09 March 2013

Kiram cabar Malaysia buktikan 52 tenteranya terbunuh



Keluarga Kiram percaya kematian “tentera”nya cuma 10 dan bukan 52 seperti didakwa oleh pihak berkuasa Malaysia, kata jurucakap keluarganya Abraham Idjirani, dan mengatakan ia adalah propaganda untuk menunjukkan kemenangan.

Idjirani berkata, keluarganya mahu Putrajaya membenarkan wartawan luar, terutamanya dari Filipina, untuk memasuki zon konflik di Lahad Datu, bagi mengesahkan jumlah kematian.

“Kamu mesti benarkan media tempatan dan luar negara ke zon konflik untuk mengesahkan jumlah kematian. Jika tidak, ia masih boleh diperdebatkan,” katanya yang dipetik dari akhbar The Philippine Star semalam.

Idjirani, yang bercakap bagi pihak Sultan Jamalul Kiram III, yang mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu, mengesahkan hanya 10 dari “tentera Di Raja” Sulu terbunuh dalam serangan dari pihak Malaysia sejak Jumaat dua minggu lalu.

Dalam siaran ABS-CBN semalam, jurucakap Jabatan Luar Negara Filipina (DFA) Raul Hernandez berkata kerajaan masih cuba mengesahkan jumlah kematian warga Filipina di Sabah, dan mereka hanya bergantung dari maklumat yang diberikan oleh Putrajaya.
Agbimuddin yang mendakwa dirinya sebagai putera raja Sultan Sulu, mengetuai sekumpulan bersenjata berjumlah 200 orang ke Sabah, dan berada di negeri timur Malaysia itu sejak 9 Februari.

Penceroboh tersebut berhadapan dengan pasukan keselamatan Malaysia Jumaat dua minggu lepas, selepas tiga minggu perbincangan gagal, dan pertempuran dilaporkan menyaksikan ramai penceroboh Sulu mati, sementara lapan anggota keselamatan Malaysia terkorban.

Malaysia melancarkan serangan secara bersepadu pada pagi Selasa, termasuk serangan udara yang menyaksikan bom dan artileri berat menghujani Kampung Tanduo dimana penceroboh itu berlindung.

Pada Khamis, pihak berkuasa Malaysia mengatakan kematian penceroboh Sulu berjumlah 52, dengan 32 orang terkorban berikutan serangan udara pada Selasa lalu.

Tetapi Idjirani pada semalam berkata pihak Sulu bertempur sekali sahaja, pada hari Jumaat lalu, dimana hanya sepuluh sahaja kematian, dakwanya.

“Kami memanggilnya Pembunuhan Beramai-Ramai 1 Mac,” katanya yang dipetik dari siaran ABS-CBN News.
Memetik dari Agbimuddin, Idjirani berkata 235 tentera Sulu, setakat ini 10 kematian, 10 ditahan dan empat cedera. Agbimuddin kali terakhir dihubungi oleh keluarganya di Filipina pada 2.30 petang semalam, menurut laporan dari Phillipine Daily Inquirer, dan berkata beliau dan tenteranya masih hidup dan dalam pelarian, tetapi menghadapi kelaparan.

Akhbar itu melaporkan Agbimuddin dan tenteranya berkumpul semula dan berjaya melepasi serangan bertubi-tubi pasukan keselamatan Malaysia, yang menuju mereka di kawasan berbukit.

“Mereka terus bergerak, bukan dengan bot atau sebarang pengangkutan, tetapi dengan berjalan kaki. Mereka menderita akibat kelaparan,” kata Idjirani lagi.

Sepupu Agbimuddin Jacel Kiram mengatakan serangan dari pasukan keselamatan Malaysia sebagai “keganasan maksima”, berbanding permintaan Manila untuk “toleransi maksima” sebelum serangan Selasa lalu.

Bagaimanapun, “puteri diraja” Sulu berkata arahan gencatan senjata dari Sultan masih berlangsung dan tentera di Sabah dinasihatkan untuk terus bertahan.

“Arahan kepada mereka adalah sentiasa untuk bertahan, hanya bersedia untuk sebarang serangan. Cuma bertahan, jangan serang,” katanya lagi.

Malaysia menolak permintaan keluarga Kiram untuk gencatan senjata pada Khamis, sebaliknya menuntut penceroboh itu meletakkan senjata dan menyerah tanpa syarat.- TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive