KUALA LUMPUR: Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, itu jelas ditunjukkan oleh persatuan badan bukan kerajaan (NGO) dari Pertubuhan Wanita Islam (PERTIWI) semalam.
Pertiwi membantu mereka dari golongan gelandangan di sekitar Kuala Lumpur yang kurang bernasib baik.
Antara bantuan yang dihulurkan berupa makanan dari Pertiwi Soup Kitchen, bantuan pakaian terpakai serta perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dari Pertiwi Health Services.
Hampir 80 peratus golongan gelandangan dan warga miskin di Ibu kota di sini dari kalangan rakyat Malaysia.
Sementara 20 peratus yang lain mereka yang dari luar negara seperti warga Indonesia, Bangladesh dan Filipina.
Ini dibuktikan apabila mereka diminta untuk menunjukkan kad pengenalan diri yang sah ketika ingin membuat pemeriksaan kesihatan.
Sementara itu, bagi menunjukkan sokongan padu kepada Pertiwi atas usaha mulia dari pihak mereka, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Pantai , YB Nurul Izzah Ibrahim turut serta turun padang bagi membantu mereka yang memerlukan.
Nurul Izzah menghulurkan bantuan makanan kepada mereka yang serba kekurangan berhampiran Tune Hotel di Ibu Kota malam tadi.
Bercakap mengenai kata-kata yang dilemparkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Tengku Adnan Tengku Mansor yang menyifatkan pemberi dan penerima sedekah bakal dikenakan hukuman denda sebanyak RM150.00, ini pendapat Nurul Izzah.
‘’Saya rasa Tengku Adnan tidak menghayati erti pemberian sedekah yang sebenarnya, masih ramai warga kita sendiri yang masih merempat dan memerlukan bantuan daripada kita’’, tambah beliau.
Hadir sama, YB Teresa Kok yang juga Ahli Parlimen DAP.
Teresa yang hadir dengan berpakaian sederhana malam tadi berkata, program dan bantuan seperti ini harus diteruskan bagi membantu mereka yang mengalami kesempitan hidup akibat dari peningkatan kos sara hidup yang kian meningkat.
Beliau turut melontarkan kata-kata agar Tengku Adnan dapat memikirkan semula akan apa yang diperkatakannya itu.
Pertiwi akan membantu warga kota yang miskin pada setiap hari Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad pada jam 9.30 malam sehingga 11.30 malam.
Seterusnya mereka akan bergerak ke destinasi yang berikutnya iaitu Kota Raya.
Manakala Selasa dan Khamis adalah bantuan daripada individu dan perseorangan.
Mereka yang memerlukan bantuan boleh datang di sekitar Tune Hotel dan Kota Raya pada hari dan masa yang telah dinyatakan.
Pertiwi juga mendapat dana daripada orang ramai melalui pengiklanan yang dijalankan di laman sesawang dan portal rasmi mereka.
Pertiwi dirasmikan oleh Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Raja Nong Chik Zainal Abidin pada tahun 2011. - MD
No comments:
Post a Comment