18 March 2014

Kehilangan MH370 : Kapten Zaharie: Antara tuduhan dunia dan kenangan rakan-rakan


Sebelas hari berlalu...kini misteri kehilangan pesawat MH370 nampaknya sudah makin terarah kepada juruterbang pesawat Kapten Zaharie Ahmad Shah.

Ketika gerakan mencari baru bermula di koridor Selatan dan Utara di mana MH370 ' dipercayai diterbangkan, media asing terutamanya cukup ghairah mengaitkan secara langsung juruterbang itu sebagai dalang misteri kehilangan pesawat B777-200 yang menjadi tanda tanya seluruh dunia.

Siapapun saja di atas pesawat yang melakukan aksi melencongkan penerbangannya yang sepatutnya ke Beijing dengan 'menyorok' dari radar itu, ia pastinya telah mengalahkan semua teknologi yang ada.


Menurut laporan New York Times pada Isnin, lencongan arah yang diambil pesawat MH370, diprogramkan menerusi sistem komputer pesawat, bukan kawalan manual, menguatkan lagi anggapan seseorang di dalam kokpit bertanggungjawab terhadap kehilangan pesawat itu tidak lama selepas ia bertolak dari KLIA awal pagi Sabtu 8 Mac.

Memetik pegawai kanan Amerika, akhbar itu berkata, individu terbabit yang mengubah laluan penerbangan “taip tujuh atau lapan ketukan kekunci di komputer yang berada di antara kapten dan pegawai pertama (pembantu juruterbang)”.


Peralatan itu, yang juga dikenali sebagai Sistem Pengurusan Pesawat, mengarahkan pesawat dari satu titik ke titik lain seperti dinyatakan dalam pelan penerbangan yang dihantar sebelum penerbangan.

Bagaimanapun, tidak diketahui jika laluan pesawat itu diprogramkan semula sebelum atau selepas berlepas.

Ini mengukuhkan lagi keyakinan penyiasat pesawat itu sengaja dilencongkan dan wujud perbuatan khianat dalam kes kehilangan MH370.

NYT melaporkan pesawat meneliti pita radar dari tempat pesawat berlepas di Kuala Lumpur kerana mereka percaya ia akan menunjukkan ia melepas “pra-perancangan titik arah” – yang dikatakan seperti penanda jarak maya di udara.

Ini menandakan juruterbang berkenaan perlu mempunyai pengetahuan yang tinggi dan perlu ada dalam pesawat itu kerana tidak mungkin ia boleh melepasi titik arah tanpa menggunakan komputer.

Titik arah itu, dalam kes ini, nampaknya ditambah ke dalam laluan penerbangan yang dirancang, kata penyiasat.

Juruterbang biasanya berbuat demikian ketika terbang jika mereka diberitahu oleh pengawal trafik udara untuk mengambil laluan lain bagi mengelak keadaan cuaca tertentu atau kesesakan.

“Tetapi dalam kes ini, titik arah terlalu jauh daripada laluan ke Beijing,” kata laporan itu.

“Sesiapa yang mengubah laluan pesawat itu perlu seseorang yang sudah biasa dengan pesawat Boeing, tetapi tidak semestinya 777 – model pesawat yang hilang.”

Agak tidak masuk akal untuk mempercayai penumpang yang memprogramkan semula sistem penerbangan itu, kata pegawai dan pakar Amerika.

Sementara itu, ketika spekulasi dunia hangat menghala ke juruterbang, bagi kawan-kawan rapat dan keluarga, mendakwa Kapten Zaharie terlibat adalah sesuatu yang mustahil dan tidak masuk akal.

Satu laman fan page facebook diwujudkan sejak 16 Mac bagi mengatakan soladiriti pada juruterbang berpengalamn berasal dari Pulau Pinang itu.

Fan page itu dinamakan[I] Friends of Captain Zaharie MH370[/I] kini mempunyai lebih 1700 like, dan ditulis tujuan [I]"A page for those who believed that we should not judge a person in his absence"[/I]

Sejak dari berita kehilangan MH370 Kapten Zaharie memang digambarkan seorang yang cukup berpengalaman dalam mengendalikan pesawat. Juruterbang yang telah mencatatkan 18,365 jam penerbangan menyertai MAS sejak tahun 1981 lagi.



"Sangat berdidikasi, saya kenal keluarga beliau secara peribadi, seorang yang sangat bertanggungjawab dan pengetahuannya mengenai penerbangan sangat luar biasa," itu komen rakannya Kapten Norudin Abd Majid.

Kapten Norudin merupakan juruterbang pesawat rasmi kerajaan yang membawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Penyanyi  juga juara Akademi Fantasia Musim 5 (AF5) Mila Jirin mengakui bahawa Kapten Zaharie yang dikenali menerusi kelab peminatnya iaitu Kelab The Voice Of Mila adalah seorang yang tidak banyak bercakap tetapi sangat pemurah hati.

"Dia memang tidak lokek keluar duit untuk belanja kitaorang semua. Malah, dia juga ada hadiahkan saya dengan sebuah cermin besar berbentuk bujur sireh.

"Cermin tu besar sangat dan ia membuatkan Mila tertanya-tanya kenapa dia hadiahkan saya dengan cermin itu. Tapi, katanya cermin itu adalah refleksi kepada diri kita sendiri," kata Mila.

Dedikasinya Kapten Zaharie menyebabkan beliau mempunyai sistem simulator penerbangan Boeing 777 di kediaman sendiri. Alat itu kini disiasat polis dan pakar.

Berusia 53 tahun dan bekas pelajar[I] Penang Free School,[/I] Zaharie juga merupakan pemeriksa bertauliah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA). Selain Boeing 777, beliau pernah menerbangkan pesawat Fokker 50, Boeing 737 dan Airbus 300.

"Beliau juruterbang yang melatih juruterbang lain, cukup berpengalaman..." itu ingatan seorang lagi rakannya yang diberitahu kepada [I]Agendadaily[/I] di Hotel Sama-Sama KLIA ketika hari-hari awal kehilangan MH370.



Disifatkan sebagai seorang yang mesra, peramah, ceria, gemar bergurau serta aktif dalam komuniti kejiranan, Zaharie juga mempunyai kebolehan memasak. Antaranya kari ikan, cendawan brokoli dan sambal tauhu malah beliau seringkali menghantar sendiri masakan seperti spaghetti dan bihun goreng untuk kenduri di kawasan perumahannya.

Kerana itu spekulasi yang mengaitkan Zaharie dengan kehilangan MH370 menguris hati ahli keluarganya.

Anak perempuannya, Aishah Zaharie dipetik memberitahu rakannya bahawa tuduhan tersebut seakan-akan “membunuh keluarganya”.

Gadis yang menetap di Australia sejak 2010 itu telah pulang ke Malaysia untuk bersama-sama keluarganya di sini.

“Perkara yang ditulis oleh media antarabangsa tentang Zaharie adalah tidak tepat dan tidak masuk akal. Dia seorang lelaki yang baik dan ayah yang penyayang kepada anak-anaknya,” ujar sumber.

Selain itu, melaporkan dakwaan mengatakan isteri kepada Kapten Zaharie Ahmad Shah melarikan diri ke luar negara sehari sebelum kejadian juga tidak benar.

Menurut Sinar Harian pada Selasa  isteri Zaharie sebenarnya tidak pernah melarikan diri sebaliknya berada di rumah anak sulungnya di Subang.

Dalam laporkan memetik sumber keluarga itu, isteri Zaharie pergi ke rumah anaknya sehari sebelum kejadian.

"Beliau (isteri) sering berulang alik antara Shah Alam dan Subang apabila suaminya terbang. Kebanyakan masa dihabiskan di Subang dan hanya akan pulang ke rumah sekiranya kapten bercuti. Rumah ini boleh dikatakan sebagai rumah persinggahan untuk ahli keluarga berkumpul,".

Spekulasi yang tersebar kerana sedikit sebanyak menjejaskan emosi keluarga serta memberi tanggapan buruk terhadap keluarga Zaharie terutama isterinya.

Sebelum ini, media antarabangsa Daily Mirror melaporkan bahawa isteri Zaharie bersama tiga orang anaknya telah keluar ke luar negara sehari sebelum kejadian pesawat tersebut hilang.-18/7/2014- OLEH HELME HANAFI Agenda Daily




No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive