PUTRAJAYA: Di sebalik pengumuman rasmi kerajaan pada Isnin lepas bahawa penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi, masih ada keluarga yang berharap pesawat Malaysia Airlines (MAS) berkenaan selamat.
"Kita masih mahu bukti kukuh diberikan dan tidak hanya diberitahu pesawat itu telah berakhir di Lautan Hindi," kata Sharil Shaari, sepupu Mohd Razahan Zamani, iaitu seorang daripada 227 penumpang MH370, kepada pemberita hari ini.
Dia juga tidak mahu menerima ucapan takziah.
"...mangsa masih hilang dan bukan sudah tiada," katanya.
"...mangsa masih hilang dan bukan sudah tiada," katanya.
Mohd Razahan, 23, dan isteri Norli Akmar Hamid, 33, menaiki penerbangan MH370 ke Beijing untuk berbulan madu.
Sementara itu di BANGI, anggota keluarga penumpang dari China yang ditempatkan di Hotel Bangi-Putrajaya dikatakan enggan keluar dari bilik masing-masing sejak lewat malam Selasa.
Menurut seorang pegawai keselamatan yang enggan namanya didedahkan, mereka juga tidak mahu berjumpa dengan sesiapa melainkan jika ada maklumat baharu.
"Makan pun mereka guna khidmat 'room service'," katanya.
Sementara itu, Kam De Zheng iaitu Setiausaha Sulit Duta Khas Perdana Menteri ke China Tan Sri Ong Ka Ting, ketika dihubungi mengesahkan tiada taklimat dijadualkan untuk keluarga penumpang yang menetap di hotel itu hari ini.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas mengenai desas-desus keluarga terbabit akan dipindahkan ke Hotel Everly, Putrajaya untuk ditempatkan bersama-sama keluarga penumpang lain.
Sabtu lepas, kira-kira 20 anggota keluarga penumpang warga China dipindahkan ke hotel itu dari Hotel Cyberview yang telah ditempah awal sempena perlumbaan Grand Prix F1 Malaysia yang akan berlangsung dari 28 hingga 30 Mac ini di Litar Sepang.
Lobi hotel juga dikawal rapi oleh pengawal keselamatan MAS dan hotel selain meletakkan papan tanda 'No Media After This Point' di pintu utama.
Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dengan lebih 150 warga China serta 12 anak kapal, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam, 8 Mac sebelum hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian.
Pada Isnin lepas, iaitu hari ke-17 misi mencari dan menyelamat yang membabitkan 26 negara, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi, berdasarkan rumusan data satelit dan siasatan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB). - Bernama
No comments:
Post a Comment