10 January 2013

'Count down' HKR #KL112 di Kelab Sultan Sulaiman Kg Baru malam esok (Jumaat)


PETALING JAYA: Menjelang kemuncak perhimpunan kebangkitan rakyat di Stadium Merdeka Sabtu ini, satu program awal akan diadakan di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru di Kuala Lumpur, pada sebelah malamnya.
Program tersebut dianjurkan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dengan kerjasama Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).
“Rapat mengira detik ini juga akan menjadi lapang sambutan bagi peserta himpunan yang datang dari luar Kuala Lumpur yang dijangka sampai awal,” kata Ketua Penyelaras SAMM, Badrul Hisham Shahrim.
Selain ucapan  pimpinan yang mengetuai himpunan, akan ditampilkan suri rumah, pekerja kilang, pemandu teksi, pesawah dan petani, pekerja swasta, mahasiswa, penganggur, profesional muda dan lain-lain menyuarakan masalah mereka.
Katanya, ini akan menjadikan rapat memuncak mengira detik #KL112 ini benar – benar pentas rakyat yang memulakan mood pesta tuntutan rakyat.
“Paling penting, pentas ini akan memberikan pengarahan terakhir agar majoriti peserta himpunan memahami pengarahan untuk esoknya dan menjamin kelicinan dan kejayaan himpunan.
“Segala pedoman dan pengarahan gerakan pada 12 Januari akan diumumkan oleh badan induk perhimpunan. Pedoman ini penting bukan sahaja untuk memastikan rakyat yang berhimpun maklum dengan arahan mengharungi 12 Januari, malah pedoman ini juga memberi gambaran kepada pihak polis supaya tidak panik dan termakan provokasi atau arahan pihak atasan yang tidak bertanggungjawab,” katanya lagi.
Badrul Hisham atau lebih dikenali dengan panggilan Chegu Bard berkata beliau menjangkakan lebih 50, 000 peserta  akan memenuhi padang Kelab Sultan Sulaiman dan kemuncak mengira detik akan menyaksikan letusan bunga api yang menandakan bermulanya hari kebangkitan rakyat.
Akhir sekali setelah tamat percikan bunga api, sebuah ikrar yang istimewa akan dideklamasikan dan juga doa akan dibaca demi memastikan hari kebangkitan rakyat akan berlangsung dengan aman dan selamat.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive