Showing posts with label pemuda pas. Show all posts
Showing posts with label pemuda pas. Show all posts

05 November 2014

Fatwa Haram SIS: Pemuda PAS Sokong Mais

Diterbitkan: Rabu, 5 November 2014 3:35 PM

Muhammad Khalil Abdul Hadi

PETALING JAYA: Pendirian dan tindakan Sisters In Islam (SIS) selama ini mewajarkan ia diharamkan serta merta tanpa kompromi, demikian kata Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP), Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Malahan, DPP juga menganggap ketegasan terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu perlu kerana kedegilannya telah mencetus pelbagai polemik fahaman dan pegangan umat Islam di negara ini.

15 September 2014

Pemuda Pas dakwa Nik Nazmi cuba keruhkan keadaan




KOTA BHARU - Pemuda Pas Kelantan menyifatkan tindakan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad mendedahkan hasil pertemuan antara AMK dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai cubaan mengeruhkan kembali keadaan.
Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pertemuan antara ketua sayap Pemuda dalam Pakatan Rakyat (PR) yang bertujuan untuk mendamaikan keadaan dan suasana tidak seharusnya dihangatkan dengan pendedahan tidak sepatutnya.
“Saya terkejut apabila membaca kenyataan dikeluarkan Ketua AMK semalam, yang mendakwa Presiden Pas menyuarakan hasrat untuk mengekalkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor dalam pertemuan dengan Ketua Pemuda PKR minggu lalu.

07 July 2014

Pemuda PAS sahur dengan gelandangan

Pemuda PAS Malaysia (PPM) meluangkan masa mengedarkan dan bersahur bersama gelandangan dan musafir di sekitar stesen bas Pudu Sentral demi menyelami realiti dan keperitan kehidupan kumpulan itu di ibu kota.

Ketua Pemudanya Suhaizan Kaiat bersama timbalannya Khalid Abdul Hadi dan beberapa exconya mengagihkan 100 bungkus nasi dan minuman kepada kumpulan tersebut di sekitar stesen bas itu kira-kira jam 4.30 pagi ini.

Suhaizan berkata inisiatif mereka itu mendapat sambutan meriah apabila kumpulan itu berpusu-pusu menerima juadah yang dihulurkan malah bersila bersama pimpinan Pemuda bagi menikmati juadah itu.

"Tidak sampai sejam, nasi bungkus habis diedarkan dan kami merasa puas berkhidmat dan berbakti kepada warga kota.
"Sedikit pengalaman ini cukup buat kami merasai denyut nadi masyarakat bahawa ada segelintir mereka yang benar-benar tersepit dalam arus kemodenan dan kos hidup yang terlalu tinggi sehingga hanya mampu menjadikan perhentian bas, bawah jambatan, bangunan, lorong gelap sebagai kediaman mereka.

"Sebahagiannya pula hidup di tengah malam dengan melakukan pelbagai pekerjaan tetap atau sampingan bagi menampung keperluan keluarga," kata Suhaizan dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, kata Suhaizan, ramai gelandangan yang miskin berada di tengah kota dan mereka bakal dihalau atau didenda jika cadangan kerajaan menjadi kenyataan.- Malaysiakini
                       SELAMAT BERBUKA

25 May 2014

PRK Teluk Intan : Pemuda PR buat laporan polis, Zahid Hamidi ugut anggota RELA



_DSC2791
TELUK INTAN, 25 MEI: Pemuda Pakatan Rakyat (PR) hari ini telah membuat satu laporan polis terhadap tindakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengugut anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) supaya mengundi BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan.
Laporan telah dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Pinji Howard Lee Chuan How dan Pengarah Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS Perak Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar di Ibu Pejabat Daerah Hilir Perak, petang tadi.
Fakhrulrazi berkata, Zahid tidak sepatutnya menggunakan kedudukannya sebagai Menteri untuk mengeluarkan kenyataan demikian.

30 January 2014

PRK Kajang : Pemuda Pas komited bantu calon PR

SHAH ALAM - Selepas beberapa kenyataan membidas peletakan jawatan Adun Kajang, Lee Chin Cheh, hari ini Pemuda Pas menyatakan akan komited membantu rakan parti yang bertanding dalam PRK Dun Kajang.

Ketuanya, Suhaizan Kaiat berkata, walaupun peletakan jawatan Adun PKR itu tidak disokong, namun sokongan akan terus diberikan kepada calon PR bagi memastikan kemenangan berpihak kepada parti perikatan itu.

"Pemuda Pas tetap komited untuk membantu memenangkan calon PR.

"Mungkin kita tidak bersetuju pada perletakan jawatan, tapi kita juga tidak setuju jika kerusi itu terlepas dari genggaman PR," tulisnya dalam laman Facebooknya.

Terbaru, akhbar Sinar Harian melaporkan tindakan bekas Adun, Chin Cheh meletak jawatan terus mendapat pertikaian dalam kalangan Pemuda Pas.

05 March 2012

Pemuda PAS nak jumpa, nak bagitau Mahadet pasal Hudud

Nurul Nadia Mohd Kamaruzaman @ Sinar Harian
5 Mac 2012

KUALA LUMPUR - Dewan Pemuda Pas Pusat mahu mengadakan pertemuan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mendapatkan maklumat berhubung kenyataan bekas Perdana Menteri itu mengenai hudud.

Ketuanya, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, pertemuan itu adalah bagi menjelaskan kedudukan sebenar hudud kepada Dr Mahathir dan ingin bertanya tentang motif sebenar kenyataan beliau tempoh hari.

"Kami sudah menghantar surat rasmi kepada beliau (Tun Mahathir) tarikh dan masa sudah pun dicadangkan iaitu pada 12 Mac pada jam 11 pagi. Kami berharap beliau dapat memberikan respons positif.

12 August 2011

Isu MISMAH : Perhimpunan lepas raya jika KDN terus diam - Pemuda PAS

PUTRAJAYA – Pemuda Pas Pusat memberi tempoh tujuh hari bermula semalam kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menjelaskan isu ‘Mismah’ dan beberapa nama lain yang didakwa sebagai penduduk tetap tetapi diberikan status warganegara dalam tempoh yang singkat.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pemuda Pas, Mohd Sany Hamzan berkata, jika KDN tidak memberi sebarang respon kepada tuntutan Pemuda Pas ini, maka langkah seterusnya adalah menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk tindakan seterusnya.

Menurutnya, jika Perdana Menteri pun tidak memberi sebarang respons, maka Pemuda Pas akan mengadakan satu perhimpunan aman selepas perayaan Aidilfitri nanti.

08 August 2011

Purtajaya perlu serius bendung usaha pesong akidah Islam - Pemuda PAS

KUALA LUMPUR, 8 Ogos — Tegas mempertahankan pendirian kepimpinan tertinggi PAS dalam isu serbuan ke atas sebuah gereja minggu lalu, sayap pemuda parti Islam itu menggesa Putrajaya untuk mengambil langkah proaktif untuk memastikan umat Islam tidak terpesong akidah dan murtad.

Ketuanya Nasrudin Hassan berkata, Putrajaya melalui agensi-agensi agama perlu menjaga kebajikan dan keperluan asas umat Islam yang miskin dengan menyalurkan bantuan yang sepatutnya.

31 May 2011

Pemuda PAS, Umno dan ahli agama sepakat tolak fitnah video seks

Pemuda PAS dan Umno serta ahli agama hari ini menegaskan menolak budaya fitnah, termasuk dalam isu video seks yang didakwa mirip Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berkongsi pentas dalam forum antifitnah di Shah Alam hari ini, mereka mengulangi desakan supaya pihak yang menayangkan video tersebut dikenakan tindakan yang sewajarnya.

Mengulas perkara itu, Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin (kiri) yang juga ahli parlimen Rembau berkata, beliau tidak bersetuju dengan tindakan mengaibkan mana-mana ahli politik.

29 March 2011

Video sex : Boleh siasat, tapi guna qazaf - Ketua Pemuda PAS

KUALA LUMPUR, 29 Mac — Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan at-Tantawi berkata parti Islam tidak takut pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung rakaman video seks yang didedahkan awal minggu lalu, didakwa melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita tidak takut pada siasatan. Malah saya yakin Datuk Seri Anwar (pun) tidak pernah takut pada siasatan, malah kini beliau juga sedang berdepan dengan siasatan dan pembicaraan panjang di mahkamah mengenai isu liwat.

“Kini beliau berdepan pula isu fitnah zina. Cuma apa yang saya mahu tegaskan ialah, ikut panduan dan pedoman Islam," kata Nasrudin dalam satu kenyataan dikeluarkan mengulas pandangannya disiarkan dalam Utusan Malaysia hari ini.

Rakaman video seks itu, yang tiga “Datuk T” mengakui bertanggungjawab ke atasnya, dipertontonkan kepada wakil media awal minggu lalu. Polis kini sedang menyiasat perkara tersebut termasuk telah mengambil keterangan daripada tiga “Datuk T”.

Akhbar itu memetik Nasrudin antara lain berkata, beliau bersetuju agar kerajaan menubuhkan sebuah suruhanjaya diraja bagi menyiasat skandal rakaman itu secara menyeluruh dengan berteraskan prinsip kebenaran, keadilan dan ketelusan.

Dalam penjelasan hari ini, Nasrudin berkata, menuduh mesti berbukti dan bersaksi menepati kehendak prindip Islam.

“Siasatan dan pembicaraan mesti adil. Jika dari mula plot dan dramanya adalah untuk mengaibkan dengan membuat pendedahan separuh terbuka supaya ia menjadi fitnah dan memalukan, saya bimbang siasatan yang dibuat hanyalah untuk membenarkan drama fitnah tersebut,” kata beliau.

Sehubungan itu kata beliau, semua pihak mesti kembali kepada Allah swt dengan penuh ketaqwaan dan bertindak berasaskan iman.

Kata Nasrudin, beliau siasatan mesti berpaksikan keadilan kerana tanpa keadilan atau tanpa mengambil kira ketetapan yang telah ditetapkan oleh Islam, bukan sahaja tindakan itu tidak Islamik malah keadilan tidak akan tercapai dan apa yang paling besar ialah penuduhnya berdepan dengan hukuman qazaf.

“Justeru menuduh tanpa mendatangkan saksi dan bukti yang jelas mengikut piawaian yang ditetapkan oleh syarak,” katanya lagi. Nasrudin berkata, kalaupun mereka dakwa bahawa memiliki bukti iaitu klip video aksi seks, “siapa saksinya sewaktu adegan seks itu berlaku.”

“Cukupkah empat orang saksi? Kalau cukup mana saksi-saksi itu? Datuk T ? Tu baru tiga orang. Itu pun, mereka saksikan berdepan atau hanya saksi melalui rakaman video?

“Dan apa yang paling penting dalam isu ini ialah kenapa mereka tayang kepada wartawan terlebih dahulu? Kenapa tidak siasat dulu secara tertutup?” katanya. Nasrudin menambah, adakah mereka sengaja mahu memfitnah dan mengaibkan orang dan sama ada mereka faham atau tidak erti qazaf.

“Atau... diperbuat daripada apakah kulit belakang mereka sehingga memandang rendah kepada qazaf? Apakah tiada hitungan dosa pahala dalam tindakan? Tidak terfikirkah pula azab seksa Allah?” katanya lagi.

Sehubungan itu Ketua Pemuda PAS berkata beliau bersetuju benar kenyataan bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengenai isu ini. “Apakah iklim politik negara kita mahu diseret dalam kancah politik fitnah dan lucah sebegini? Apakah sudah kehabisan strategi dan kelicikan berpolitik sehingga mengambil kaedah keji dan hina ini?” katanya.

Mengenai penubuhan suruhanjaya siasatan, Nasrudin berkata beliau menegaskan kepada akhbar berkenaan bahawa beliau tidak mahu bercakap soal mekanisme kerana soal penubuhannya adalah soal mekanisme.

“Apa yang saya mahu tegaskan ialah soal prinsip. Prinsipnya ialah, yang menuduh apalagi yang memfitnah mestilah mengemukakan bukti dan saksi yang jelas mengikut kehendak Islam, saksi zina mestilah empat lelaki yang adil.

“Apa yang saya kesal ialah, tuduhan dan fitnah telah dibuat dan didedah merata — riti kepada umum kemudian baru bercakap soal nak siasat oleh pihak yang mendedahkannya. Ini tidak betul,” katanya. Nasrudin berkata, prinsip yang mesti dipertahankan dalam siasatan ialah keadilan.

“Jika tubuh suruhanjaya siasatan tetapi tidak ditegakkan prinsip keadilan tadi maka tiada ertinya. “Siasat untuk membenarkan fitnah, siasat untuk membenarkan pengkhianatan tanpa berpaksikan prinsip keadilan atau mencari keadilan dengan amanah, jujur, telus adalah salah dan tidak boleh diterima,” katanya.

Kata Nasrudin, setelah dibuat tuduhan dan fitnah sedemikian rupa dan pendedahan memalukan dibuat sedemikian rupa baru bercakap soal siasatan dan penubuhan suruhanjaya, beliau bimbang suruhanjaya itu ditubuhkan hanya untuk membenarkan fitnah bukan mencari keadilan - TMI

06 March 2011

Guling kerajaan: Pemuda PAS cabar Muhyiddin tunjuk bukti


KUALA LUMPUR, 5 Mac — Pemuda PAS mencabar Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar mengemukakan bukti kononnya pembangkang mahu menggulingkan kerajaan dengan menggunakan ‘modal’ kebangkitan rakyat di rantau Timur Tengah dan dunia Arab.

“Dewan Pemuda Kelantan mencabar Tan Sri Muhyiddin supaya mendatangkan bukti yang jelas terhadap tuduhannya yang menyatakan pembangkang sedang menghasut dan memprovokasi rakyat bagi menggulingkan kerajaan seperti yang sedang berlaku di negara Asia Barat,” kata Ketua Penerangan Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari hari ini.

Semalam, Muhyiddin memberi amaran kepada pembangkang supaya tidak bermain api dengan menghasut rakyat menggulingkan kerajaan seperti yang sedang berlaku di Timur Tengah.

Muhyiddin berkata tindakan pemimpin pembangkang membandingkan Malaysia dengan negara-negara tertentu yang sedang menghadapi krisis politik itu adalah sesuatu yang amat tidak bertanggungjawab.

“Ini provokasi pembangkang... tidak bertanggungjawab, tidak demokratik dan sengaja mahu membuat huru-hara bila mana buat perbandingan situasi di Malaysia bila semua orang tahu, adalah negara yang aman, makmur dan membangun dengan pesat, rakyat jelata menikmati kemajuan yang agak tinggi berbanding negara itu,” katanya.

Ahmad Fadhli juga berkata Dewan Pemuda Kelantan menyifatkan kenyataan tersebut sebagai satu tuduhan rambang dan berniat jahat selain bertujuan untuk memburuk-burukkan Pakatan Rakyat di mata rakyat Malaysia khususnya di Kerdau dan Merlimau yang menyaksikan pilihan raya kecil.

“Dewan Pemuda Kelantan ingin menyatakan bahawa Pakatan Rakyat selaku pembangkang di Parlimen sentiasa menjunjung amalan demokrasi sihat yang dijamin oleh perlembagaan.

“Hakikatnya, yang sering mencabul demokrasi ialah Barisan Nasional yang seringkali bertindak di luar daripada lunas-lunas demokrasi,” kata beliau.

Kata beliau, sebelum Muhyiddin menuding jari ke atas pembangkang, beliau perlu menjelaskan tindakan-tindakan BN yang tidak demokratik seperti menubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di negeri-negeri diperintah Pakatan Rakyat.

Malah kata beliau, tindakan tidak demokratik juga tercermin melalui tindakan BN yang menafikan royalti minyak sebelum ini kepada negeri Terengganu sewaktu diperintah oleh PAS dan sekarang Kelantan yang menerima nasib yang sama.

“Adakah tindakan menyertai pilihan raya dan membuat penjelasan kepada rakyat agar tidak mengundi Barisan Nasional merupakan satu tindakan yang salah?

“Jika demikian, apa pula penjelasan Tan Sri Muhyiddin terhadap tindakan Pergerakan Pemuda Umno Kelantan yang melancarkan Gelombang Merah yang jelas ingin menggulingkan kerajaan negeri Kelantan?” katanya.

Justeru, Ahmad Fadhli juga berkata Dewan Pemuda Kelantan menuntut agar Muhyiddin menyatakan secara terperinci tuduhan yang dilemparkan oleh beliau.

“Jika tidak, jelas sekali tuduhan tersebut hanyalah merupakan tuduhan rambang dan bertujuan memfitnah Pakatan Rakyat,” katanya lagi. - TMI

14 October 2010

Jom ke Bkt Jalil malam ni - Pemuda PAS dan mahasiswa turun ramai2 bantah konsert Adam Lambert

Dewan Pemuda PAS dan aktivis mahasiswa akan turun beramai-ramai ke Stadium Putra, Bukit Jalil malam ini bagi membantah persembahan konsert artis 'gay', Adam Lambert.

Pegawai media Dewan Pemuda PAS, Fadhil Osman berkata, pihaknya menyeru ahli dan penyokong parti itu supaya turun beramai-ramai bagi menjayakan protes tersebut.

"Kami akan mengedarkan kira-kira 5,000 risalah membantah konsert Adam Lambert," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan satu solat hajat di surau berdekatan stesen STAR Bukit Jalil, diikuti dengan ucapan barisan kepimpinan Pemuda PAS, membantah konsert tersebut.

Sementara itu, Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis) dan Solidiriti Mahasiswa Malaysia (SMM) akan mengerahkan kira-kira 500 siswa di sekitar Lembah Klang untuk hadir membantah konsert tersebut.

Setiausaha SMM, Mohd Ridzuan Othman berkata, bantahan malam ini akan diketuai oleh pengerusi majlis politik nasional Gamis, Ahmad Shukri Razak.

Ditanya mengenai bantahan yang sama oleh Pemuda PAS, beliau berkata, perhimpunan anjuran pihaknya itu akan berlangsung secara berasingan.

"Bagaimanapun, kami akan menyertai majlis solat hajat bersama Pemuda PAS," tambahnya.

Mohd Ridzuan berkata, risalah juga akan diedarkan kepada orang ramai yang datang ke konsert tersebut.

"Kira-kira 2,000 risalah membantah konsert itu telah dicetak untuk diedarkan malam ini," tambahnya.

Peserta perhimpunan itu juga akan membawa beberapa kain rentang membantah penganjuran konsert Adam Lambert - mkini

23 August 2010

Pemuda PAS promosi "Nikah Gantung"

KUALA LUMPUR, 23 Ogos — Dewan Pemuda PAS Pusat akan melancarkan kempen nikah khitbah atau nikah “gantung” — pasangan yang berkahwin tidak perlu tinggal bersama jika masih tidak mampu — sebagai salah satu cara mengatasi masalah membuang bayi.

“Nikah khitbah atau nikah gantung ini kita anggap dapat selesaikan masalah sosial.

“Ia sama macam nikah biasa cuma pasangan tidak tinggal bersama selepas nikah atas sebab tertentu seperti tidak mampu atau masih belajar,” kata Ketuanya Nasrudin Hassan Al-Tantawi di sini.

Beliau menambah menariknya bagi mereka yang telah bernikah gantung ini ialah tidak perlu risau setelah terlanjur kerana sudah pun bernikah.

“Mereka boleh bergaul secara halal dan kalau mengandung pun tidak akan panik lalu membuang bayi,” kata beliau merujuk kepada masalah pembuangan bayi yang menjadi polemik sejak kebelakangan ini.

Bagaimanapun beliau berkata, nikah “gantung” ini dianjurkan untuk mereka yang berusia 18 tahun ke atas atau pelajar universiti dan bukannya seperti cadangan perkahwinan bawah umur yang dianjurkan Majlis Agama Islam Negeri Melaka.

Kes buang bayi dan masalah kehamilan luar nikah di kalangan pelajar semakin menjadi sehingga membuatkan pelbagai pihak memberikan pandangan bagi mengatasi masalah ini.

Kerajaan Negeri Melaka telah membenarkan perkahwinan awal bagi remaja bawah umur yang berkemampuan berkahwin serta menubuhkan sebuah sekolah khas untuk pelajar hamil.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merumuskan bahawa lebih 80 peratus mereka yang didakwa terlibat dalam kes pembuangan bayi terdiri daripada orang Melayu.

Malah 13 dari 65 kes sepanjang tahun ini telah pun masuk proses pendakwaan di mahkamah dan semua yang tertuduh adalah orang Melayu.

Sebanyak 67 kes direkodkan pada 2005, dan disusuli 83 kes pada tahun berikutnya, 76 (2007), 102 (2008) dan 79 (2009).

Selain itu Dewan Pemuda PAS juga mencadangkan agar kerajaan pusat menubuhkan segera Suruhanjaya Sosial Negara bagi menangani masalah kebejatan sosial di kalangan golongan negara ini.

Nasrudin berkata peranan suruhanjaya ini adalah selaras dengan perjuangan PAS iaitu mencegah kemungkaran dan gunakan cara Islam sebagai jalan penyelesaian.

“Suruhanjaya ini adalah untuk menangani perkara-perkara yang melibatkan penyakit sosial seperti dadah, jenayah, keruntuhan akhlak, masalah remaja, serta media massa yang sebahagiannya tidak bertanggungjawab menyiarkan cerita tidak sopan yang membawa kepada gejala sosial,” katanya.

Dewan Pemuda itu juga meminta kerajaan menilai penggunaan perundangan syariah sebagai alternatif usaha membanteras masalah sosial ini.

Nasrudin berkata perundangan syariah ini menggunakan kaedah menyeluruh dari segi pendidikan, kawalan pencegahan dan perlaksanaan, bukannya hanya tertumpu dari sudut hukuman semata-mata dan tidak memaksa penganut agama lain.

“Undang-undang dan peraturan syariah bukan semata-mata terhenti ke atas hukuman.

“Ia terlibat dalam kawalan, pencegahan dan sebagainya. Bagi bukan Muslim, kita serahkan kepada undang-undang agama mereka jika ada dan jika mereka nak ikut, tiada masalah,” ujar beliau.

Menurut Nasrudin PAS, akan bekerjasama dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Islam lain bagi mengadakan Konvensyen Sosial Negara pada November ini bagi mengeluarkan satu deklarasi mengenai masalah sosial di kalangan muda negara ini.- THE MALAYSIAN INSIDER

12 April 2010

Pemuda PAS cabar Kickdefella buat lapuran SPRM

Oleh Mohd Zuharman

KOTA BARU, 12 April — Seorang penulis blog yang mendedahkan dokumen melalui blognya kononnya wujud penyelewengan dalam pengurusan parti dan kerajaan dicabar membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika yakin ada bukti kukuh.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari memberi respons tersebut terhadap beberapa siri tulisan salah seorang blogger sejak kebelakangan ini.
“Saya mencabar beliau jika beliau yakin terdapat penyelewengan dan salah guna kuasa dalam pentadbiran kerajaan negeri Kelantan di bawah kepimpinan Dato Nik Abdul Aziz selaku Menteri Besar.

“Menteri Besar seringkali membuka ruang pintu siasatan kepada SPRM sepanjang masa bagi membuktikan ketelusan pentadbiran dan kesediaan untuk disiasat jika terdapat mana-mana anggota pentadbiran yang terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa,” katanya melalui kenyataan dikeluarkan hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut nama blogger tersebut.
Difahamkan blogger tersebut adalah Kickdefella yang baru-baru ini mendedahkan penyelewengan kerajaan negeri berhubung urusan pelaksanaan projek pembalakan.

Ahmad Fadhli menyifatkan blogger berkenaan sebagai ‘seorang yang kecewa’ kerana tidak mendapat habuan yang diharapkan.

Beliau merujuk dakwaan terkini blogger berkenaan yang kononnya telah banyak membantu kerajaan PAS dalam pilihan raya.

“Beliau (blogger berkenaan) membuat pengakuan kononnya banyak membantu PAS dalam pilihan raya tetapi pengakuan tersebut langsung tidak disertakan dengan bukti dan fakta yang jelas.

Sinar Harian menyiarkan dakwaan blogger berkenaan mengenai perkara tersebut semalam.

“Saya penuh meyakini bahawa dakwaannya yang banyak membantu kempen PAS di Kelantan adalah merupakan satu pembohongan semata-mata.

“Hakikatnya, beliau lah yang mencari makan dengan kerajaan PAS selama ini.

“Kemungkinan apa yang beliau lakukan hanyalah semata-mata untuk memperagakan kebolehan di dalam mecari maklumat agar dibeli dengan harga yang mahal oleh pihak yang lain” ujarnya. - TMI

07 December 2009

UMNO makin kritikal : Pemuda PAS

Oleh Zukri Aksah

KUANTAN, Dis 7 — Baru-baru ini bekas Presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) dalam tulisannya telah mengutarakan pandangan yang Umno kini sudah sampai tahap busuk hingga ke usus.

Perkara ini bukanlah sesuatu yang pelik memandangkan Sasterawan Negara Datuk Shahnon Ahmad pernah mencerekakan kebusukan Umno dalam novelnya paling kontroversi, Shit pada akhir 1990-an. Ironinya, novel Shahnon ini ditulis ketika Dr Mahathir masih berjawatan sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri.

Mengulas tentang ini, Ketua Dewan Pemuda PAS Nasrudin Hassan Tantawi menyifatkan ia tanda Umno berada dalam keadaan sangat kritikal walaupun pada zahirnya kelihatan Datuk Seri Najib Razak, Presiden Umno dan Perdana Menteri sedang berusaha memulihkan parti itu ekoran prestasi dalam pilihan raya umum ke-12 Mac 2008.

Bagi Nasrudin, Dr Mahathir sudah tentu tidak akan menyiarkan pandangan bekas pemimpin kanan Umno tersebut sekiranya pandangan tersebut, yang berdasarkan komen seorang bekas pemimpin kanan parti, tiada wibawa dan tidak berasaskan bukti-bukti kukuh.

Dr Mahathir melahirkan pandangannya dalam blog beliau awal minggu lalu.

Nyata kehadiran Najib di puncak kepimpinan dengan idea-idea baru yang pada satu ketika nampak mempersonakan sebenarnya adalah perjuangan dan pertarungan Umno itu sendiri secara keseluruhannya untuk terus hidup dan bernafas.

Tambah Nasrudin, pendedahan berani Dr Mahathir ini meletakkan kepimpinan Najib dengan slogan 1 Malaysia di ambang kegagalan.

Usaha pembaharuan Najib, jelas Nasrudin sudah sangat terlambat kerana seperti kata Dr Mahathir, busuknya Umno ini sudah sampai ke usus.

Ini ketara dengan merudumnya kedudukan indeks rasuah negara ke tangga 52, pemilihan kalangan yang terpalit dengan rasuah sebagai pemimpin Umno dan pengurusan dana kerajaan yang tidak betul sebagaimana didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Sehubungan itu, Nasrudin menyeru agar rakyat mula membuka mata dan melihat bahawa Umno hanya berseloka dan slogan serta kata-kata indah yang dihamburkan cuma bertujuan memujuk dan menghiburkan hati.

Kenyataan Dr Mahathir, tegas Nasrudin bukanlah kenyataan penjual ubat kurap di tepi jalan.
Dr Mahathir adalah arkitek kepada penubuhan Umno Baru. Maka ia harus diperhatikan.

Kenyataan pedas Dr Mahathir ini jika dilihat senada dengan cadangan drastik Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Seri Tengku Ahmad Rithauddeen yang pernah menggagaskan supaya biro dan sayap-sayap dalam Umno iaitu Putera, Pemuda, Wanita dan Puteri dibubarkan.
Mungkin ini adalah cara membersihkan usus yang bermasalah yang pernah difikirkan oleh pemimpin veteran itu. - TMI

21 September 2009

Pemuda PAS bantah konsert Beyonce

Oleh G. MANIMARAN

PETALING JAYA: Pemuda PAS, yang pernah membantah konsert penyanyi Beyonce Knowles dua tahun lalu sehingga ia terpaksa dibatalkan, meneruskan pendiriannya dengan menggesa kerajaan membatalkan persembahan artis itu di ibu negara bulan depan.

Ketuanya, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, pihaknya mahu kerajaan menarik balik permit membolehkan konsert itu - Beyonce I Am... World Tour Live in Malaysia 2009 diadakan 25 Oktober ini.

"Dewan Pemuda meminta kerajaan dan kementerian yang bertanggungjawab agar menarik balik kebenaran (yang telah diberikan)... apa tujuan membenarkan konsert ini diadakan?

"Kita tidak mahu kebenaran kepada konsert yang menyuntik kerosakan moral dan akhlak muda-mudi," kata Nasrudin ketika dihubungi.

Selain membantah konsert itu buat kali kedua berturut-turut, Dewan Pemuda pernah menyatakan pendiriannya menentang persembahan Rihanna Live in Kuala Lumpur pada Februari lalu dan kumpulan Michael Lears To Rock awal bulan ini. Turut dibantah ialah konsert Mariah Carey.

Bagaimanapun Nasrudin berkata, pihaknya kemungkinan tidak sempat menghantar memorandum kepada kementerian terbabit kerana akan sibuk dengan pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, Negeri Sembilan awal bulan depan.

Penyanyi itu sepatutnya mengadakan konsertnya di Malaysia pada 2007 tetapi dibatalkan ekoran bantahan Dewan Pemuda PAS. Seterusnya artis itu mengalihkan lokasi konsertnya ke Jakarta.

Ketika itu Nasrudin merupakan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS.

Knowles yang terkenal dengan gerak tari bootylicious dijadual mengadakan persembahan julung kali di Stadium Nasional, Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur ialah salah satu destinasinya dalam siri konsert dunia yang meliputi Amerika Utara, Eropah dan Asia.

Penganjur konsert itu ialah Marctensia dan UCSI Communications.

Siri konsert dunia itu diadakan sempena pelancaran album ketiganya, I Am… Sasha Fierce yang merangkumi lagu-lagu hit seperti If I Were a Boy, Single Ladies (Put a Ring on It), Halo, Sweet Dreams dan Broken-Hearted Girl.

Nasrudin menambah, pihaknya tidak bercadang untuk mengadakan demonstrasi bagi membantah konsert itu daripada diadakan.

"Sebaliknya kami akan mengedarkan risalah bagi mendidik peminat-peminatnya daripada menghadiri konsert tersebut," kata beliau sambil menambah, risalah akan diedarkan di pintu masuk konsert itu diadakan kelak.

"Kita bukan antihiburan, bukan menentang semua bentuk hiburan tetapi membantah hiburan-hiburan yang mendorong kepada keruntuhan moral dan persembahan artis yang tidak bersesuaian," katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive