24 October 2012

Hasan Ali kata ada kerjasama antara DAP dan MCA, untuk tumbangkan politik Melayu, .... Betoi ka?

Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Hasan Ali mengesyaki terdapat semacam wujudnya persefahaman di antara MCA dan DAP, khususnya untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Hasan mendakwa, MCA sebuah parti yang didokong masyarakat Cina dikatakan hanya mampu meraih undi nominal di kalangan masyarakat tersebut dan mungkin merasakan lebih logikal untuk membawa keseluruhan sokongan masyarakat Cina kepada DAP.

Beliau mengesyaki ianya dilakukan bagi menentukan DAP menjadi wakil mutlak masyarakat Cina dalam memperjuangkan tuntutan-tuntutan yang sekian lama dibuat oleh masyarakat Cina


"Hati kecil saya juga membisikkan bahawa masyarakat Cina seolah-olah mempunyai satu “grand design” merentasi fahaman dan aliran politik.

"Fahaman dan aliran politik yang kelihatan berbeza dan bertentangan secara luaran tidak lebih daripada wayang lakonan sahaja," kata Hasan yang juga presiden NGO Jalur Tiga (JATI) dalam satu kenyataan malam ini.

"Mereka mempunyai agenda besar. Sebahagian daripada agenda besar DAP sekali lagi ditimbulkan baru-baru ini. Inti agenda besar DAP itu bukan merupakan satu rahsia lagi," katanya yang juga bekas pesuruhjaya PAS Selangor.

Dalam dua tiga hari ini, tegas Hasan, timbul semula isu Negara Islam dan pelaksanaan hudud.

Isu ini, tambah Hasan, seperti biasa menyemarakkan semula suasana politik bertepatan dengan bertambah hampirnya PRU13.

Dalam episod terbaru ini, Hasan mendakwa, Presiden MCA Dr Chua Soi Lek dengan secara tiba-tiba menjadi orang pertama yang menekan butang jentera menentang pelaksanaan Negara Islam dan hudud di negara ini.

Menurutnya, penentangannya terhadap Negara Islam dan hudud menerima tindakbalas yang sengit daripada pimpinan Pakatan Rakyat, DAP, PKR dan PAS.

"Secara jujurnya saya tidak melihat ada perkara yang baru dari segi hujah-hujah yang dikemukakan sama ada dari pihak MCA, DAP dan juga dua lagi parti komponen Pakatan Rakyat itu.

"Hanya hati kecil saya sahaja tampil membisikkan bahawa terdapat beberapa andaian yang boleh digunakan untuk mengatakan bahawa buat sekian kalinya MCA dan DAP membuat pementasan lakonan politik," katanya sambil menambah bahawa isu yang selama ini dimainkan oleh MCA dan DAP menimbulkan kemarahan masyarakat Melayu-Islam.

"Isu ini juga menarik sokongan masyarakat Cina kepada MCA dan DAP disebabkan apa yang dilontarkan selari dengan kehendak, kemahuan dan tuntutan masyarakat keturunan Cina," tegasnya.

Sehubungan itu, Hasan bertanya, kalau masyarakat keturunan Cina mempunyai agenda besar, maka bagaimana pula masyarakat Melayu-Islam yang menjadi warga peribumi negara ini.

"Setakat yang saya ketahui serta pengalaman berada di barisan tertinggi pimpinan parti PAS khasnya, hubungan di antara parti-parti politik Melayu Islam hampir berada di tahap berkerat rotan berpatah arang," katanya.

Hasan mendakwa, kenyataan yang selama ini keluar dari mulut pimpinan PAS dan PKR, terutamanya yang menyentuh persoalan penyatuan masyarakat Melayu Islam, menceritakan segala-galanya.

"Saya ingin membawa bisikan hati kecil saya ini kepada pengetahuan barisan pimpinan masyarakat Melayu-Islam. Wajarkah kita terus berpolitik dengan politik berdendam kesumat?

"Wajarkah kita terus berpolitik dengan politik berkerat rotan berpatah arang? Wajarkah kita terus berpolitik dengan politik yang didorong oleh sifat sombong, angkuh dan bongkak?

"Akhirnya, wajarkah kita terus berpolitik dengan politik yang menggerhanakan nasib umat dan generasi pengganti yang akan datang?" tambahnya.  klpos

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive