KUALA LUMPUR 11 April - Polis setakat ini telah merekodkan lebih 205 keterangan daripada pelbagai pihak termasuk anggota keluarga penumpang dan anak kapal Malaysia Airlines MH370 bagi membantu siasatan berhubung kehilangan pesawat berkenaan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, lebih banyak lagi yang akan dipanggil untuk membantu siasatan dan polis tidak akan mendedahkan hasil keterangan yang diambil bagi mengelakkan gangguan siasatan.
``Siasatan ini berterusan, dan setakat petang semalam kami telah merekodkan lebih 205 kenyataan dan lebih banyak kenyataan yang akan direkodkan... terdapat perkara tertentu yang kami perlu teliti semula untuk menjadikan siasatan kami lebih jelas,'' katanya kepada pemberita selepas majlis menghadiri aktiviti keagamaan Buddha sempena Peringatan Hari Polis ke-207 di sini, hari ini.
Ketika mengulas kenyataan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Johor yang menafikan manggis yang dibawa ke China menerusi pesawat MH370 adalah dari daerah Muar, beliau berkata ``tidak semestinya manggis itu ditanam di Johor, pembekalnya dari Muar.
``Saya tidak cakap ia dipetik dari Muar, saya cakap kita akan menyiasat sampai peringkat itu (di mana ia dipetik)... saya tidak kata ladangnya di Johor, memang manggis itu sebelum dibawa ke KLIA ia dihimpun di Muar.
Fama Johor sebelum ini menjelaskan manggis yang dibawa ke China menerusi pesawat MH370 tidak mungkin dihasilkan dari daerah Muar dan berdasarkan rekod Fama, tiada dusun di Johor yang menghasilkan manggis ketika ini kerana musim buah itu mulai Jun ini.
Khalid menjelaskan siasatan turut akan dijalankan bagi melihat sama ada makanan yang disediakan pembekal makanan bagi pesawat berkenaan beracun.
Penerbangan MH370 Kuala Lumpur-Beijing yang berlepas dari KLIA pada 12.41 tengah malam dilapor terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pada 2.40 pagi ketika berada di ruang angkasa Malaysia-Vietnam.
Pesawat B777-200ER itu membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi. - BERNAMA
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140411/dn_26/Polis-rekod-lebih-205-keterangan-berhubung-siasatan-kehilangan-pesawat-MH370#ixzz2yYhX6EA9
© Utusan Melayu (M) Bhd
1 comment:
manggis yg dihimpun diMuar tu adalah dari ladang manggis di Singapura, krn Singapura adalah pengeluar manggis terbesar di dunia, he..hee....heeeee kelakar sakan bro!
Post a Comment