05 March 2012

Pemuda PAS nak jumpa, nak bagitau Mahadet pasal Hudud

Nurul Nadia Mohd Kamaruzaman @ Sinar Harian
5 Mac 2012

KUALA LUMPUR - Dewan Pemuda Pas Pusat mahu mengadakan pertemuan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mendapatkan maklumat berhubung kenyataan bekas Perdana Menteri itu mengenai hudud.

Ketuanya, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, pertemuan itu adalah bagi menjelaskan kedudukan sebenar hudud kepada Dr Mahathir dan ingin bertanya tentang motif sebenar kenyataan beliau tempoh hari.

"Kami sudah menghantar surat rasmi kepada beliau (Tun Mahathir) tarikh dan masa sudah pun dicadangkan iaitu pada 12 Mac pada jam 11 pagi. Kami berharap beliau dapat memberikan respons positif.


"Kami akan adakan dialog dengan beliau untuk menerangkan apa yang patut beliau tahu mengenai hudud," katanya kepada Sinar Harian Online.

Sebelum ini, Dr Mahathir dalam satu program bersama mahasiswa di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) baru-baru ini menyatakan bahawa hudud tidak ada dalam al-Quran dan pelaksanaannya tidak adil kerana dicipta oleh ahli fiqh.

Ketika ditanya pemberita, apakah reaksi peribadi Pas mengenai kenyataan itu, Nasrudin berkata, kata-kata Dr Mahathir itu nampak tidak benar sama sekali.

"Sebab itulah saya mahu adakan pertemuan dengannya, nak tahu apa motif dan niat sebenar beliau berkata begitu.

"Semoga pertemuan itu diterima baik oleh Tun Dr Mahathir supaya mudah untuk kami perjelaskan kedudukan hudud," katanya.

Dewan Pemuda Pas Pusat juga bercadang untuk mengadakan pertemuan dengan pengurusan The Star berhubung kontroversi berkaitan dengan konsert penyanyi Amerika Syarikat, Erykah Badu.

"Kami mahu The Star jelaskan pada kita, bagaimana mudahnya keluar gambar yang tida sepatut disiarkan, mengapa tidak diperhalusi penapisan.

"Jika ada kesilapan, kami mahu tegur supaya ia tidak berulang lagi. Kita akan turut menyatakan pendirian kita sebagai orang Islam terhadap isu-isu hiburan terutama jika ia boleh mencetuskan kontroversi," katanya.

Menurut beliau, surat bagi pertemuan tersebut telah dihantar hari ini dan hanya menunggu jawapan dari pihak berkenaan.

Artikel terdahulu : Mahathit kata tidak ada hukum Hudud dalam Al Quran

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive