19 October 2014

Puting beliung berskala besar pernah landa Malaysia


Pusaran angin ‘gulung’ sawah padi





LANGIT daerah Kampung Alor Besar, Pendang, Kedah pada petang Selasa lalu cerah seperti biasa. Namun, awan gelap yang berarak memasuki ruang udara desa itu menimbulkan keresahan di sudut kecil hati seorang penduduk, Mohd Hafiz Abu Bakar.
Menyangkakan hujan lebat akan turun, dia yang sedang sibuk membersihkan kawasan bendang di belakang kediamannya lekas-lekas mengemas barang untuk pulang ke rumah.
Sekilas pandangan dialihkan, dia ternampak pusaran angin kuat bergerak laju menuju ke arahnya.
Dalam sekelip mata, bumbung rumah berterbangan di udara. Pukulan langsung angin ribut itu juga mengakibatkan pintu dan tingkap rumah tercabut. Bukan itu sahaja, pokok-pokok besar yang selama ini kuat dipasak tanah tumbang menyembah bumi dan menghempap sebahagian rumah di kawasan tersebut.
Lelaki berusia 31 tahun itu termangu-mangu seketika menyaksikan amukan alam itu, namun dia segera bergegas pulang tatkala teringatkan isteri, Norsila Aziz, 24, dan dua orang anak mereka yang masih kecil di rumah.
“Apabila sampai di rumah, saya tengok bumbung dan ­dinding rosak teruk dipukul pu­ting beliung. Saya amat bersyukur kerana isteri dan anak selamat,” ujarnya.

SEORANG penduduk Kampung Bendang Raja, Pendang, Kedah menunjukkan bumbung rumahnya yang diterbangkan ribut pada 15 Februari 2006.


Belalai darat
Sementara itu, cerita Norsila, dia dan dua orang anaknya berada di dalam bilik sebelum terdengar bunyi deruman angin kuat seperti helikopter.
“Kejadian itu amat menakutkan. Saya lihat sendiri banyak serpihan kayu dari bumbung jatuh di depan mata.
Seorang lagi penduduk, Rejab Ahmad, 64, berkata, pusaran angin yang tiba-tiba datang dari arah sawah padi bergerak menghala rumah penduduk sebelum masuk semula ke kawasan bendang.
Kejadian puting beliung yang pertama kali dilaporkan berlaku di kampung itu mengakibatkan lebih 10 buah rumah dan sebuah sekolah rendah mengalami kerosakan.
Sebelum ini, tiga kampung lain termasuk Kampung Bendang Raja, Kampung Perupok dan Kampung Padang Petani di Sungai Tiang, Pendang dilaporkan pernah dibadai belalai darat pada 15 Februari 2006.
Kejadian itu memusnahkan 20 buah rumah dan beratus-ratus pokok getah.
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), pada mulanya menyatakan, pusaran angin ribut dalam kejadian di Kampung Alor Besar baru-baru ini bukan puting beliung sebaliknya dikenali sebagai belalai darat atau land spout.
Bagaimanapun, selepas disiasat, Pegawai Meteorologi Kanan Pusat Cuaca Nasional MetMalaysia, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip mendapati, bencana yang melanda kampung berkenaan merupakan fenomena luar biasa akibat puting beliung yang pertama kali berlaku di negara ini.
“Kejadian puting beliung sesuatu yang asing di Malaysia sementelah negara ini bukan terdiri dalam kalangan negara yang menjadi laluan puting beliung.
“Apa yang berlaku di Pendang itu agak mengejutkan kerana kejadian itu melibatkan kemusnahan yang agak besar,” katanya.

PUTING beliung yang melanda Kansas, Amerika Syarikat pada 18 Mei 2013.


Menurutnya, pusaran angin itu merupakan puting beliung berskala besar berbeza dengan beberapa kejadian sebelum ini yang kebanyakannya adalah ribut berskala kecil.
Jelasnya, puting beliung itu boleh dikategorikan dalam EF1 mengikut skala Fujita dengan kelajuanangin antara 74 hingga 112 kilometer sejam (km/j) membabitkan kemusnahan sederhana termasuk dahan pokok patah, pokok kecil tumbang dan bumbung rumah tercabut.


“Saiznya juga lebih besar dengan ukuran lebar antara 20 hingga 50 meter (m).
“Lazimnya, yang biasa terjadi di negara ini adalah ribut skala EF0 dengan lebar 10 m dan kelajuan angin antara 40 hingga 73 km/j yang hanya menyebabkan kerosakan kecil,” katanya kepada kru Jurnal baru-baru ini.
“Dalam kes yang berlaku di Pendang, awan gelap yang terbentuk adalah berintensiti tinggi dan situasi itu akan menyebabkan fenomena seperti hujan batu, petir, kilat, guruh, angin kencang serta puting beliung mudah berlaku.
“Ada kemungkinan kejadian puting beliung berlaku sekali lagi” katanya.
Bertutur lanjut, Mohd. ­Hi­sh­am memberitahu, puting beliung biasanya mudah terjadi di tanah lapang dengan bentuk muka bumi mendatar serta tidak berbukit-bukau selain kawasan luar persisiran pantai.
“Kedudukan Pendang yang dipenuhi sawah padi menjadi antara faktor terbentuknya puting beliung di kawasan itu,” ujarnya sambil memberitahu, penumpuan angin juga akan terjadi di bawah kawasan awan petir itu.
Sementara itu, pakar fenomena iklim di Universiti Malaysia Sabah, Dr. Ramzah Dambul berkata, pertemuan udara panas dan sejuk secara serentak mencetuskan fenomena angin ricih.
“Sekiranya angin ricih berubah bentuk daripada melintang kepada menegak, angin kencang berbentuk corong akan terbentuk dan pusaran angin itu adalah puting beliung,” katanya.
Bagaimanapun, menurut Organisasi Meteorologi Dunia, kejadian yang berlaku di Daulatpur dan Saturia dalam wilayah Manikganj, Bangladesh merupakan bencana puting beliung tunggal paling buruk di dunia.





Perubahan iklim
Dalam laporan The Weather Channel, kira-kira 1,300 orang maut manakala 12,000 lagi cedera apabila putaran angin Daulatpur-Saturia berskala EF5 itu ‘menggulung’ wilayah itu menjadikan ia tidak ubah seperti padang jarak padang terkukur.
Lebih menakutkan, kejadian 26 April 1989 itu juga meninggalkan laluan sepanjang kira-kira 16 kilometer (km) panjang dan 1.6km lebar yang dianggap satu feno­mena di luar jangkauan pakar.
Di Amerika Syarikat (AS) pula, puting beliung Tri-State yang berlaku pada 18 Mac 1925 dianggap bencana terburuk dalam sejarah negara itu.
Puting beliung selama tujuh jam itu mengorbankan 700 nyawa dan meranapkan lebih daripada 15,000 kediaman di wilayah Illinois, Indiana dan Missouri.
Sebahagian pakar kaji cuaca menyalahkan cuaca ekstrem dalam perubahan iklim global berkaitan aktiviti manusia sebagai pencetus puting beliung.
“Perubahan iklim memainkan peranan dalam pembentukan puting beliung,” kata ahli kaji cuaca di Pusat Ramalan Ribut Agensi Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan Amerika (NOAA), Greg Carbin.
“Terdapat petunjuk hujan lebat di seluruh dunia dengan frekuensi lebih kerap menyebabkan iklim Bumi menjadi lebih panas,” jelasnya.
Purata hari yang mencatat 20 kejadian puting beliung meningkat dua kali ganda di AS kepada lima hari setahun sejak sedekad lalu berbanding tahun 1970-an.
Bagi hari dengan sekurang-kurangnya 30 kes puting beliung pula mencatat purata tiga hari setahun sejak sedekad lalu berbanding 0.6 hari pada tahun 1970-an.
Kajian itu yang melibatkan pemerhatian puting beliung dari tahun 1953 hingga 2013 itu dan disiarkan dalam jurnal Science mendapati bilangan ribut itu di AS kekal pada purata 495 kes setahun.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive