14 Disember 2012
PRESIDEN Persatuan Seniman, Zed Zaidi hari ini mengesahkan bahawa kemasukan pelakon Indonesia, Julia Perez ke negara ini untuk menjalani penggambaran adalah tanpa permit sah.
Menurut Zed Zaidi, perkara itu sudah dirujuk kepada bahagian pelesenan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).
“Saya telah semak dengan bahagian pelesenan Finas untuk pengesahan permit Julia Perez.
“Jawapan Finas, ada permohonan SPP atas tajuk filem ‘Sentuhan Malam Pertama’ tetapi tiada permohonan Pekerja Filem Asing (PFA) atas nama Julia Perez,” katanya melalui akaun Twitter.
Beliau menjelaskan bahawa di bawah syarat Padu Citra, Julia wajib menjadi ahli bagi salah satu daripada tiga persatuan yang diiktiraf oleh Finas.
“Dalam Persatuan Seniman, nama Julia Perez tidak berdaftar sedangkan ia syarat wajib bagi kelulusan permit SPP,” katanya.
Menurut pelakon utama Sembilu itu, pihak Finas juga bakal mengambil tindakan berhubung perkara itu.
“Finas sedang menjalankan siasatan di lokasi penggambaran melalui pasukan penguatkuasaan bahagian utara untuk tindakan.
“Insya-ALLAH Finas akan datang ke lokasi untuk membuat serbuan di Padang Kota Lama,” katanya.
Isnin lalu, Julia atau Jupe yang sedang menjalani penggambaran filem arahan Murali Abdullah, Sumpahan Malam Pertama di Pulau Pinang mengeluarkan kenyataan di akaun Twitter yang menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia.
“Nunggu giliran take... sambil nonton sinetron Malaysia... oh my GOD... Indonesia kita jauuh majuuu... kita mahuu sekaliii... bangga jadi orang Indonesia (tunggu giliran penggambaran... sambil menonton drama Malaysia. Oh tuhan... Indonesia kita jauh maju... kita maju sekali. Bangga jadi orang Indonesia),” katanya.
Namun, tajuk drama yang ditontonnya masih belum diketahui.
Kenyataan itu mendapat respons daripada Zed Zaidi yang menyedari tentang kenyataan pelakon Indonesia itu tiga hari kemudiannya.
“Gampang Julia Prez hina industri seni Malaysia! Pemain sinetron Indonesia yang 'shooting' di Malaysia ini sangat biadab! Jupe nama manusia ke?” katanya, pagi semalam.
Kenyataan Zed Zaidi itu mendapat maklum balas daripada dua pelakon tempatan iaitu Fauziah Nawi dan Noorkhiriah.
Fauziah menulis, “memang kita asyik sanjung dia orang sekarang pada muka 'Malaysian'. 'Nothing great about their sinetron'. Tepuk dada tanya selera.”
Noorkhiriah pula menulis, “ajak ramai lagi 'shooting' si sini... lepas itu apa jadi... tolonglah ambil tindakan... dah lah bayar mahal. Kita ini melukut tepi gantang nak bayaran tinggi.”
Julia juga tidak terlepas membalas kenyataan Zed Zaidi itu dengan nada berang.
“Woi! Kau yang biadab!” katanya.
Dalam pada itu, Zed Zaidi menyentuh soal kemasukan Julia berlakon di Malaysia bakal disiasat sama ada secara sah atau tidak.
Beliau juga mempersoalkan tatu kalimah al-Quran di badan Julia.
Kenyataan Zed Zaidi nyata disedari Julia yang membalas kenyataannya.
“Kamu sangat jahat! Ingat banyak artis Malaysia juga di Indonesia,” balasnya.
Julia nyata tidak berpuas hati dengan kenyataan Zed Zaidi yang dikeluarkan jam 10.37 pagi semalam itu.
Jam 12.18 tengah hari semalam, Jupe mengeluarkan kenyataan balas yang mengait-ngaitkan isu penghinaan ke atas bekas Presiden Indonseia, BJ Habibie.
“Gara-gara bilang sinetron malay kurang bagus ane di haram-haram ke Malaysia. OK, semua politikus Malaysia harus keluar dari Indonesia kerana menghina BJ Habibie! Puas pas (Gara-gara kata drama Malaysia kurang bagus, saya diharam-haramkan ke Malaysia. Okey semua ahli politik Malaysia harus keluar dari Indonesia kerana menghina BJ Habibie,” katanya.
Pelakon Indonesia yang sinonim dengan jolokan seksi itu sering dipalit kontroversi baik di Indonesia mahupun di Malaysia.
1 comment:
Badus ada semangat "wataniah" tapi tindakan tidak betul lebih terarah kepada hasad dengki. Kita ni ciput dari segi quality, film/drama,kita masih lagi ketinggalan. Sepatutnya kita cuba mendapat kolaborasi dan bersaing secara sihat tetapi nampaknya presiden persatuan telah menjatuhkan tahap mentaliti nya. Bagaimana kita nak menembusi pasaran luar dengan sikap begini. Terus terang akau katakan setakat ini tak ada lagi filem Melayu alaf warna dapat menandingi filem allahyarham P.Ramlee. Sorry to say but that's reality. Orang Malaysia buat filem bukan ikut citarasa penonton tapi penerbit dan pengarah syok sendiri cepat nak untung. Tempoh hari dah sekali bodoh ini menunjukkan bodoh lagi. Buangkanlah sikap baghal tu dan berubahlah ke dimensi yang lebih luas.
Post a Comment