15 May 2014

Dakwa dipujuk Pas, Ahmad Said berbohong – Adun Batu Burok

KUALA LUMPUR 15 MEI: ADUN Batu Burok Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi mendakwa bekas menteri besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said “berbohong” berhubung dakwaan pihaknya memujuk beliau menyertai parti Islam itu .
Menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Ahmad itu, Dr Syed Azman sebaliknya mendakwa “pihak Ahmad Said” menghubungi PAS untuk menyertai dan menyokong parti itu.
“Ini (dakwaan Ahmad dipujuk sertai PAS) pembohongan semata-mata, PAS tidak pernah sekali-kali berbuat demikian. Di kalangan pemimpin PAS memang tiada (tidak pernah menghubungi atau bertemu Ahmad Said).
“Bahkan pimpinan tertinggi parti tidak akan terburu-buru mempelawa Ahmad Said menyertai PAS,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Sebaliknya Dr Syed Azman berkata pihaknya yang menerima panggilan daripada “pihak” Ahmad sejurus selepas beliau membuat keputusan keluar Umno dan menjadi ADUN Bebas.
“Malah saya mengesahkan pihak Ahmad Said yang berkali-kali (menghubungi pimpinan PAS Terengganu) ‘mempelawa diri sendiri’ menyertai dan menyokong PAS untuk menjatuhkan kerajaan BN,” kata Dr Syed Azman seperti dilapor Malaysiakini.
Bagaimanapun, beliau yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat enggan menyebut individu dan jawatan pihak yang menghubungi dan menerima panggilan itu walaupun diminta untuk mededahkannya.
Sinar Harian hari ini melaporkan Ahmad berkata beberapa anggota PAS berkali-kali memujuk beliau menyertai parti itu bagaimanapun beliau menolak kerana amat menyayangi Umno.
Malah, beliau menegaskan tak mahu bertemu mereka lagi dan mendakwa berjaya menghalang lebih ramai wakil rakyat Umno keluar parti ketika krisis politik memuncak.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=61566

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive