04 July 2014

Dapur Jalanan boleh jadi tarikan pelancong


PAS menyarankan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membantu aktiviti kumpulan dapur umum memberi makanan percuma kepada kumpulan gelandangan dan miskin di ibu negara.

Dalam kenyataannya, Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata jika kena gayanya melalui bantuan DBKL membersihkan kawasan aktiviti 'Dapur Jalanan', kemungkinan ia boleh menjadi tarikan pelancong.

"Jika kebersihan menjadi satu masalah kepada Tengku Adnan, beliau sepatutnya mengarahkan DBKL untuk membantu membersihkan kawasan-kawasan yang digunakan oleh Soup Kitchen selepas habisnya aktiviti kebajikan mereka, sepertimana servis yang diberikan kepada kawasan-kawasan pasar dan pasar malam sekitar ibu kota.



"Silap-silap dengan kerjasama DBKL, aktiviti-aktiviti Soup Kitchen juga boleh berubah menjadi satu kawasan tarikan pelancong yang menguntungkan warga KL," katanya yang tidak bersetuju kenyataan Tengku Adnan menyalahkan usaha kumpulan itu.

Tuan Ibrahim mengulas ketetapan kerajaan mahu membersihkan kegiatan pengemis dan gelandangan di dengan mengeluarkan saman bersiri kepada pemberi sedekah dan melarang sukarelawan memberi makanan percuma kepada kumpulan itu dalam kawasan jarak dua kilometer dari Lot 10, Bukit Bintang.

Sambil menyarankan supaya kerajaan lebih peka dengan kesusahan rakyat, Tuan Ibrahim turut mencadangkan Tengku Adnan turun melihat keperitan warga kota dan bukan menghalang aktiviti kebajikan yang dianjurkan.

Bukan halang kebajikan

"Lebih elok jika Tengku Adnan mencadangkan agar dalam lingkungan 2km daripada pusat membeli-belah Lot 10 digazetkan sebagai kawasan bebas penjenayah, kongsi gelap, tandas kotor dan jalan berlubang.

"Itu sebenarnya lebih membantu menaikkan imej bandaraya Kuala Lumpur daripada menghalang aktiviti kebajikan yang dilakukan oleh Soup Kitchen," katanya yang akan mengerahkan Unit Amal membantu aktiviti kumpulan dapur umum dan orang susah yang lain.

Dalam perkembangan yang sama, bekas mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin turut memohon kerajaan membersihkan pusat hiburan dan aktiviti meruntuhkan moral dan akhlak.

Tindakan itu, kata Dr Asri, dibuat sebagai membuktikan Malaysia sebagai negara yang berpegang kepada Islam dan membangunkan ibu negaranya selaras dengan kehendak Islam.

"Jadikanlah ia kota yang selamat dan berkat. Makmurkan ia dengan kesantunan dan kemakmuran yang mendamaikan jiwa setiap pengunjung.

"Jadikanlah ia kota yang setiap orang yang masuk ke dalamnya merasa aman untuk dirinya, keluarganya dan temannya," katanya dalam satu kenyataan dalam laman sosial Facebooknya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive