MASYARAKAT Malaysia khususnya umat islam sangat mengutamakan kebersihan dan kesucian sesuatu makanan yang diambil. Ini kerana makanan yang dimakan akan dihadam dan akan menjadi darah daging. Lantas, membawa keberkatan hidup seseorang muslim itu.
Perkataan halal berasal dari kalimah Arab yang bermaksud ‘dibenarkan’ atau ‘dibolehkan’ oleh hukum syarak.
Hukum syarak bermakna undang-undang islam dalam Mazhab Syafi’e atau undang-undang yang terdapat dalam Mazhab Maliki, Hambali atau Hanafi yang telah dipersetujui oleh Yang di-Pertuan Agong dan dikuatkuasakan dalam Wilayah Persekutuan mahupun Raja bagi mana-mana negeri yang dikuatkuasakan dalam negeri itu.
Mengikut sumber Portal Rasmi Halal Malaysia, takrif halal mengikut Perintah Perihal Dagangan Penggunaaan Perbahasan “Halal” adalah seperti berikut;
i) Makanan tersebut bukanlah terdiri atau mengandungi apa-apa bahagian atau benda dari binatang yang dilarang oleh hukum syarak memakannya atau tidak disembelih megikut hukum syarak.
ii) Ia tidak mengandungi apa-apa benda yang dihukum atau ditaksirkan sebagai najis mengikut hukum syarak.
iii) Makanan yang tidak disedia.,diproses atau dikilang dengan menggunakan apa-apa alat yang tidak bebas dari benda-benda najis mengikut hukum syarak.
iv) Malah, makanan tersebut semasa penyediaannya atau tempat menyimpannya tidaklah bersentuhan atau berdekatan dengan apa-apa makanan yang tidak memenuhi kehendak-kehendak dalam hukum syarak.
Mencari yang halal itu suatu yang wajib, setiap orang perlulah memastikan mereka mendapat sumber yang halal untuk dimakan.
Oleh itu, menurut sumber portal ini juga umat islam haruslah sensitif terhadap hukum itu kerana tuntutan halal itu wajib, kalau ia dilanggar maka hukumnya adalah berdosa.
Sejauh Mana Tahap Halal Sesuatu Makanan Tersebut?
Menurut Prof. Madya Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin atau lebih mesra disapa dengan Dr. Maza, beliau berkata asal sesuatu makanan itu adalah halal namun akan menjadi haram apabila ia terbukti haram.
‘’Demikian apa-apa makanan yang dikatakan kononnya haram tetapi tidak terbukti maka kekal atas hukum asalnya iaitu halal” katanya.
Tegas beliau, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mempunyai keupayaan kajian dalam hal ini, maka apabila pihak JAKIM menyatakan halal sesuatu produk makan, maka rakyat tidak bersalah sama sekali memakannya.
Tambah beliau lagi, ini kerana kaedah asal yang halal telah dikuatkan dengan dakwaan kajian oleh pihak yang berkemampuan.
‘’Saya katakan apa yang dikatakan halal oleh JAKIM maka kita yakini halal dan apa yang tidak berikan logo halal oleh JAKIM belum tentu haram’’katanya.
Beliau menegaskan akan isu yang terdahulu iaitu coklat cadbury bahawa DNA khinzir yang tedapat dalam makanan itu terdapat para ulama yang megharuskannya atas proses istihalah.
Istihalah merupakan proses mentransformasikan sesuatu unsur kepada unsur yang lain sehingga menghilangkan terus sifat yang ada pada unsur asal.
‘’Ini merupakan pendapat yang dipegang oleh kebanyakan fatwa di Eropah, Dr. Yusuf Al Qaradawi dan lain-lain’’ katanya.
Bufet Ramadan
Apabila menjelang Ramadan, bufet Ramadan bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Dimana pada waktu ini, ramai yang mengambil kesempatan untuk berbuka puasa di hotel-hotel yang menyediakan bufet Ramadan.
Di samping ia dapat mengeratkan silaturahim dalam institusi kekeluargaan.
Di Malaysia semua hotel dan restoran seluruh negara akan merebut peluang ini dengan menyediakan bufet Ramadan.
Mana tidaknya, ia dapat memperoleh keuntungan bak durian runtuh.
Persoalannya Adakah Hotel-Hotel Yang Menyediakan Bufet Ramadan Benar-Benar Halal?
Ada diantara hotel-hotel yang mendapat pengikhtirafan sijil halal, namun masih menjual makanan dan minuman yang tidak halal.
Memetik keratan akhbar Berita Harian semalam, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, bagi umat islam di negara ini yang memilih untuk berbuka puasa di premis yang menjual minuman arak, dan walaupun mereka tidak mengambilnya, mereka tetap berdosa.
‘’Puasa mereka tidak batal tetapi dia berdosa sebab reda dengan keadaan macam itu. Hukumnya sama juga dengan mereka yang minum, menghidang dan menjual arak’’ katanya.
Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata pengurusan hotel atau restoran yang mendapat pengiktirafan sijil halal dari JAKIM haruslah mematuhi syarat halal JAKIM sebelum menawarkan promosi bufet ramadan.
Banyak Pilihan: Mengapa Memilih Tempat Berbuka Puasa Yang Sedemikian?
Mengulas mengenai isu ini, Dr. Fathul Bari Mat Yahya, Pendakwah Islam dan Exco Pemuda UMNO, berkata umat islam haruslah lebih peka dalam memilih tempat di mana mereka berbuka puasa.
“Tidak menjadi masalah jika mereka ingin berbuka puasa di hotel-hotel di negara ini, ini kerana logo halal daripada pihak JAKIM itu sendiri diberi bukan buat hotel tersebut malah logo halal itu hanya untuk cafe atau restoran di bawah hotel itu sendiri’’ katanya.
Apa Kata JAKIM?
Ketua Pengarah JAKIM Datuk Othman Mustapha berkata para pengusaha diingatkan agar tidak menggunakan ungkapan seperti "Bufet Ramadan", "Makanan Berbuka Puasa", "Iftar Ramadan" atau "Makanan Bersahur" sewenang-wenangnya yang boleh mengelirukan dan merumitkan pengguna Islam.
‘’Premis yang mendapat pengikhtirafan sijil halal telah diperiksa dan dijamin pematuhan halalnya”
‘’ Ini bagi mengelakkan daripada perkara yang was-was’’ kata Othman.
Sehubungan itu, beliau menegaskan pada ketika ini operasi pemantauan di premis-premis makanan serta hotel berjalan seperti biasa bagi memastikan mereka menawarkan juadah yang benar-benar mematuhi hukum syarak.
“Sekiranya didapati mereka tidak lagi mematuhi piawaian pensijilan halal yang ditetapkan, tindakan undang-undang juga boleh dikenakan ke atas mereka tanpa kompromi,” katanya.
Setakat ini, sebanyak 351 premis makanan, restoran dan dapur hotel gagal di peringkat permohonan atas faktor tidak menepati piawaian pensijilan halal Malaysia.
Antara faktor yang menjadi penyumbang tahap keruntuhan sesuatu piawaian sijil halal adalah masalah kebersihan ,premis yang menyediakan tidak halal dan apa jua yang diputuskan oleh Panel Pengesahan Halal Malaysia.
Berdasarkan statistik Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan JAKIM yang menjalankan pemeriksaan keatas premis makanan termasuk dapur hotel yang mengadakan promosi bufet Ramadan tahun lepas, empat premis telah dikenakan tindakan penggantungan Siil Pengesahan Halal, manakala empat lain diambil serta disiasat di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 dan tujuh premis diberikan amaran.
Halal Keutamaan Umat Islam
--mD
No comments:
Post a Comment