17 July 2013

Siapa Mohamed Salleh [Pembekal dakwat tidak kekal]

OLEH ELIZABETH ZACHARIAH
JULY 17, 2013
Pencarian siapa Mohamed Salleh Mohamed Ali bermula apabila nama itu diumumkan di Parlimen oleh pembangkang sebagai pembekal dakwat kekal kontroversi yang digunakan semasa Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13).
Setakat ini, semakan mendedahkan: beliau adalah ahli perniagaan berumur 47 tahun dan menguruskan syarikat Integrated Challenger (M) Sdn Bhd di Shah Alam.
Tiada respon apabila panggilan telefon dibuat ke pejabatnya petang semalam.
Semakan juga mendapati Mohamed Salleh mempunyai 11 saman yang belum dibayar dan kenderaan digunakan untuk kesalahan adalah Porsche Cayenne dan Toyota Alphard.
Ahli perniagaan ini menjadi terkenal dalam sekelip mata semalam apabila Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli memberitahu Parlimen beliau adalah pembekal dakwat kekal.
Pengarah Strategi PKR itu juga mendakwa Mohamed Salleh rapat dengan kepimpinan tertinggi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Tiga minggu lalu Rafizi mencabar SPR untuk mendedahkan pembekal dakwat kekal itu dan jika gagal, beliau berjanji untuk mendedahkannya di Parlimen.
Beliau berkata semalam, penyiasatannya mendedahkan pemberian kontrak untuk bekalan dakwat kekal diberikan kepada syarikat yang pemiliknya tidak mempunyai kemahiran dalam urusan itu.
Syarikat itu juga tidak mempunyai modal untuk pembelian dakwat kekal dan pemiliknya meminta pinjaman daripada seorang ahli perniagaan dari Kampung Baru sebanyak RM7 juta.
Dakwat itu menjadi kontroversi selepas pengundi mengatakan ia mudah dibasuh dengan menggunakan sabun. Sebelum itu SPR berjanji dakwat itu mampu bertahan selama tujuh hari.
Pakatan Rakyat (PR) mendakwa oleh kerana dakwat itu gagal, ramai pengundi boleh mengundi lebih dari sekali, menyebabkan berlakunya penipuan. Gabungan pembangkang  memfailkan saman di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan keputusan PRU13 dan mahukan pilihan raya semula dengan alasan SPR gagal dalam hal dakwat kekal.
Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan berkata, dakwaan pembekal dakwat mempunyai kaitan dengan kepimpinan tertinggi SPR memerlukan siasatan lanjut.
“Saya terkejut dengan pendedahan ini. Ia menambahkan keraguan kerana mereka sebelum ini enggan mendedahkan nama pembekal,” katanya dan menambah, pendedahan ini menimbulkan lebih banyak keraguan dengan kemampuan SPR untuk menjalankan pilihan raya bersih dan adil.
Katanya, kontroversi terbaru berhubung pembekal dakwat menyebabkan keperluan untuk panel bebas menyiasat isu ini.
Petang semalam, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menafikan mempunyai kaitan dengan Mohamed Salleh dan menyatakan pihak yang menguruskan pembelian dakwat adalah setiausaha suruhanjaya itu, Datuk Kamarudin Baria.
“Setakat yang saya tahu urusan pembelian itu berjalan dengan baik dan mendapat kelulusan Kementerian Kewangan. Lebih baik hal ini dilanjutkan kepada Kamarudin kerana saya dan timbalan tidak mencampuri urusan urusetia," kata Abdul Aziz merujuk kepada timbalannya Datuk Wan Ahmad Wan Omar. – 17 Julai, 2013.

1 comment:

Anonymous said...

"pihak yang menguruskan pembelian dakwat adalah setiausaha suruhanjaya itu, Datuk Kamarudin Baria..."

“Setakat yang saya tahu urusan pembelian itu berjalan dengan baik dan mendapat kelulusan Kementerian Kewangan. Lebih baik hal ini dilanjutkan kepada Kamarudin kerana saya dan timbalan tidak mencampuri urusan urusetia," kata Abdul Aziz merujuk kepada timbalannya Datuk Wan Ahmad Wan Omar. – 17 Julai, 2013."

sungguh syahdu..
dan amat dalam makna maksudnya tu !!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive