04 August 2013

Pelakon 80-an, Rosnah Mohd Noor Meninggal Dunia


Rosnah Mohd Noor
PETALING JAYA: Pelakon popular tahun 1980-an, iaitu Rosnah Mohd Noor, 54, meninggal dunia pada pukul 2.55 petang Ahad di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dekat sini.
Menurut rakannya, Zaridah Ishak, Allahyarham meninggal dunia di wad Onkologi hospital itu kira-kira pukul 2.55 petang Ahad.
"Rosnah sudah pun meninggal dunia pada pukul 2.55 petang tadi. Dan kini saya bersama keluarganya sibuk menguruskan jenazah. Buat masa ini kami belum pasti lokasi pengebumiannya.
"Kami sedang berbincang," katanya ringkas ketika dihubungi mStar Online kira-kira pukul 3.30 petang Ahad.
Terdahulu, mStar Online pada 27 Februari lalu pernah melaporkan Rosnah dimasukkan ke HKL apabila tulang pada bahagian paha kirinya patah akibat kesan komplikasi pelbagai penyakit termasuk kanser payudara yang dihadapinya sebelum ini.
Gambar fail yang dirakamkan pada Februari lalu menunjukkan Rosnah bersama keluarganya di Hospital Kuala Lumpur.
Allahyarham sering mendapatkan rawatan di HKL akibat penyakitnya itu.
Sepanjang penglibatannya dalam dunia seni, Rosnah telah berlakon beberapa buah filem antaranyaHantu Siang (1986), Di Ambang Kasih (1984), Aku Yang Berhormat (1983), Esok Untuk Siapa (1982) dan Ribut Di Hujung Senja (1982).
Hasil perkahwinannya dengan penyanyi dangdut Iwan, beliau dikurniakan tiga orang anak iaitu Wan Ramada Agus Putra, 24, Wan Shamira Puteri Octavia, 22, dan Wan Shahera Puteri Apreena, 20.
Wan Ramada sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang seni bina di Australia manakala anak bongsunya pula belajar di sebuah kolej swasta Kuala Lumpur.
Rosnah turut memiliki seorang cucu yang berusia setahun hasil perkahwinan anak keduanya.
Beliau juga sudah berpisah dengan seorang usahawan iaitu perkahwinan keduanya kira-kira dua tahun lalu.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive