13 February 2014

Pelobi Swiss mahu 'RM56j aset Taib' dibeku


Kumpulan pendesak yang berpangkalan di Switzerland, Bruno Manser Fund, menggesa pihak berkuasa Amerika Syarikat dan Malaysia supaya membekukan AS$16.94 juta (RM56.32 juta) yang dipercayainya dana haram yang dikaitkan dengan Ketua Menteri Sarawak yang akan bersara, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.


Ia berkata AS$16.94 juta itu adalah hasil daripada jualan sebuah bangunan di San Fransisco pada tahun 2012 oleh syarikat Sakti International Corporation, yang didakwanya separuh dimiliki oleh Taib dan ini melanggar perlembagaan Sarawak.

Perlembagaan negeri itu melarang ketua menteri daripada melibatkan diri secara aktif dalam entiti komersial.

Ia mendakwa bahawa penjualan Sakti itu merupakan satu contoh jelas pengubahan wang haram.


"Seorang ahli politik asing yang bertindak dengan cara yang menyalahi undang-undang dan perlembagaan tidak harus dibenarkan untuk beroperasi secara bebas di Amerika Syarikat," katanya.

Oleh itu, katanya, pihak berkuasa Amerika Syarikat dan Malaysia perlu bertindak dengan tegas dan merampas semua aset Taib yang tidak dapat dijelaskan asal-usulnya.

Menurut BMF, dokumen didedahkan oleh pemberi maklumat Ross Boyert (kiri) pada 2010 menunjukkan bahawa 50 peratus daripada saham Sakti itu dipegang sebagai amanah bagi pihak Taib oleh saudaranya dan anak-anaknya.

Boyert telah menguruskan hartanah keluarga Taib di Amerika Syarikat selama 12 tahun sehingga dia dipecat. Beliau memfailkan saman terhadap Sakti pada tahun 2007 berkaitan pemecatannya itu.

Bagaimanapun, Boyert ditemui mati di sebuah bilik hotel di Los Angeles pada 2010, selepas dokumen itu bocor. - malaysiakini

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive