28 October 2013

Gula dan GST ...Paling hot


OCTOBER 28 , 2013

Dua perkara dalam Bajet 2014 yang dibentangkan Datuk Seri Najib Razak pada Jumaat hangat menjadi perbualan ramai: pemansuhan subsidi gula 34 sen secara serta-merta dan pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Pemansuhan subsidi gula sememangnya akan menjejaskan kehidupan rakyat jelata terutamanya orang-orang Melayu kerana penggunaan gula yang tinggi dalam pemakanan mereka.
Sudah pasti harga nasi lemak, kuih-muih dan banyak lagi akan naik dengan mendadak.
Semasa membentangkan Bajet 2014, Najib mengatakan pemansuhan subsidi gula adalah kerana penyakit kencing manis atau diabetes kini menjadi ancaman utama negara.
Hujah itu dijawab dengan serta-merta oleh doktor-doktor pada malam selepas Bajet 2014 dibentangkan bahawa gula bukan satu-satunya punca penyakit kencing manis, makanan berkarbohidrat yang sebenarnya banyak menyumbang kepada penyakit berbahaya itu.
Ini menyebabkan Najib terpaksa menggunakan hujah lain untuk mempertahankan pemotongan subsidi gula apabila berkata, pengambilan gula berlebihan boleh menyebabkan lelaki lemah tenaga batin.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula pergi lebih jauh lagi apabila berkata langkah kerajaan itu mengingatkan semua pihak agar jangan sampai terjadi kepada mereka apa yang berlaku kepada bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Razak akibat mengambil gula terlalu banyak.
Azizan meninggal dunia baru-baru ini dan menyebabkan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau berlangsung sekarang.
Di mana hilangnya sensitiviti Muhyiddin selaku pemimpin negara?
Di kala keluarga dan pengikut Azizan masih lagi bersedih dan kubur bekas menteri besar Kedah itu masih lagi merah, mengapa kenyataan sebegitu yang dikeluarkan timbalan perdana menteri?
Sudah mansuhkan subsidi gula, pertahankan sahajalah tindakan itu dengan hujah yang lebih bernas, jangan koyakkan lagi hati yang sedang sedih.
Tidak hairanlah jika ada yang berkata di laman-laman sosial Muhyiddin sedang cuba untuk sabotaj Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir di DUN Sungai Limau.
Daripada Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang untuk merampas DUN itu, terus hilang peluang kerana 'kebijaksanaan' Muhyiddin itu.
GST
GST turut menjadi bualan kerana ia akan melibatkan seluruh rakyat.
Walaupun sudah pasti ramai orang tidak begitu faham dengan sistem percukaian baru itu, apa yang mereka pasti tahu, mereka akan berhadapan dengan lebih banyak cukai bagi majoriti barangan dan perkhidmatan digunakan.
“Lebih 160 negara di dunia melaksanakan GST. Ini menunjukkan bahawa GST adalah satu sistem percukaian yang terbaik setakat ini dan terbukti berkesan.
“Sekiranya GST ini memudaratkan rakyat dan negara, masakan majoriti negara di dunia menggunapakai sistem percukaian ini,” kata Najib di Dewan Rakyat, pada Jumaat.
Hujah negara lain ada, negara kita belum ada sebenarnya hujah yang akan menjerat.
Orang akan bertanya, hanya Malaysia, Singapura dan Brunei sahaja yang tidak membenarkan kemasukan pemantau pilihan raya antarabangsa di Asean, mengapa Malaysia tak nak ikut?
Bukankah ia terbukti meningkatkan integriti pilihan raya negara?
Tidak ada masalah jika kerajaan mahu rakyat membantu negara menambahkan pendapatan jika mereka berbelanja secara berhemah sebelum ini.

Realitinya tidak apabila Laporan Audit Negara 2012 menunjukkan sebaliknya. Antaranya:
a) Polis Diraja Malaysia (PDRM) kehilangan aset berjumlah RM 1.33 juta, termasuk 156 pasang gari, 44 pucuk senjata api, 29 buah kenderaan, 26 set walkie-talkie, dan 22 buat radio.
b) Kementerian Belia dan Sukan membelanjakan RM 67.6 juta untuk Hari Belia 2012, peningkatan yang cukup tinggi dari peruntukan asal RM15 juta; di mana RM1.6 juta telah dibelanjakan untuk membawa masuk kumpulan K-pop.
c) Kasut buatan khas untuk pegawai Jabatan Kastam, yang lambat diagih mengakibatkan 7,659 pasang kasut dimusnahkan kerana tidak mengikut spesifikasi. Jumlah kehilangan dianggarkan bernilai RM 602,089.
Jadi apakah selepas GST dilaksanakan pada 1 April 2015 nanti, apabila pendapatan negara semakin tinggi, lebih banyak pembaziran akan dilakukan?
Bukankah kerajaan seharusnya tunjukkan kepada rakyat terlebih dahulu bagaimana mereka bersungguh untuk memerangi rasuah dan ketirisan? 

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive