01 June 2014

DAP tumbang di Teluk Intan, di mana silapnya?


ANALISIS Pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan berakhir semalam. Dan DAP gagal mempertahankan kerusi tersebut apabila calonnya, Dyana Sofya Mohd Daud kalah tipis kepada calon veteran BN, Datuk Mah Siew Keong majoriti 238.

Semasa pengiraan undi semalam, di peringkat awalnya, Dyana mendahului dengan majoriti besar sehingga mencecah lebih 2,000. Namun majoriti itu turun naik dan turus merosot pada satu ketika ia tinggal 25 undi sahaja, dan seterus tewas tipis kepada Mah.



Sekali imbas, DAP dilihat telah gagal menterjemahkan keghairahan yang mengiringi pencalonan Dyana kepada kempen yang boleh memenangkan mereka.

DAP bermula dengan penuh semangat selepas penamaan calon pada 19 Mei lalu, tetapi berakhir dengan kekalahan tipis semalam.

Ada pihak yang berpandangan bahawa Dyana, seorang wanita Melayu muda dari DAP  - gagal diperkenalkan dengan baik kepada pengundi Melayu luar bandar yang kurang mesra dengan parti yang majoriti ahlinya masih lagi orang Cina.

Pengundi Melayu ini merupakan penyokong setia BN tetapi pada masa yang sama mempunyai rasa ingin tahu tentang wajah baru DAP itu.

Namun, DAP tidak menembusi kubu kuat BN/Umno dan hanya berpuas hati dengan siri-siri ceramah serta sesi ramah mesra calonnya bersama orang ramai.

DAP hanya mula melakukan lawatan rumah ke rumah di kawasan luar bandar dalam tempoh seperempat terakhir kempen mereka.

Peningkatan undi Melayu sebanyak 3 peratus sahaja kepada DAP seperti dinyatakan pengarah strateginya, Dr Ong Kian Ming adalah petunjuk jelas yang parti itu tidak menggunakan Dyana sepenuhnya untuk mencuri lebih banyak undi daripada BN.

Pada masa sama, DAP nampaknya juga tidak memahami demografi kerusi Parlimen ini yang merupakan campuran di antara kawasan bandar dan kawasan luar bandar.

Menurut satu sumber DAP, analisis awal mereka mendapati parti itu menggunakan strategi kempen kawasan bandar untuk berkempen di kawasan luar bandar.

Dengan 65 peratus daripada penduduk di sini terlibat dengan industri berasaskan pertanian, isu seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan urus tadbir kerajaan yang baik tidak mempunyai makna yang jelas buat pengundi di sini.

DAP pada awalnya mungkin menarik nafas lega apabila ceramah mega terakhir mereka sehari sebelum hari membuang undi menarik kira-kira 10,000 orang.

Namun, ia juga tidak diterjemahkan kepada undi apabila peratusan pengundi Cina yang merupakan majoriti mereka yang hadir pada majlis itu, merosot sebanyak 15 peratus.

Ini kerana, sewaktu tempoh kempen yang bermula pada 19 Mei genap seminggu, cabaran terbesar DAP untuk mengekalkan kerusi ini mula kelihatan jelas.

Peratusan keluar mengundi yang rendah seperti pilihan raya kecil Bukit Gelugor pada 25 Mei, berulang di Teluk Intan.

Akhirnya, BN kembali merampas kerusi ini apabila majoriti lebih 7,000 undi pada pilihan raya umum lalu kini hanya tinggal sejarah.

DAP mungkin boleh meletakkan beban kekalahan kepada pengundi luar Teluk Intan yang menyokong parti itu tetapi tidak pulang dalam jumlah yang cukup ramai untuk mengundi dan mengekalkan kemenangan mereka.

Namun, mereka ini juga tidak cukup dimotivasikan untuk pulang ke kampung bagi memastikan 'politik baru' yang dibawakan Dyana, menjadi satu kenyataan. - malaysiakini

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive