02 July 2014

Kementerian Pertahanan Tidak Lindung Pegawai Lakukan Kesalahan Di New Zealand

alt
KUALA LUMPUR 2 Julai - Kementerian Pertahanan tidak akan memberi perlindungan kepada mana-mana pegawainya yang didapati melakukan kesalahan termasuk dalam kes Pegawai Waran II yang didakwa membuat serangan seksual terhadap seorang wanita di New Zealand pada Mei lepas.  
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, justeru kementeriannya menyokong tindakan menarik balik imuniti diplomatik pegawai itu bagi membolehkan lelaki itu didakwa mengikut undang-undang New Zealand.
    
Katanya, pihaknya memandang serius tuduhan itu dan akan melakukan siasatan menyeluruh terhadap pegawai terbabit.
    
"Kami akan siasat dan bekerjasama dengan Kementerian Luar dan Kerajaan New Zealand dan akan memastikan mana-mana pegawai yang didapati bersalah akan dijatuhkan hukuman yang setimpal," katanya kepada pemberita selepas taklimat Jawatankuasa Khas Kabinet berhubung insiden MH370 di Parlimen, hari ini.
    
Hishammuddin mengulas kenyataan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman hari ini yang dilapor berkata Wisma Putra sedia menarik balik kekebalan diplomatik pegawai tersebut yang dikehendaki oleh pihak berkuasa New Zealand.
    
Muhammad Rizalman, 38, berpangkat Pegawai Waran II daripada Mindef yang dihantar bertugas selama setahun di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington itu ditahan polis negara berkenaan pada 9 Mei atas tuduhan cuba melakukan pecah rumah dan serangan seksual terhadap seorang wanita.
Dia dikatakan mengikut wanita berkenaan yang dalam perjalanan pulang ke rumah di Brooklyn pada malam 9 Mei lalu.
    
Bagaimanapun pegawai itu dikatakan menggunakan imuniti diplomatiknya  daripada menghadapi tuduhan jenayah di sana dan telah pulang ke tanah air pada akhir Mei.
Muhammad Rizalman sepatutnya dijadualkan untuk hadir ke mahkamah pada 30 Mei lalu bagi memberi keterangan untuk menjawab dakwaannya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive