilan. Secara khusus, pengguna laman sosial seperti Facebook, Twitter, blog dan lain-lain akan dipertanggungjawabkan dengan setiap isi kandungan dalam laman-laman mereka, walaupun komen dan artikel itu ditulis oleh pihak lain.
Pembekal perkhidmatan wifi juga akan dikenakan tindakan sekiranya ada pihak yang menyalahguna perkhidmatan tersebut - sekiranya rangkaian wifi rumah anda dicuri, dibawah pindaan ini anda dipertanggungjawabkan.
Dan jika ada sesiapa yang mencipta akaun Facebook, Twitter atau emel mengguna nama anda, pindaan ini akan menganggap anda pemilik sebenar akaun tersebut.
Oleh itu, KEADILAN menggesa kerajaan untuk menarikbalik pindaan 114A Akta Keterangan 1950 dalam sesi Parlimen yang akan datang.
KEADILAN turut menggesa setiap anggotanya untuk turut serta dalam protes ini dengan menukar "avatar" atau gambar Facebook, Twitter, dan lain-lain ke logo #STOP114A, dan bagi yang mempunyai laman web untuk memasukkan kod "pop-up" #STOP114A yang disediakan.
Semoga keadilan bagi semua pengguna Internet terjamin demi seluruh rakyat Malaysia.
Sim Tze Tzin, ADUN Pantai Jerejak merangkap
Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN
No comments:
Post a Comment