30 January 2014

Najib lemah - Isma

JANUARY 30, 2014
Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menyesali sikap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mendiamkan diri berhubung isu kalimah Allah.
“Pendirian beliau berhubung isu kalimah Allah ini membuktikan bahawa beliau lebih menjaga kaum minoriti yang melampau,” kata Naib Presiden II Isma, Abdul Rahman Mat Dali.
Najib hari ini dalam pertemuannya bersama pimpinan 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili kaum Melayu dan Islam telah menyatakan bahawa beliau perlu berdiam diri dalam isu kalimah Allah kerana tidak mahu memburukkan lagi keadaan dengan menambah bahang kemarahan.
Kata Najib, beliau adalah seorang pemimpin semua rakyat Malaysia dan bukan semata-mata pemimpin satu kaum.
Justeru bagi Isma, ini sekali lagi membuktikan Najib seorang pemimpin yang lemah dan dilihat tidak mampu menguasai keadaan yang celaru ketika ini.
Bahkan beliau juga tidak mampu menangani ancaman terhadap agama Islam dan kepentingan bangsa Melayu pada masa hadapan, kata Isma.
Isu penggunaan nama Allah telah mencetuskan pelbagai peristiwa sejak kebelakangan ini.
Ia bermula dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan majalah Kartolik Herald menggunakan nama Allah dalam penerbitan mereka. Namun, Mahkamah Rayuan menolak keputusan itu.
Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pula telah menyerbu Pertubuhan Bible Malaysia (PBM) dan merampas lebih 300 Bible berbahasa Melayu dan Iban.
Dua pemimpin PBM juga dibawa ke balai polis walaupun dibebaskan kemudiannya.
Sejak itu, ada-ada sahaja peristiwa yang berlaku mengenainya sehingga dikatakan menimbulkan ketegangan.
Ramai juga yang berpendapat ketegangan ini hanya ciptaan sahaja kerana isu sebenar negara adalah kenaikan kos sara hidup. – 30 Januari, 2014.- TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive