09 July 2014

Bufet Ramadan: Jakim Beri Amaran Kepada Restoran Ingkar





Laman web restoran yang diserbu pihak berkuasa pada Isnin lalu masih lagi menawarkan promosi bufet Ramadan.

Restoran yang menggunakan nama dan elemen kemelayuan itu dikesan masih menerima tempahan daripada pelanggan bagi hidangan berbuka puasa menerusi panggilan telefon.
Penolong Pengarah Bahagian Hab Halal, Muhammad Khalid Osman berkata, pihaknya menghantar emel kepada pihak pengurus restoran berkenaan pada pukul 11 pagi bagi mengarahkan sebarang promosi bufet Ramadan ditarik balik.
Katanya, emel tersebut turut diberikan ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk penelitian.
“Kita mendapati promosi bufet Ramadan mereka di laman sosial Facebook sudah pun dikeluarkan pada hari ini. Bagaimanapun kita masih belum menerima maklum balas daripada pihak pengurus restoran itu,” katanya ketika dihubungi mStar Online, Rabu.
Mstar Online pada Rabu membongkarkan kedegilan restoran itu yang masih menawarkan bufet Ramadan selepas menyamar sebagai pelanggan untuk membuat tempahan meja bagi sesi berbuka puasa.
Sehingga berita ini ditulis, bahagian promosi di laman web rasmi restoran itu masih lagi memaparkan poster tawaran bufet Ramadan.
Malah restoran berkenaan masih menjalankan operasi bufet Ramadan apabila mStar Online sekali lagi membuat panggilan pada kira-kira pukul 3.30 pagi berhubung tempahan berbuka puasa.
Muhammad Khalid berkata, sekiranya restoran itu masih ingkar mematuhi peraturan, ia akan disiasat di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 berkaitan perakuan dan penandaan halal.
“Saya akan berbincang dengan pihak berkuasa lain dalam Ops Bufet Ramadan mengenai sebarang tindakan selanjutnya. Setakat ini, kita masih menyiasat terhadap operasi yang dilakukan terhadap restoran itu Isnin lalu,” katanya.
Beliau menasihatkan kepada umat Islam supaya memeriksa sijil halal yang diperakui oleh Jakim atau Majlis Agama Islam terhadap mana-mana premis yang menawarkan bufet Ramadan untuk mereka berbuka puasa.
Tambahnya, pemeriksaan sijil halal premis juga boleh dilakukan di laman webwww.halal.gov.my dan sebarang aduan boleh menghubungi talian aduan halal di 03-88925048 dan 03-88925051.
Pada Isnin lalu, restoran itu diserbu dalam Ops Bufet Ramadan melibatkan Jakim, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kuala Lumpur dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
Restoran berkenaan yang dikesan tidak mempunyai sijil halal dan menjual minuman keras diarahkan menghentingkan sebarang promosi dan tawaran bufet Ramadan serta-merta.- mStar
           

2 comments:

kerispuaka said...

setakat beri amaran je la
lps tu buat kenyataan media sama macam co0klat cadbury

rantai said...

sudah dijadikan budaya melayu apa sahaja kesalahan/kelemahan, melayu akan menuding jari kepada orang lain..... Yg pergi ke bufet ramadan itu siapa..? melayu ... melayu tu agama apa..? Islam ... Islam sudah tetapkan ini halal, itu haram ... yang si melayu Islam itu pergi juga tempat haram itu mengapa..? Kemudian melayu Islam itu marah pula kepada penyedia makanan haram ... !!!!!!!!!!!!!!!!!! melayu .... melayu ... biasanya melayu sekular lah tu ......

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive