06 June 2014

DYANA: Usah terjun tingkap dengar loceng amaran




Oleh Ahmad Lutfi Othman
DEBARAN jantung saya ketika menunggu pengumuman keputusan PRK Teluk Intan, malam Isnin, 31 Mei lalu, tidaklah sekencang semasa menonton siaran langsung pertandingan akhir Piala Thomas di antara Malaysia dan Jepun, seminggu sebelumnya.
Saya terpaksa menenangkan diri, dengan berbaring di atas katil, di bilik bersebelahan ruang tengah, sambil mengurut dada, secara psikologi untuk meredakan ketegangan.
Walaupun isteri menasihatkan agar terus tidur sahaja -- tambahan pula agak letih sebaik pulang dari meninjau kawasan pilihan raya pada Sabtu dan Ahad -- saya tetap gagahi juga.
Dan terbukti, ada nikmatnya melalui situasi cemas "turun-naik menang-kalah" menyaksikan pemain negara bersilih ganti mengutip mata dengan bakat baru Jepun!
Pastinya Dyana memasuki gelanggang jauh lebih yakin dan bergaya daripada pasukan Malaysia melangkah ke New Delhi. Sandaran bekalan majoriti DAP sebanyak 7,313 pada PRU13 agak melegakan.
Sebelum buat pertama kali melihat Menara Condong Intan pada 24 Mei, saya tidak pernah membayangkan jumlah kerusi Parlimen DAP akan merosot. Poster dan banner Dyana, dengan paparan jauh lebih menarik berbanding calon BN, menyuntik lebih keyakinan.
Bagaimanapun, apabila berbicara langsung dengan beberapa penduduk tempatan, semuanya penyokong Pakatan, khususnya di markas induk jentera kempen PAS, saya agak terkedu.
Rupanya kerjasama erat dan kesungguhan yang ditunjukkan aktivis PAS -- sehingga tergambar olah-olah Parti Islam itu sendiri yang bertanding, sekurang-kurangnya di kawasan Dun Changkat Jong -- bukan bermakna laluan Dyana menjadi lebih mudah.
Awalnya timbul rungutan tentang kontroversi hudud ekoran soalan perangkap wartawan terhadap Dyana, juga melarat pemakaian tudung.
"Sdr jangan remehkan sesuatu yang nampak kecil dan terpencil, tetapi dalam konteks Teluk Intan, sebenarnya boleh menjadi persoalan besar atau dapat dibesar-besarkan, di sini masih dianggap kampung," bisik seorang pesara semasa meraikan saya.
"Dyana seorang Muslim, berbeda dengan majoriti pemimpin DAP yang lain, dan kena ingat ini pilihan raya kecil, isu pakai tudung dan T-shirt pendek pun boleh timbulkan keraguan. Saya tak pasti, apakah ada calon Umno dari kalangan wanita, yang tidak bertudung?" tambahnya lancar selepas melihat saya terdiam.
Saya cuba mendefinisikan penyertaan Dyana, wanita muda Melayu berpendidikan tinggi, sebagai calon DAP, terutama untuk menyuburkan budaya politik baru, sekali gus memecahkan tembok perkauman, di samping menyisihkan kempen kebencian.
Ia diharap turut memberi impak besar dan merintis dimensi baru terhadap lanskap siasah negara yang masih sendat dengan bagasi sejarah yang terus memetakkan rakyat pelbagai bangsa dan agama.
Saya tidak pasti apakah rakan baru itu dapat menangkap maksud dan penekanan saya. Bagaimanapun rasa cemas apabila diberitahu "ada protes dalaman terhadap Dyana" reda apabila seorang pimpinan PAS meyakinkan saya bahawa ia akan reda selepas Presiden Tuan Guru Abdul Hadi Awang turun membuat penjelasan keesokannya.
Ketika meninggalkan Teluk Intan, walaupun keyakinan terjejas, namun saya masih percaya Dyana akan menyalakan obor baru yang cukup bercahaya dan sukar dipadam, sebagai persiapan berdepan PRU14.
Justeru, mengakhiri kolum Catatan Hujung, yang ditulis pendek pada 27 Mei, ketika kesan diabetik pada mata agak teruk, saya merakamkan: "Harapnya, penglihatan saya dapat pulih sepenuhnya untuk menyaksikan cahaya itu."
Namun begitu, menjelang hari pengundian, sahabat yang berkampung di Teluk Intan memaklumkan: "Dulu kita bimbang dengan pengundi Melayu, yang masih ragu-ragu untuk mengundi DAP, tapi sekarang lebih bermasalah lagi ... pengundi Cina luar kawasan, yang hampir semuanya penyokong Pakatan mungkin tidak balik. Orang berusia di sini khabarnya lebih tertarik dengan calon BN, anak tempatan, dijamin Najib Razak akan jadi menteri bila menang."
Difahamkan kemenangan besar pada PRU13 disumbangkan oleh peratusan mengundi yang tinggi iaitu 80.6%, berbanding hanya 70% lima tahun sebelum itu, dengan catatan majoriti kemenangan DAP waktu itu, 1,470 undi.
Malah ada yang berani mengunjurkan: "Orang Cina melebihi usia 50 tahun, dan jumlahnya ramai di sini, lebih selesa dengan Mah Siew Keong, juga ada faktor perkauman, lagipun dia dan keluarganya dekat dengan masyarakat setempat. Kalau Melayu tidak beralih banyak, apatah lagi sokongan India merosot, juga tidak puas hati sebab DAP tak letak calon India, kacau!"
"Pengundi Cina lebih pragmatis dan mudah berubah berdasarkan keadaan dan manfaat yang dihitung. Kesetiaan kepada parti tidak sepertimana orang Melayu, mereka bukan deposit tetap untuk sesiapa," demikian ingatan guru politik saya, lama dahulu, sebelum PRU12 lagi.
Disebabkan pertarungan sengit antara Dyana-Mah, selain warna-warni gemerlapan kempen, dan kesungguhan untuk menarik seramai mungkin pengundi Melayu, kami di Harakah memberikan liputan agak istimewa, seolah-olah calon PAS yang bertanding.
Sekitar Maghrib, 31 Mei, SMS wartawan Harakah Perak, Faeez Azahar, sekadar mengesahkan kerisauan saya: "Kalah, 238 undi." Sudah pasti, seperti penyokong Pakatan yang lain, saya turut kecewa.
"Pengundi Cina begitu ghairah untuk ubah kerajaan dalam PRU13. Dari jauh, serata pelosok dunia, mereka terbang balik mengundi, sebab yakin Putrajaya dapat ditawan. Saya tak dapat bayangkan bagaimana kita mahu kembalikan momentum itu, apatah lagi selepas kalah Teluk Intan," seorang pembaca Harakah meluahkan dalam emel, pagi esoknya, Ahad.
"Tan Sri Khalid Ibrahim bukan saja kalah dalam PRK Ijok, malah dimalukan apabila ucapannya yang tersasul sokong BN disiarkan berulang kali di TV, tapi tak lama kemudian, selepas PRU13 dia diangkat MB Selangor," saya memberi respons, mengulangi hujah untuk "menyedapkan hati".
Dyana masih muda; peluangnya terbuka luas. Eksperimen DAP mencalonkan tokoh muda Melayu di kawasan bukan majoriti Melayu perlu dihargai. Dan saya yakin, Dyana bukan setakat tidak mudah mengalah, malah mendapat ilmu dan pengalaman politik melimpah-ruah sepanjang kempen.
Ya, kepada Dyana dan DAP, ada kejutan tidak terduga, termasuk "pantang-larang" dan sensitiviti yang perlu diimbangi. Buat pemain aktif, DAP dan PAS khususnya, usah sembrono mencari daleh. Perlawanan ini tidak terhenti dengan kalah atau menang.
Apa pun, saya lebih suka melihatnya sebagai loceng amaran, buat mengejutkan yang leka-alpa, terutama yang masih beranggapan Pakatan dalam mood berbulan madu lagi, terutama dengan pengundi bukan Melayu.
Tapi, janganlah mereka yang bingkas bangun mendengar deringan yang membingitkan itu terus bertindak melulu sehingga mungkin terjun melalui tingkap tanpa sedar!
Sesama Pakatan pula. uruskanlah perbedaan dengan bijaksana. Pengundi sentiasa menilai ...
Seperti juga menonton final Piala Thomas di antara Malaysia dan Jepun, saya tetap "enjoy" dengan ulasan-ulasan yang dibuat terhadap kekalahan Dyana, meskipun semacam ada tafsiran berbeda pemimpin Pakatan.
Sememangnya persefahaman dan keserasian pemimpin Pakatan akan terus diuji. -HARAKAHDAILY

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive