KUALA LUMPUR, 23 MEI: Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak harus menyatakan bantahannya terhadap tindakan Pemuda Umno yang melakukan kekecohan di hadapan ibu pejabat DAP semalam dan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Rabu lalu, jika tidak ingin terus dilihat sebagai pemimpin yang lemah.
Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo berkata, insiden itu telah memalukan Umno, terutama Najib yang seringkali melaungkan slogan ‘transformasi’ dan mendakwa keharmonian dan rekonsiliasi nasional sebagai agenda utama kerajaan pimpinannya.
“Aksi-aksi keganasan ini menjadi peringatan tegas tentang politik Umno serta kelemahan kepimpinan Najib yang jelas gagal menunaikan janji-janji pembaharuannya.
“Kami mendesak beliau, selaku pemimpin (tertinggi) Umno dan Barisan Nasional untuk memberikan maklum balas. Beliau perlu mengambil tanggungjawab penuh (ke atas insiden semalam),” katanya dalam sidang media pagi tadi.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming sekali lagi mendesak Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin untuk memohon maaf dan mengambil tindakan terhadap ‘anak-anak buahnya’ yang melakukan kekecohan di hadapan ibu pejabat DAP semalam.
“Khairy seorang yang sangat aktif di laman twitter. Beliau suka memberikan komen (dalam pelbagai perkara). Namun, beliau tidak ada sebut apa-apa pun berkenaan kejadian ini.
“Justeru, sekali lagi saya mendesak beliau agar memohon maaf serta mengambil tindakan terhadap ahli Pemuda Umno yang terlibat dalam insiden semalam,” katanya.
Menteri Belia dan Sukan itu adalah antara ahli politik yang menjadikan laman sosial sebagai kaedah utama mendapatkan sokongan, namun seringkali berdiam diri apabila dihadapkan dengan isu-isu yang tidak memihak dirinya.
Polis akan ambil tindakan
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi DAP Tan Kok Wai memaklumkan, polis akan mengambil tindakan, termasuk membuat tangkapan kepada individu yang terlibat dalam kejadian semalam.
“Saya bercakap dengan Ketua Polis Daerah (OCPD) Suprintendan (Nor) Azman (Muhamad Yusuf), dia maklumkan polis sedang siasat dan akan membuat tangkapan. Tangkapan di bawah tiga kesalahan, iaitu intimidasi jenayah, soal perhimpunan aman dan perbuatan khianat,” katanya dalam sidang media sama.
Namun, beliau tetap menyatakan kekesalan kerana tangkapan tidak dibuat ketika insiden itu berlangsung, tidak seperti apa yang dilakukan kepada peserta perhimpunan aman sebelum ini.
“Polis buat banyak tangkapan ketika perhimpunan aman dan ‘vigil’. Tetapi tiada sebarang tindakan diambil semalam. Kita harap polis tunjukkan mereka berkhidmat untuk rakyat, bukannya Umno,” katanya lagi.
Ketika rusuhan semalam, peserta merosakkan papan tanda DAP di hadapan pintu masuk bangunan, selain mengugut untuk membakar bangunan parti. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment