(Oleh: Sidiqin Omar)
SHAH ALAM 13 Mei: Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor, Azmizam Zaman Huri berkata, lebih 25 tahun rakyat Selangor dan Lembah Klang dibebankan dengan bayaran di kedua plaza tol Batu Tiga dan Sungai Rasau.
Beliau berkata, meskipun Selangor terkaya di Malaysia, namun plaza tol yang banyak di negeri itu, membebankan pengguna jalan raya, khasnya golongan muda.
Jelas Azmizam, kos perjalanan pergi balik Shah Alam-Kuala Lumpur bagi kedua-dua tol itu berjumlah RM 4.20, yang membebankan kira-kira 120,000 pengguna kenderaan setiap hari.
“Sedangkan kos pembinaannya berjumlah RM357 juta. Telah 25 tahun syarikat konsesi membuat kutipan. Saya rasa sudah cukup lama. Kedua tol ini mesti dimansuhkan,” tegas beliau.
Sehubungan itu beliau menyeru supaya perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak mendengar bantahan mereka dan menutup dua plaza tol berkenaan.