12 March 2014

MENCARI MH370 : JANGAN CAMPUR ADUKKAN DENGAN PERBUATAN KHURAFAT [Guna Raja Bomoh]




MENCARI MH370 : JANGAN CAMPUR ADUKKAN DENGAN PERBUATAN KHURAFAT
(12 Mac 2014)

Saya merujuk kepada kaedah menggunakan khidmat bomoh dalam mencari pesawat MH370 yang hilang. Raja Bomoh VVIP sedunia atau Ibrahim Mat Zin telah dipanggil dengan menggunakan peralatan tradisional disamping kaedah perbomohan bagi mencari pesawat tersebut.


Tidak dinafikan setiap manusia mempunyai pelbagai kemahiran dan kemampuan tersendiri. Dalam keadaan teknologi cangih, jika tidak mampu mengesan lokasi pesawat itu berada, kaedah alternatif diperlukan supaya setiap orang berperanan membantu mencari pesawat MH370. Kerajaan telahpun menggunakan pelbagai cara, daripada Angkatan Tentera, Polis, Maritim, sehinggalah kepada nelayan dikerah bagi membantu mencari pesawat itu.

Namun demikian, menggunakan khidmat bomoh, apatah lagi menggunakan khidmat jin adalah dilarang dan diharamkan dalam Islam. Saya merasa kesal kerana ada segelintir masyarakat yang masih meletakkan harapan tinggi kepada perbuatan khurafat dan tahyul melalui perantaraan jin dengan kaedah perbomohan. Dalam usaha berikhtiar mencari pesawat MH370 yang hilang, jangan pula sampai menggunakan perkara yang terlarang dan diharamkan dalam Islam. Di Dalam Al Qur’an Allah SWT berfirman : “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari syirik itu bagi siapa yang dikehendakinya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar" (an-Nisa’: ayat 48). Firman Allah lagi. yang maksudnya "Janganlah kamu menyembah apa-apa yang tidak memberi manfa'at dan tidak pula memberi mudharat kepadamu selain Allah; sebab jika kamu berbuat yang demikian itu, maka sesungguhnya kamu kalau begitu termasuk orang yang zalim" (Yunus:106). Sabda Rasulullah saw yang mafhumnya," Barangsiapa mengada-adakan di dalam agama kami sesuatu yang tidak ada di dalamnya, maka yang dikerjakannya itu tertolak".

Saya merasa bimbang kerana sudahlah pesawat tidak dijumpai, orang ramai pula diperbodohkan dengan aksi yang melucukan, malah mendapat dosa kerana percayakan perkara khurafat. Yang dikhuatiri orang ramai akan terjerumus kepada perbuatan syirik kerana meyakini kepada kekuasaan jin melebihi kekuasaan Allah SWT.

Sepatutnya, sebagai umat Islam, ikhtiar yang paling baik adalah menyerahkan diri kepada Allah SWT. Solat Hajat, bermunajat, berdoa dan bertawakkal kepada Allah SWT adalah jalan terbaik daripada menyerahkan nasib kepada para bomoh. Allah SWT mencipta setiap makhluk dan Allah SWT lebih mengetahui di mana pesawat itu berada ketika ini. Dalam saat genting seperti ini, seharusnya jagalah sensitif amalan agama dan jangan sesekali melakukan maksiat kepada Allah SWT. Saya bimbang, dengan munajat dan solat Hajat yang dilakukan bercampur baur dengan perbuatan khurafat dan syirik, akan menyebabkan kemurkaan Allah SWT terhadap hambaNya sehingga memberi kesan terhadap usaha yang dijalankan ini.

Saya menyeru semua umat Islam agar kembali menyerahkan diri kepada Allah SWT, yakin dan bersangka baik kepada Allah SWT dan tidak sesekali melakukan perbuatan mungkar. Mungkin ia menjadi sebab bagi Allah mempermudah ujian yang sedang ditanggung di negara ini.

DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat

1 comment:

Anonymous said...

saya pun bomoh jugak .untuk nak kembali kan dara PAKAI 2 biji kelapa dan kalau nak kembali kan MH730 kena 10 lori kelapa.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive