18 November 2014

Demonstrasi bantah harga petrol 31 Disember ini

Nov 18 2014 / Keadilan Daily
(Oleh: Lyn Nasir)

KUALA LUMPUR 18 NOV: Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli berkata Pakatan Rakyat akan mengadakan satu demonstrasi pada 31 Disember ini sekiranya kerajaan gagal menurunkan harga petrol dan diesel.
Tegasnya, demonstrasi yang akan dilancarkan itu merupakan susulan bantahan selepas berbulan-bulan pimpinan Pakatan Rakyat menggesa harga minyak diturunkan.
Namun menurutnya, bantahan itu tidak mendapat respon langsung daripada kerajaan Umno BN.
"Saya telah berkali-kali mengingatkan Barisan Nasional supaya berlaku adil dengan rakyat dan mengikuti konsep ekonomi yang ingin mereka laksanakan sendiri.
"Jika harga petrol dan diesel dinaikkan apabila harga minyak mentah naik di pasaran dunia, maka adalah adil bagi harga petrol dan diesel diturunkan apabila harga minyak mentah turun di pasaran dunia," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pandan.
Justeru, beliau menyeru kerajaan  menurunkan harga petrol RON95, RON97 dan diesel bermula 1 Disember 2014.
"Jika tidak saya dan rakan-rakan Pakatan Rakyat akan memimpin satu demonstrasi mendesak harga minyak diturunkan pada 31 Disember 2014 di Dataran Merdeka," katanya dalam satu sidang media di Parlimen hari ini.
Gesaan penurunan harga Petrol RON 95, RON97 dan diesel itu adalah selaras dengan penurunan harga minyak mentah di pasaran dunia sejak dua bulan lalu sebanyak 20 peratus.
Sebelum ini, kerajaan menggunakan alasan harga petrol terpaksa dinaikkan berikutan harga pasaran dunia yang tinggi. Namun alasan tersebut jelas Rafizi  tidak langsung boleh digunakan lagi.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive