05 July 2014

Tidak ada di dunia ini orang yang memberi sedekah dikenakan denda.


Kerajaan tidak perlu melaksanakan peraturan mendenda pemberi sedekah dalam usaha membersihkan ibu negara daripada pengemis dan gelandangan memandangkan peruntukan undang-undang sedia ada sudah mencukupi untuk menangani masalah itu, demikian menurut beberapa peguam.

Seorang peguam kanan di sebuah firma guaman, Datuk Dr Radzuan Ibrahim berkata, kerajaan hanya perlu fokus pada undang-undang sedia ada kerana ia sudah mencukupi untuk mengatasi masalah peminta sedekah dan gelandangan di ibu kota.

Bagi pengemis kanak-kanak serta orang tua yang bergerak melalui kegiatan sindiket, tindakan boleh diambil atas pertuduhan menipu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan sebatan serta denda, katanya kepada Bernama.




"Mereka boleh ditangkap dengan mudah dan ada antaranya dengan berani membawa surat daripada jabatan agama, sekolah tahfiz dan kementerian. Jika ditangkap dan disiasat tentang siapa penganjurnya (aktiviti mengemis) didapati dokumen adalah palsu," katanya.

Beliau berkata apa yang perlu dilakukan ialah penguatkuasaan secara serius kerana mereka mengemis secara terang-terangan di pusat beli belah, restoran dan stesen minyak.

Radzuan berkata demikian apabila diminta mengulas berhubung cadangan kerajaan mewujudkan peraturan bagi mendenda pemberi sedekah di ibu negara bagi mengatasi masalah itu.

Beliau berkata memandangkan perlakuan peminta sedekah dan gelandangan di negara ini berlaku secara terang-terangan, ia sepatutnya memudahkan pihak penguat kuasa mengambil tindakan mengikut peruntukan sedia ada.



"Bagi saya tidak perlu mewujudkan undang-undang khusus membabitkan pengemis ini sebab masalah orang miskin dan gelandangan sememangnya berada di bawah bidang kuasa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Untuk selamatkan mereka..itu adalah tanggungjawab kementerian terbabit yang perlu menyediakan tempat tinggal, pekerjaan dan pusat pemulihan bagi melatih mereka dengan kemahiran untuk memperbaiki diri," katanya.

Beliau berkata bagi pengemis yang membabitkan warga asing, kebanyakan mereka berada di negara ini tanpa visa dan mereka boleh didakwa di bawah Akta Imigresen.

"Jika pihak Imigresen tangkap mereka, setiap hari lakukan pemeriksaan, takkan ada lagi mereka ini...semua akan lari. Tidak susah untuk laksanakan," katanya.

Berhubung cadangan mengenakan denda RM150 kepada pemberi sedekah yang dijangka dilaksanakan tidak lama lagi, Radzuan berkata tindakan itu dianggap sebagai keterlaluan dan 'pemikiran yang tidak dinilai semula'.

"Islam sendiri menggalakkan umatnya bersedekah. Apabila adanya undang-undang tersebut ia seolah-olah menyekat masyarakat berbuat kebaikan," katanya.

Beliau berpendapat bagi mengatasi masalah ini, pihak kerajaan perlu memberi kesedaran dan membuat hebahan secara berterusan kepada orang ramai berhubung cara menyalurkan derma atau segala bentuk bantuan kepada pihak yang berhak.

Sementara itu, Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Universiti Malaya Dr Siti Zubaidah Ismail berkata selain peruntukan dalam Kanun Keseksaan bagi kes jenayah, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudahpun mempunyai Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Katanya, di bawah akta berkenaan, DBKL diberi kuasa untuk mengatasi masalah kacau ganggu di kalangan pengemis terhadap orang awam.

"Saya berasa undang-undang sedia ada telah cukup jika dilaksanakan dengan sempurna. Pengemis kadang-kala memberi gangguan kepada orang awam namun jika pihak kerajaan ingin membendung masalah ini, mereka perlu melihat dari pelbagai aspek termasuk mengkaji bagaimana dan punca lambakan pengemis," katanya.

Bagi cadangan mengenakan denda kepada pemberi sedekah, Siti Zubaidah berkata "ia pendekatan di luar kebiasaan."

Presiden Sukarelawan Peguam Untuk Semua (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat, turut tidak bersetuju dengan cadangan mengadakan peraturan itu kerana ia adalah satu bentuk tekanan bagi golongan miskin yang benar-benar memerlukan bantuan.

"Mungkin ada di antara pengemis yang terlibat dengan sindiket namun ia boleh diatasi dengan peruntukan yang telah ada dalam Akta Imigresen, Kanun Keseksaan dan beberapa akta di bawah JKM. Kerajaan bukan sahaja perlu menangani tetapi juga perlu mengkaji kemelut (pengemis) yang tidak berkesudahan ini," katanya.

Beliau turut berharap agar cadangan pelaksanaan denda terhadap pemberi sedekah tidak dilaksanakan kerana ia akan menjadi bahan ejekan.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive