05 March 2013

LAHAD DATU : Penceroboh tidak bercadang untuk menyerah, akan berjuang hingga titisan darah terakhir


LAPORAN LANGSUNG

12.44pm: Laman The Philippine Inquirer menyiarkan laporan mendakwa Askar Diraja Sulu tidak bercadang untuk menyerah walau digempur pasukan keselamatan Malaysia.

Laporan itu menyebut, jurucakap kesultanan Sulu Abraham Idjirani memberitahu satu stesen radio bahawa kumpulan itu akan terus berjuang sehingga ke titisan darah terakhir.

Idjirani yang memetik Azzimudie Kiram mendakwa bom yang dilepaskan jet Malaysia jatuh ke kawasan berkenan tetapi tidak mengenai kumpulan bersenjata Sulu.

InterAksyon.com juga menerbitkan laporan sama pada jam 10.46 pagi ini.

"Tidak. Tidak menyerah," kata Idjirani, yang menambah Azzimudie dalam perbualan terakhir mereka melalui telefon memberitahunya bahawa mereka akan berjuang sehingga ke titisan darah terakhir.
Laporan itu tidak menyatakan masa panggilan telefon itu dibuat.

11.54am: Ketua polis negara Tan Sri Ismail Omar berkata operasi bersama antara polis dan tentera masih menerima tentangan musuh yang melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan negara.

NONEPasukan Malaysia kini menjalankan operasi 'mopping up'. Tiada korban di pihak kita direkodkan setakat ini namun di pihak musuh masih belum diketahui.

Ismail meminta semua pihak agar tidak membuat spekulasi mengenai jumlah kemalangan kerana akan menjejaskan Ops Sulu ini.

Katanya, operasi ini hanya difokuskan di Kampung Tanduo.

11.50pm: Seorang wartawan ABN-CBS memuatkan gambar penunjuk perasaan membakar gambar menunjukkan Datuk Seri Najib Razak bersalaman dengan presiden negara itu, Benigno Aquino.

Kumpulan berkenaan berbuat demikian dalam perhimpunan di luar kedutaan Malaysia di Filipina.

11.35am: 
The Star yang memetik sumber polis melaporkan, kumpulan penceroboh bersenjata di Kampung Tanduo berjaya ditewaskan sepenuhnya


Penunjuk Perasaan Adakan Bantahan Di Luar Kedutaan Malaysia Di Manila
PUTRAJAYA: Beberapa kumpulan berhimpun di kedutaan Malaysia di Filipina bagi membantah terhadap serangan ke atas pemberontak bersenjata yang berlaku pada pagi Selasa di Lahad Datu, Sabah.
Beberapa tulisan Twitter (tweet) disiarkan oleh ABS-CBN News Channel kira-kira dua jam selepas pasukan keselamatan Malaysia melancarkan serangan terhadap penceroboh Sulu, menunjukkan penunjuk perasaan memegang sepanduk bagi menuntut Malaysia menyelesaikan isu itu secara aman.
Kumpulan-kumpulan itu mendesak untuk keadilan bagi “Tausug martyrs” – yang dipercayai sebagai rujukan kepada sekumpulan pemberontak – dan untuk perlindungan Sabah yang didakwa sebagai tanah kepunyaan Kesultanan Sulu.
ABS-CBN turut menulis ‘tweet’ bahawa antara penunjuk perasaan adalah kumpulan militan.
Polis diarahkan untuk mengawal keadaan bagi memastikan penunjuk perasaan tidak berada begitu dekat dengan kedutaan.


Tindakan Ofensif Di Kampung Tanduo Pagi Selasa Capai Objektif - KPN
KUALA LUMPUR: Pihak keselamatan dipercayai dapat menyelesaikan krisis pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu selepas melancarkan serangan ofensif di kawasan Kampung Tanduo, Lahad Datu pagi Selasa.
Walaupun operasi masih berjalan, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata, polis dan tentera mencapai objektif yang ditetapkan, mengikut sasaran yang ditentukan.
Bercakap pada sidang akhbar bersama Panglima Angkatan Tentera Jen Tan SriZulkifeli Mohd Zin, di Lahad Datu, Sabah, Ismail berkata pasukan keselamatan melancarkan tindakan ofensif terhadap kumpulan pengganas yang bertapak di Kampung Tanduo.
Beliau berkata, tiada orang awam di kawasan sekitar ketika operasi dilancar dengan menggunakan jet pejuang sejak pukul 7 pagi.
Ismail berkata, tiada kehilangan nyawa di pihak pasukan keselamatan manakala setakat ini jumlah kematian dan kecederaan di pihak musuh belum dapat disahkan.
Ismail berkata, sejak serangan ofensif dimulakan, pasukan keselamatan negaramendapat tentangan apabila pihak musuh melepaskan tembakan ke arah anggota polisdan tentera.
Awal pagi Selasa, wartawan Bernama yang berada di Felda 16, kira-kira 20 kilometer dari Kampung Tanduo turut mendengar beberapa letupan yang menggegarkan perkampungan itu.
Beberapa jet pejuang dan helikopter dilihat turut berlegar di ruang udara kawasan itu dan orang ramai tidak dibenar menghampiri kawasan operasi.
Ismail berkata, pada masa ini pasukan keselamatan menggerakkan anggota komando, tentera dan Pasukan Gerakan Am (polis) untuk menjalankan tindakan susulan dan penggeledahan di beberapa rumah di kawasan itu.
Ketua Polis Negara turut menasihatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang andaian mengenai operasi itu khususnya berkenaan jumlah kematian atau mereka yang cedera.
"Berita-berita yang tidak tepat ini boleh jejaskan operasi yang sedang berjalan," katanya yang meminta orang ramai tidak perlu bimbang kerana serangan ofensif dalam 'Ops Sulu' itu hanya melibatkan Kampung Tanduo.
Beliau turut meminta orang ramai memberi kerjasama dan jangan cuba memasuki kawasan operasi itu serta mematuhi arahan pasukan keselamatan.
"Kawasan operasi lebih kurang 10 kilometer persegi...selamat...kawasan khusus lebih kurang empat kilometer persegi...jangan masuk dalam kawasan ini," katanya.
Ismail berkata, serangan ofensif itu perlu diambil pasukan keselamatan dalam mempertahan keselamatan negara dan memastikan keamanan dan ketenteraman diSabah tidak tergugat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kenyataan pagi Selasa berkata, kerajaan mesti mengambil tindakan sewajarnya bagi menjaga maruah dan kedaulatan negara sebagaimana yang dituntut oleh rakyat memandangkan usaha kerajaanmengelakkan pertumpahan darah di Lahad Datu tidak berjaya.
"Sebaliknya, anggota pasukan keselamatan kita diserang dan dibunuh. Rakyat Malaysia, khususnya di Sabah, bimbangkan keselamatan mereka," kata Najib.
Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera berkata, pasukan tentera menggunakan bahan letupan tertentu dalam serangan ofensif itu untuk menentukan agar keselamatan anggota polis dan tentera terjamin apabila mereka memasuki kawasan berkenaan untuk tindakan susulan dan penggeledahan.
"Memandangkan operasi masih berjalan, saya tidak boleh dedahkan sistem apa yang kami guna," katanya. - BERNAMA

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive