Pasca PRU13, ataupun pasca rakyat memberi mandat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN), kesabaran rakyat terus dan terus diuji. Pelbagai jenis keperluan rakyat dinaikkan dengan alasan yang pelbagai. Kata Datuk Seri, kita naikkan gula kerana mahu mengurangkan kadar diabetes rakyat Malaysia. Malah kata menteri-menteri yang lain, yang menjadi 'trademark' setiap kali kos sara hidup dinaikkan, "Kalau tak suka, jangan duduk di Malaysia!".
Macam Malaysia ini kerajaan BN yang punya. Suka hati menghalau rakyat untuk berhijrah ke negara lain.
Datuk Seri Najib Razak, saya masih ingat salah satu manifesto parti sewaktu PRU13. Datuk kata mahu menurunkan kadar tol secara berperingkat, Datuk kata mahu menurunkan itu dan ini, maka gembiralah kami seraya memberi mandat kepada Datuk agar melaksanakan manifesto dan janji. Datuk kata prihatin nasib rakyat. Saya ingat lagi, Datuk selalu mengulang kalimah Janji Ditepati. Namun setelah mandat itu diterima, mana Janji Ditepati? Yang saya lihat, banyak roti capati yang dijual di kedai-kedai mamak. Saya tak suka makan roti capati.
Ingatlah Datuk, mandat yang dipegang sekarang diberi oleh rakyat, maka rakyat mampu menariknya kembali. Maka, prihatinlah masalah rakyat. Datuk kata rakyat mampu untuk menanggung kenaikan kos ini. Adakah Datuk tahu kewujudan begitu banyak golongan yang tidak mempunyai rumah (homeless) di bandar KL ini? Hampir setiap minggu rakan-rakan saya melalui begitu banyak program seperti The Nasi Lemak Project dan sebagainya turun untuk memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan. Itu baru di bandar, bagaimana pula nasib mereka di kampung? Saya masih ingat lagi sewaktu saya kecil, ibu saya menangis kerana tidak mampu memberi wang kepada saya untuk ke sekolah. Saya memikirkan, jika golongan pertengahan pun berang kerana kenaikan kos sara hidup, bagaimana pula dengan golongan bawahan? Datuk, mereka miskin bukan kerana mereka bodoh, tapi mereka miskin kerana mereka diperbodohkan kroni-kroni Datuk.
Setiap kali berjalan di bandar, saya sedih melihat golongan peminta sedekah, golongan OKU yang menjual barang-barang di tepi jalan. Saya terfikir, di manakah perginya cukai-cukai yang dibayar rakyat kepada kerajaan? Ke mana ia dilaburkan? Saban tahun, saya kecewa melihat laporan audit yang dikeluarkan Jabatan Audit Negara. Begitu banyak pembaziran dan wang yang 'lesap'. Itu wang rakyat Datuk. Wang golongan yang membanting tulang setiap hari mencari nafkah sekeluarga. Majoriti rakyat Malaysia bukanlah kaya macam Datuk, kami tak mampu belajar ataupun bercuti sehingga ke luar negara, tapi Alhamdulillah kami masih mampu berfikir. Berfikir kenapa rakyat Malaysia dibebani sehingga sebegini rupa.
Masyarakat Malaysia, kita bertuah kerana bumi Malaysia ini kaya dengan rezeki. Kita ada minyak, kelapa sawit dan pelbagai lagi hasil negara. Tapi jangan sekali-kali kita bersyukur kepada kerajaan apabila pendapatan hasil bumi ini diseleweng dan disalahguna.
Semalam, saya dapat tahu seorang aktivis yang memperjuangkan supaya kos sara hidup diturunkan, Azan Safar, Pengerusi Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) ditahan polis untuk direman. Saya tertanya-tanya, begitu ramai penjenayah nasional, penyeleweng wang rakyat dan wang zakat dibiarkan hidup senang lenang, tapi kenapa seorang anak muda yang memperjuangkan nasib rakyat tertindas ditahan polis dan aktivis lain dilayan dan diherdik kasar sewaktu penangkapan saudara Azan Safar? Wah, nampaknya Datuk mahu menangkap siapa saja yang membantah kenaikan kos sara hidup yang membebankan rakyat. Lagak Datuk gah seperti seorang diktator. Saya fikir, logik apakah ini?
Sesungguhnya, saya sedar Datuk mungkin tidak akan membaca apa yang saya tulis, namun jauh di sudut hati saya berharap Datuk dapat berubah. Jika tidak, maka tunggulah hukuman daripada rakyat yang diperbodohkan ini. Mandat yang kami berikan kepada Datuk, ketahuilah ia tidak lama. – 25 Disember, 2013.- TMI
No comments:
Post a Comment