06 October 2012

Mat Sabu bertanding di Kedah dalam PRU13


mohamad_sabuKUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, diterima untuk bertanding dinegeri Kedah dalam pilihan raya umum (PRU) ke 13, kata Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi.
Menurut Ir Phahrolrazi, tidak mustahil Mohamad atau lebih dikenali Mat Sabu (foto) kembali bertanding di Kedah, memandangkan sebelum ini beliau pernah menang dalam PRU 1999 di negeri jelapang padi tersebut.

“Ada kemungkinan besar beliau bertanding di Kedah, namun terpulang kepada Pusat untuk putuskan,” katanya dipetik dari Sinar Harian Online. “Jika benar beliau berminat jadi calon di Kedah, kita tiada halangan.”


Walaubagaimanapun, katanya, cadangan itu perlu dibincangkan terlebih dahulu dalam mesyuarat perhubungan PAS Kedah, sebelum dimuktamadkan.

“Jika Mat Sabu bertanding di Kedah, saya yakin beliau boleh menang sebab pengaruh beliau masih kuat di sini, terutama Kuala Kedah.

PAS Kedah sedia timbang cadangan itu, namun perlu persetujuan semua pihak,” katanya.

Yang Dipertua PAS kawasan Kuala Kedah itu berkata, sebelum ini Mohamad pernah bertanding di empat negeri, selain Kedah, iaitu Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu.

“Memang kita sudah bincang calon-calon layak bertanding dalam PRU ke 13, termasuk calon import, tetapi ianya masih belum muktamad. Keputusan rasmi hanya akan diumumkan menjelang tarikh pilihan raya,” katanya.

Pada Febuari lalu, krisis dalaman PAS Kedah membabitkan dua ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco), yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Kedah, iaitu Dr Ismail Salleh dan Phahrolrazi, turut dikaitkan dengan usaha pihak tertentu untuk menempatkan Mohamad bertanding di Kedah pada PRU ke 13, yang didakwa tiada dalam percaturan politik menteri besar.

Walaubagaimanapun sebulan selepas itu, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, selaku Pesuruhjaya PAS Kedah berkata, pihaknya bersedia menerima Mohamad bertanding di mana-mana kerusi di negeri ini, sekiranya mendapat “restu” PAS kawasan atau menerima pencalonan yang mahu beliau mewakili kerusi di Kedah.

Sebelum ini The Malaysian Insider pernah melaporkan Mohamad bakal bertanding di kerusi Parlimen Pendang, kerusi yang suatu ketika dahulu pernah disandang oleh bekas presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadzil Noor.

Penyandang kerusi itu sekarang, Dr Mohd Hayati Othman, dikatakan akan bertanding kerusi dewan undangan negeri (Dun) bagi membantu kerajaan negeri sekiranya PAS dapat mempertahankan negeri jelapang padi itu.

- The Malaysian Insider

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive