29 March 2014

MH370 : Setelah bertemu Hishammuddin ...Keluarga Penumpang Taruh Harapan Tinggi

PUTRAJAYA 29 Mac - Rata-rata keluarga penumpang dan anak kapal pesawat MH370 yang hilang kelihatan berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh pemangku Menteri Pemangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bahkan menaruh harapan tinggi agar penerbangan Malaysia Airlines (MAS) itu ditemui dalam keadaan selamat.

Salah seorang ahli keluarga penumpang MH370 Mohamad Sahril Shaari, 36, berkata penjelasan yang diterima itu sekaligus menambahkan lagi semangat kepada beliau dan ahli keluarga yang lain.

"Alhamdulillah, pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein datang dan terjawab soalan kami. Kita tanya satu soalan Hishammuddin sudah menghuraikan segalanya dan kita tidak tahu apa lagi mahu tanya," katanya kepada pemberita selepas bertemu dengan Hishammuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya di Hotel Everly Putrajaya pagi tadi.


Mohamad Sahril merupakan sepupu kepada penumpang Ahmad Razahan Zamani yang dalam perjalanan ke Beijing untuk berbulan madu bersama isteri Norliakmar Hamid.

Dalam masa sama beliau memberitahu persoalan utama yang diutarakan adalah berkaitan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengatakan bahawa pesawat MH370 berakhir di Lautan Hindi.

"Media tempatan dan asing semuanya ucap takziah sedangkan kami masih tidak mengakui ia (penumpang dan krew) sudah tiada. Kami anggap ia masih ada kerana belum ada bukti (terhempas). Tadi Hishammuddin kata masih mencari dan kita masih ada harapan. Dapat sedikit serpihan menandakan bukti kukuh dan kotak hitam dapat menghuraikan semuanya," ujar beliau.

Selain itu Mohamad Sahril turut memohon supaya dunia tidak menuding jari dan menyalahkan mana-mana pihak berhubung insiden berkenaan serta memberi harapan penuh kepada penemuan kotak hitam bagi merungkai segala persoalan.

"Kita rasa benda ini merupakan tekanan hebat, dunia kecam kita macam-macam. Saya harap pada dunia jangan sebab nila setitik satu rakyat Malaysia terima akibatnya. Bagaimana rakyat kita yang mahu ke negara China, saya harap daripada kotak hitam itulah yang boleh merungkai segala jawapan," katanya

Tambahnya, beliau juga akan berlepas ke Perth, Australia sekiranya terdapat penemuan bukti pesawat MH370 di sana.

Ketika menceritakan situasi keluarga, Mohamad Sahril memberitahu kakak beliau yang juga ibu kepada penumpang sudah pasti berada dalam kesedihan apatah lagi melihat gambar anaknya itu di kaca televisyen.

Namun yang demikian keluarga ini masih meletakkan harapan tinggi berikutan tiada bukti kukuh menandakan pesawat tersebut terhempas.

"Masih ada harapan kerana tiada apa-apa bukti. Bila dia (ibu kepada Ahmad Razhan) tengok dalam TV gambar anak dia pasti menangis. Memang berat, susah hendak lupa selagi tidak jumpa anaknya mahupun bukti. Kalau benar di Lautan Hindi, mustahil ada yang hidup kerana kita tahu bagaimana geloranya lautan di sana. Selepas dapat tahu (ketentuan) mungkin dia akan reda," jelas beliau lagi.

Pertalian kedua-dua sepupu ini begitu rapat sekalipun mempunyai jarak umur yang agak jauh. Ahmad Razhan juga dikatakan seorang sepupu yang periang dan gemar bergurau sesama keluarga.

"Tidak sangka dalam 200 orang itu salah seorang adalah ahli keluarga kita," katanya.

1 comment:

Anonymous said...

Mengapa perlu cari dilautan luas yg tiada petunjuk ,cuba cari dipulau diago gracia yg dihuni olih tentera amereka. Selesai masaalah tiada nak susah payah berhari hari namun tiada jumpa pesawat mh370,pulau bakal tengelam dgn kuasa Allah.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive