Oleh: NAZLI IBRAHIM
SHAH ALAM, 17 MEI: Pendahulu dalam persaingan jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semakin menjarakkan jumlah kutipan undi yang dipungutnya setakat ini berbanding pesaing terdekat yang juga penyandang jawatan, Mohamed Azmin Ali.
Kiraan undi tidak rasmi semalam menyaksikan Abdul Khalid berjaya memperoleh 12,270 mendahului Azmin dengan kelebihan 92 undi. Mengikut kiraan tidak rasmi, Azmin mengutip 12,178 undian dan diikuti Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution dengan 7,988 undi.

Dua cabang terbabit, Kelana Jaya (Abdul Khalid, 337; Azmin, 260; Saifuddin, 190) dan Pandan (Abdul Khalid, 96; Azmin, 140; Saifuddin, 190 undian).
Keputusan di dua cabang itu juga membolehkan Abdul Khalid terus mendominasi sokongan pengundi akar umbi PKR di Selangor.
Sama seperti yang jangkaan Selangor Kini sebelum ini, di Selangor, Abdul Khalid hanya tewas di Cabang Pandan iaitu kubu kuat calon Naib Presiden, Rafizi Ramli yang juga rakan kempen dalam pasukan ‘Masa Depan Bersama’ yang turut dianggotai Saifuddin dan Nurul Izzah Anwar.

Terdahulu, dalam minggu pertama dan kedua pemilihan menyaksikan Azmin berada dalam kedudukan selesa apabila mendahului pencabarnya dengan kelebihan lebih 3,000 undi.
Bagaimanapun, sebaik sahaja memasuki hari pertama minggu ketiga yang diadakan di Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya, Abdul Khalid mula mengorak langkah mendekatkan diri dan akhirnya memintas Azmin pada hari kedua, minggu ketiga di Selangor.
-NFN-
No comments:
Post a Comment