02 June 2014

Di London, Perkasa bersumpah pertahan hak Melayu dan Bumiputera ‘selagi ada bulan dan bintang’ -







Di Kota London, Pertubuhan Pribumi Perkasa Kebangsaan (Perkasa) berikrar dan bersumpah akan bersama kepimpinan negara selagi mana mereka tetap mempertahankan hak komuniti Melayu dan Bumiputera selamanya, kata presidennya Datuk Ibrahim Ali. 
Ibrahim yang juga bekas ahli Parlimen Pasir Mas ketika merasmikan pembukaan cawangan Perkasa UK dan Eropah turut bersumpah akan meneruskan sokongan terhadap sistem perkongsian kuasa, selagi mana ia tidak ditakrifkan sebagai perkongsian secara total dengan mengenepikan Pribumi sebagai bangsa teras di negara ini.
"Perkasa juga bersumpah dan berikrar untuk menyokong pemerintah negara selagi pucuk kepimpinan dan penjawat awamnya benar-benar menepati janjinya untuk memelihara Perlembagaan Persekutuan dan mengotakan janji 'selagi ada bulan dan bintang', maka selagi itulah agenda memperkasakan ekonomi Melayu dan Bumiputera akan dilaksanakan di negara tercinta ini," kata Ibrahim dalam ucapan perasmian tersebut.
Ucapan perasmian Ibrahim yang dihantar kepada The Malaysian Insider itu turut berkata, Perkasa amat kecewa dengan segelintir penduduk bukan pribumi di Malaysia yang mempersoalkan Perlembagaan berkenaan hak pribumi dan Melayu yang mana bakal mencetuskan ketegangan antara kaum.
Ibrahim berlepas ke London pada 29 Mei lalu untuk merasmikan pembukaan cawangan Perkasa di London dan meliputi beberapa negara Eropah merangkumi Ireland, Perancis, German, dan Belgium serta negara-negara Eropah yang lain yang kini mempunyai keahlian seramai 253 orang.
Ibrahim berkata, Perkasa London dan Eropah juga melantik ahli perniagaan Malaysia di sana, Kamal A Mohamad sebagai Yang di-Pertuanya.
Pertubuhan yang mendakwa diri mereka sebagai pejuang hak masyarakat Melayu dan pribumi itu juga berkata, penubuhan cawangan mereka di luar negara adalah bertujuan untuk  menyediakan benteng pertahanan daripada fahaman pluralisme dan liberalisme yang bertentangan dengan budaya masyarakat Malaysia.
Ibrahim dalam ucapannya turut meluahkan rasa kesal dengan tindakan segelintir penduduk pribumi dalam saf kepimpinan negara dan parti politik alternatif yang bersikap liberal kerana ia membahayakan survival pribumi selaku bangsa teras yang merupakan kunci kepada pembangunan sosio-ekonomi Malaysia.
"Perkasa juga kecewa kerana kini wujud segelintir pribumi liberal yang seolah-olah bertindak ke arah meluntur dan menghakis status bangsa teras Malaysia yang berpaksikan kepada pribumi dan Islam.
"Kelompok ini, sama ada berada dalam kepimpinan negara, barisan politik alternatif, atau segelintir tokoh professional dan cendekiawan adalah kelompok yang dijangkiti sindrom 'lupa dan buta sejarah', dan Perkasa menyeru agar mereka insaf dan menghayati sejarah pribumi di Malaysia," kata Ibrahim.
Kewujudan kumpulan sedemikian katanya, akan menyaksikan bangsa pribumi itu terus diinjak-injak komuniti bukan pribumi yang mahu menghakis status bangsa teras tersebut.
Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hasan Syed Ali sebelum ini berkata penubuhan cawangan Perkasa luar negara adalah atas permintaan rakyat Malaysia yang berada di sana ekoran keengganan mereka untuk menyertai cawangan parti politik tanah air di luar negara.
Kelab Penyokong Umno Luar Negara mempunyai 72 cawangan di 18 negara dengan keahlian lebih 14,000 orang di seluruh dunia.
Beliau turut berkata, Perkasa juga akan membuka kelab di Mesir, Jordan, Indonesia, dan juga Australia pada masa akan datang.
Ibrahim dalam ucapannya turut membangkitkan tindakan segelintir kumpulan penduduk bukan pribumi yang cuba menghakis status dan hak pribumi, sedangkan ia sudah termaktub dan dijamin dalam Perlembagaan.
"Perkasa amat kecewa apabila kini wujud sekelompok rakyat bukan pribumi yang bersikap rasis dan cauvinis sehinga tergamak untuk mempertikai dan mempolitikkan pelbagai peruntukan mengenai pribumi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Tindakan seperti ini tidak menghormati prinsip-prinsip Perlembagaan negara, dan boleh mencetuskan permusuhan antara rakyat pribumi dan bukan pribumi," katanya, dan menambah, tindakan sedemikian jelas tidak menghormati perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan negara.
Kumpulan-kumpulan itu, kata Ibrahim, seharusnya sedar kepentingan pribumi sebagai bangsa teras di negara ini, dan dengan mengancam kedudukan kumpulan penduduk pribumi, ia bakal memberikan kesan negatif berantai yang turut memberikan impak negatif kepada penduduk bukan pribumi.
"Jika hakikat bangsa teras terancam, seluruh bukan pribumi juga terancam... jika hakikat bangsa teras ini dinodai atau dikhianati, seluruh pribumi dan bukan pribumi Malaysia juga bakal menanggung padahnya," katanya lagi.
Turut hadir ketika majlis perasmian Perkasa UK dan London adalah blogger Raja Petra Kamaruddin, Presiden Kelab MIC UK R Depan, dan juga Presiden Kelab MCA UK Zeon Cheong Sze Keat.
Syed Hasan bagaimanapun berkata, Raja Petra tidak mendaftar sebagai ahli Perkasa, sebaliknya hanya hadir apabila menerima berita berkenaan perasmian kelab Perkasa tersebut.
Ibrahim dijangka pulang ke tanah air dalam minggu ini. – 2 Jun, 2014.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/di-london-perkasa-bersumpah-pertahan-hak-melayu-dan-bumiputera-selagi-ada-b?utm_medium=twitter&utm_source=twitterfeed#sthash.lrcN9sEV.dpuf

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive