Oleh Aspan Alias
“Kalau kita tidak berikan kepada PR memerintah Selangor dulu, keadaan seperti ini tidak akan berlaku. Seburuk-buruk BN tidak pernah mereka bergaduh di khalayak ramai diantara pemimpin-pemimpin mereka. Tak pernah nampak parti-parti dalam BN itu bergaduh sesama sendiri seperti parti-parti dalam Pakatan Rakyat” kata seorang yang saya baru kenali malam tadi
Nyata peniaga yang baru keluar dari masjid di Kelana Jaya ini amat terkilan dengan apa yang berlaku dalam PKR yang membuatkan beliau pening memikirkan apa yang berlaku di Selangor yang dimulakan oleh PKR itu. Saya hanya menganggukkan kepala untuk mendengar keluhannya dan ingin mengetahui siapa gerangan yang meminta kebenaran untuk duduk bersama saya kerana kekurangan kerusi dan meja di warung minuman itu.
“Kalau nak bergaduh dan berebut pun, tak usahlah didepan orang ramai. Tak boleh lagi bagi PR undi dalam pilihanraya akan datang ni. Macam si kudung dapat cincin lagak deme ni” sambungnya selamba kepada saya dan rakan saya yang ada bersama. “Kalau keluarga bergaduh sampai kedengaran oleh jiran ni, menunjukan ketua keluarga tidak betul!.....betul tak bro?” tanyanya selamba lagi.
Nyata orang yang saya baru temui ini merupakan orang yang begitu kuat menyokong PR dalam dua pilihanraya yang lalu dan seorang pengundi di Kelana Jaya. Suara-suara seperti ini sememangnya selalu saya dengar akhir-akhir ini. Seperti yang saya selalu sebut akhir-akhir ini mengumpulkan 30 orang ADUN untuk menandatangani sokongan kepada seseorang untuk jadi MB itu tidak bermakna menunjukkan sokongan ramai yang mengundi dahulu.
Saya bertanya secara jujur kepada kawan baru saya ini, “you pernah sokong BN dulu tak bro? Dia menjawab, “last sekali saya mengundi BN ialah semasa Tan Sri Megat Najmudin menjadi calon di sini. Lepas tu saya undi pembangkang. Nampaknya kena undi BN baliklah. Dulu saya pernah menjadi AJK UMNO Bahagian di sini” jawabnya tangkas dan baru saya ingat Megat Najmudin pernah menjadi ADUN di Kelana Jaya.
“Pakatan ni tak boleh pakai…jantan betina sama aje…sibuk berebut jawatan. Kita tak mahu singa lapar macam ni....lama-lama nanti kita pulak dibahamnya” sambil ketawa kecil.
Saya dapat memahami apa yang ada di dalam pemikiran rakan baru saya ini. Yang nyata sekali beliau memberikan sokongan kepada PKR dengan harapan baru tetapi beliau merasakan kekecewaan dengan tingkah laku pimpinan parti itu. Saya selalu dikritik kerana berpandangan sebegini tetapi dari hari ke hari pandangan saya yang dikritik ramai itu sudah mula menampakkan kebenarannya.
Justeru jika dulunya rakyat memilih Pakatan Rakyat kerana tidak berpuas hati dengan BN, kali ini jika BN dan UMNO kembali disokong ramai, ia juga adalah kerana dan sebab yang sama. Jika UMNO memakan masa berdekad untuk menjadi lemah, Pakatan Rakyat akan mengambil masa yang sangat singkat untuk berhadapan masalah yang sama seperti yang dihadapi oleh UMNO dahulu.
Hari ini hari penentu bagi Selangor dan kita hanya mengharapkan sesuatu yang boleh diterima ramai akan terjadi.
No comments:
Post a Comment