07 December 2013

Banjir : Lebih 38,000 mangsa banjir masih ditempatkan di pusat pemindahan di Pahang

KUANTAN: Sebanyak 117 pusat pemindahan banjir masih dibuka dengan menempatkan 38,099 mangsa daripada 10,849 keluarga di lapan daerah di Pahang yang terjejas akibat banjir pagi ini. 

Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, mereka yang dipindahkan setakat jam 9 pagi ini membabitkan daerah Kuantan, Pekan, Temerloh, Jerantut, Rompin, Maran, Lipis dan Bera.


Kuantan masih mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 32,880 orang yang ditempatkan di 38 pusat pemindahan," katanya kepada Bernama di sini, hari ini. 



Katanya, di Pekan 3,464 mangsa ditempatkan di 26 pusat pemindahan, Temerloh (839 orang di 22 pusat pemindahan), Jerantut (392 orang di 10 pusat pemindahan), Maran (183 orang di lima pusat pemindahan), Rompin (172 orang di empat pusat pemindahan), Bera (116 orang di lapan pusat pemindahan) dan Lipis (53 orang di empat pusat pemindahan). 

Sementara itu, beberapa jalan utama masih ditutup akibat dinaiki air melebihi satu meter, antaranya Kilometer 28 Jalan Sungai Lembing-Kuantan, Kilometer 72 Jalan Kuantan-Segamat dan Kilometer 14 Jalan Temerloh-Bahau. - BERNAMA



  • Banjir johor
 1 / 1 
JOHOR BAHRU - Sejumlah 1,633 mangsa banjir daripada 426 keluarga di Johor masih berada di pusat pemindahan di lapan daerah di negeri ini.
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor berkata, setakat pukul 10 pagi ini, kesemua mangsa di Johor Baharu, Kulaijaya, Pontian, Kota Tinggi, Kluang, Batu Pahat, Ledang dan Segamat itu ditempatkan di 23 pusat pemindahan.

"Seramai 566 mangsa berada sembilan pusat pemindahan di Segamat, Batu Pahat (422 mangsa, lima pusat pemindahan), Pontian (401 mangsa, tiga pusat pemindahan), Kota Tinggi (97 mangsa, dua pusat pemindahan), Johor Baharu (65 mangsa, satu pusat pemindahan), Kulaijaya (54 mangsa, satu pusat pemindahan), Kluang (20 mangsa, satu pusat pemindahan) dan Ledang (lapan mangsa, satu pusat pemindahan," katanya ketika dihubungi.

Jurucakap itu berkata antara kawasan yang masih terjejas di Segamat ialah Kampung Sanglang, Kampung Paya Dalam, Kampung Awat, Kampung Pogoh 2, Kampung Batu Badak, Kampung Tandong dan Kampung Spang Loi.

Di Batu Pahat pula melibatkan Koris, Kampung Parit Haji Kamisan, Sungai Suloh, Parit Lapis serta Kampung Linau Kechil.

Di Kota Tinggi, kawasan yang terjejas adalah Kampung Mawai Baru dan Kampung Perpat; Pontian melibatkan Parit Stan dan Tampuk Laut; Ledang melibatkan Kampung Kundang Ulu; Johor Baharu melibatkan Kampung Nong Chik; Kluang melibatkan Kampung Melayu Batu 4 dekat Paloh manakala Kulaijaya melibatkan Kampung Baru Sengkang. - Bernama

Kuala Terengganu pula dilanda banjir

Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan di Terengganu menurun kepada 6,758 orang pagi ini berbanding 7,167 orang malam tadi manakala Kuala Terengganu pula menjadi daerah terbaharu dilanda banjir.
Menurut portal Majlis Keselamatan Negara, sebuah keluarga mengandungi enam orang dari Kuala Terengganu dipindahkan 9.30 malam tadi di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Felda Belara, setelah kawasan rumah mereka dinaiki air.
Secara umumnya jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan di beberapa kawasan yang terjejas di negeri ini mula berkurangan dan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing semalam.
Di Dungun, jumlah mangsa di pusat pemindahan menurun kepada 4,101 orang daripada 1,000 keluarga apabila hampir 240 orang dibenarkan pulang lewat malam tadi.
Bagaimanapun mangsa di Kemaman pula masih kekal 2,450 orang daripada 595 keluarga.
Mangsa di daerah Hulu Terengganu dan Marang juga kekal seperti semalam iaitu 157 (39 keluarga) di Hulu Terengganu dan 44 (15 keluarga) di Marang.
Sehingga kini, sebanyak 1,650 keluarga telah dipindahkan ke 67 pusat pemindahan. - Bernama, 7 Disember, 2013.


No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive