KUALA LUMPUR: Dua objek disyaki serpihan daripada pesawat Malaysia Airlines MH370 yang dikatakan ditemui di selatan Lautan Hindi dipercayai hanyut sejauh 300 hingga 400 kilometer (km) ke lokasi imej dirakam satelit Australia.
Pakar Oseanografi di University of Western Australia Profesor Charitha Pattiaratch berkata, ini berdasarkan arus kuat di kawasan mencari dan menyelamat berada dalam lingkungan Pentas Naturalist yang berukuran 250 km lebar dan 400 km panjang.
Katanya, kawasan itu juga dikelilingi laut sedalam kira-kira 5,000 meter yang boleh menenggelamkan puncak Gunung Kinabalu yang mempunyai ketinggian 4,095 meter.
“Berdasarkan faktor arus, serpihan itu kemungkinan hanyut dari barat ke timur sebelum dikesan satelit kira-kira 2,500 km dari Perth. Perairannya tetap dalam walaupun di mana saja pasukan mencari berada,” katanya.
“Berdasarkan faktor arus, serpihan itu kemungkinan hanyut dari barat ke timur sebelum dikesan satelit kira-kira 2,500 km dari Perth. Perairannya tetap dalam walaupun di mana saja pasukan mencari berada,” katanya.
KAPAL Hoegh St Petersburg dijangka tiba di kawasan barat Australia di mana kemungkinan serpihan pesawat hilang MH370 telah dikesan. FOTO AP
Sementara itu, mengikut maklumat pada laman Twitter Lembaga Keselamatan Maritim Australia (AMSA), pasukan penyelamat menghadapi cabaran cuaca dan persekitaran.
Kru pesawat Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) berhadapan masalah mengesan objek berkenaan akibat cuaca buruk. Penglihatan kru pesawat RAAF P-3 Orion dibatasi awan dan hujan.
Menteri Pertahanan Australia David Johnston juga mengakui kawasan itu adalah 'terpencil' di dunia.
"Operasi mengenal pasti dan mengesahkan maklumat yang dikesan satelit ini merumitkan terutama dari segi logistik," katanya dalam temuramah televisyen di Australia.
Dalam pada itu, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, walaupun petunjuk terbaru ini nampak meyakinkan, ia masih perlu disahkan terlebih dulu.
Beliau menjelaskan beberapa pesawat milik Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat sedang dalam perjalanan ke lokasi objek berkenaan dan akan menghantar laporan apabila maklumat diperoleh lengkap.
Menurutnya, pengesahan sama ada objek yang dikesan adalah pesawat MH370 akan diumumkan secepat mungkin. "Selain aset tentera, kapal dagang yang berada berhampiran turut memberi maklum balas terhadap permintaan bantuan oleh Australia," katanya dalam sidang media di Hotel Sama-sama, di sini, hari ini.
Dua objek masing-masing sepanjang kira-kira 24 meter dan lima meter dikesan satelit Australia dan penemuan ini diumumkan Perdana Menteri Australia Tony Abbott pada sidang Parlimen di Canberra hari ini.
Beliau juga memaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melalui panggilan telefon pada 10 pagi tadi. Empat pesawat tentera dikerah untuk mengenal pasti dua objek yang dikesan satelit Australia, kata Pengurus besar Bahagian Respons Kecemasan Lembaga Keselamatan Maritim Australia (AMSA) John Young.
Sebuah pesawat C-130 Hercules RAAF ditugaskan oleh Pusat Penyelarasan Menyelamat Australia (RCC Australia) AMSA untuk menjatuhkan boya penanda datum yang akan digunakan bagi memberikan maklumat mengenai pergerakan air bagi membantu dalam pemodelan aliran, kata Young. Boya itu juga akan menyediakan satu titik rujukan berterusan jika tugas menempatkan semula objek berlanjutan.
Tiga pesawat lain juga akan ke kawasan itu termasuk sebuah pesawat Orion Tentera Udara Diraja New Zealand dan pesawat P8 Poseidon Tentera Laut Amerika Syarikat. "Pesawat Poseidon dijangka tiba 3 petang. Pesawat kedua Orion RAAF dijangka berlepas dari pangkalan Pearce RAAF pada 6 petang.
Pesawat Orion New Zealand dijangka berlepas 8 malam," katanya. Kapal Tentera Laut Diraja Australia, HMAS Success, juga dalam perjalanan ke kawasan itu tetapi akan mengambil masa beberapa hari sebelum tiba.
Kapal itu dilengkapi dengan kemudahan untuk mendapatkan semula mana-mana objek di lokasi dan jika terbukti daripada MH370, katanya. Sementara itu, syarikat perkapalan Hoeeg Autoliners mengesahkan sebuah kapal pengangkut Norway tiba di kawasan berkenaan untuk turut serta dalam gerakan mencari.
Bagaimanapun, gerakan mencari hari ini agak terbatas berikutan matahari terbenam pada jam 1300 GMT, kata jurucakap Hooeg Autoliners Christian Dahll.
Kapal pengangkut yang didaftarkan di St Petersburg itu dalam perjalanan dari Port Louis, Mauritius ke Melbourne apabila ia diminta pihak berkuasa Australia untuk mengubah laluannya di Lautan Hindi bagi melalui kawasan yang dikenal pasti penemuan objek berkenaan. Operasi SAR ditangguhkan malam ini dan akan bersambung semula pada Jumaat. - Agensi
No comments:
Post a Comment