10 June 2014

Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 Beroperasi Bulan Depan

alt

KEMAMAN, 9 Jun - Pakej dua, projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) yang menghubungkan Jabor ke Cheneh, dijangka siap sebelum hujung bulan ini dan boleh digunakan menjelang sambutan Aidilfitri pada Julai.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Ir Rosli Othman berkata pengguna lebuh raya dari Jabor akan boleh memandu terus ke Cheneh sejauh kira-kira 26 kilometer.

"Setelah turun di Cheneh, pengguna terpaksa menggunakan jalan biasa kerana pakej tiga dan tujuh LPT2 (dari Cheneh hingga ke Paka) masih belum siap dan kami beri jaminan akan dapat dibuka kepada umum sebelum akhir tahun ini.


"Namun pengguna (kemudian) boleh menyambung perjalanan ke pakej 10 Paka-Bukit Besi sepanjang 34 kilometer yang dibuka sejak Januari lalu dan seterusnya hingga ke Gemuruh di Kuala Terengganu," katanya kepada Bernama di sini Isnin.

Beliau berkata pembukaan pakej kedua itu sedikit sebanyak mengurangkan kesesakan kenderaan melalui kawasan bandar selain memberi kemudahan penjimatan tenaga, kos dan masa perjalanan kepada pengguna lebuh raya.

"Pada masa sama, kerajaan komited untuk mempercepatkan pembukaan dua pakej lagi jajaran LPT2 yang masih dalam proses pembinaan dan dijangka dapat disiapkan secara berperingkat sebelum September ini," kata Rosli.

Projek LPT2 sepanjang 184 kilometer bermula dari Jabor, Kemaman ke Kampung Gemuruh, bahagian utara Kuala Terengganu merupakan kesinambungan projek LPT Fasa 1 iaitu dari Karak ke Kuantan sepanjang 159 kilometer yang dimulakan pada Mac 2006 dengan anggaran kos awal projek RM3.7 bilion.

Projek itu terbahagi kepada 16 pakej iaitu 15 pakej dilaksanakan Jabatan Kerja Raya yang ditawarkan secara tender terbuka konvensional dan satu pakej lagi secara rundingan terus dikendalikan Lembaga Lebuhraya Malaysia.

Pada 22 Ogos 2011, kerajaan membuka sebahagian jajaran LPT2 kepada laluan awam sepanjang 70 kilometer dari pakej 12 di Kampung Gemuruh, Kuala Terengganu hingga pakej 10 di persimpangan Bukit Besi.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive