11 March 2014

2 Penumpang Guna Pasport Curi Didakwa Warga Iran - BBC

..KUALA LUMPUR: Dua penumpang yang didakwa menggunakan pasport curi menaiki penerbangan MH370 dari KLIA menuju ke Beijing yang hilang pada Sabtu lalu didakwa sebagai warganegara Iran, menurut laporan BBC Persia.
Menurut laporan tersebut, rakan kepada kedua-dua penumpang itu yang juga merupakan warga Iran mendakwa, dia telah membantu mereka sewaktu berada di Kuala Lumpur selepas tiba dari Tehran, beberapa hari sebelum penerbangan mereka ke Beijing.
Menurutnya, kedua-dua lelaki itu membeli pasport curi tersebut kerana mereka mahu berpindah dan menetap di Eropah.
Dalam satu sidang media di KLIA semalam, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman memberitahu bahawa, kedua-dua penumpang tersebut ‘tidak memiliki wajah Asia”.
Walaubagaimanapun, Azharuddin tidak menyatakan dengan spesifik kewarganegaraan kedua-dua penumpang tersebut.
Sementara itu, satu laporan oleh Financial Times mengatakan bahawa ketika operasi mengesan pesawat itu dipergiatkan, pihak berkuasa juga sedang mengesan seorang warganegara Iran yang didedahkan oleh seorang agen pelancongan di Thailand sebagai individu yang membeli tiket bagi pihak dua penumpang yang menaiki pesawat itu dengan pasport curi.
Agen pelancongan itu, Benjaporn Krutnait memberitahu akhbar The Financial Times pada Isnin, lelaki yang dikenalinya sejak tiga tahun lalu itu hanya dikenali dengan nama "Encik Ali".
Krutnait pada awalnya menempah untuk lelaki Iran itu dua tiket ke Eropah pada 1 Mac lalu melalui penerbangan Qatar Airways dan Etihad. Tiket itu kemudiannya terbatal kerana tidak dituntut oleh Ali.
Pada Khamis 6 Mac, Ali menghubungi Krutnait dan agen pelancongan itu untuk menempah tiket Penerbangan Malaysia kerana dikatakan ketika itu tiket paling murah yang ada. Beliau menempah tiket itu melalui China Southern Airlines yang berkongsi kod penerbangan dengan MH370.- Astro Awani
http://www.astroawani.com/news/show/2-penumpang-guna-pasport-curi-didakwa-warga-iran-bbc-31649?cp


Interpol simpan rekod pasport curi

Kuala Lumpur: Interpol mengesahkan pihaknya mempunyai data dua pasport milik warga Austria dan Itali yang dilaporkan dicuri sebelum dokumen itu digunakan dua penumpang ‘hantu’ dalam penerbangan MAS MH370 yang hilang selepas pesawat berkenaan terputus hubungan dengan menara kawalan jam 2.40 pagi, Sabtu lalu.

Memetik kenyataan yang dikeluarkan laman web Interpol, data dua pasport berkenaan disimpan di dalam Pangkalan Data Dokumen Perjalanan Hilang (SLTD) Interpol. 
Interpol memberitahu, semakan melalui SLTD mendapati dua pasport milik warga Austria dan Itali itu dilaporkan dicuri di Thailand pada 2012 dan 2013.

Kenyataan itu berkata, Interpol kini sedang giat menjalankan pemeriksaan ke atas semua pasport penumpang yang menaiki penerbangan MH370 kerana terdapat kemungkinan pasport lain juga dilaporkan dicuri.
Foto
PESAWAT tentera udara Amerika Syarikat MH-60R Sea Hawk mendarat di Kapal Destroyer USS Pinck Ney (DDG-91) selepas membuat rondaan mengesan pesawat penerbangan MH370 di Teluk Siam, semalam.

“Interpol kini sedang berhubung dengan Biro Pusat Kebangsaan negara masing-masing (Austria dan Itali) yang bagi mengenal pasti identiti sebenar penumpang yang menggunakan pasport curi berkenaan ketika menaiki pesawat MH370,” menurut kenyataan itu.

Setiausaha Agung Interpol Ronald K Noble berkata, masih terlalu awal untuk membuat spekulasi mengenai kaitan antara pasport curi dan misteri kehilangan pesawat berkenaan, bagaimanapun ia sesuatu yang membimbangkan jika ada antara penumpang menaiki penerbangan antarabangsa menggunakan pasport curi.

Sumber memberitahu Harian Metro, Interpol kini turut menyemak semua pasport penumpang dan mengakses sistem Imigresen Malaysia berkaitan pasport kerana dikhuatiri terdapat individu lain menggunakan pasport curi.

Dalam perkembangan membabitkan kes curi identiti dua individu yang menaiki pesawat MH370, sumber berkata, pasukan keselamatan Malaysia yang dibantu Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) kini sedang menyiasat sindiket mencuri dan menjual pasport yang dipercayai beroperasi dan berpangkalan di Thailand.

“Sindiket yang beroperasi di Thailand itu dilapor menyasarkan warga asing seperti pelancong sebelum mencuri pasport milik mereka. Ia (mencuri) dilakukan sama ada kaedah samun ataupun seluk saku. HMetro

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive