15 November 2014

Misbun terima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah UTHM

Oleh: HAFIZAN TAIB
SABAK BERNAM, 15 NOV: Kerajaan Negeri berbangga dengan pencapaian Datuk Misbun Sidek menerima penganugerahan Sains Pembangunan Insan daripada Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), awal Oktober lalu.
Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata kejayaan diraih anak kelahiran Banting itu amat membanggakan rakyat dan Selangor.
“Satu pengiktirafan yang baik. Tahun lalu juga Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor baru sahaja memberikan pengiktirafan kepada Misbun sebagai ikon sukan negeri.
misbun sidek“Ia pengiktirafan kepada Selangor dan Misbun serta keluarga Datuk Sidek,” katanya kepada Selangor Kini.
Amirudin berkata, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu memanfaatkan segala kebolehan dan pengalaman dimiliki Misbun demi kemajuan badminton negara.
“Saya berharap BAM dapat menggunakan kemampuan dan kelebihan yang ditunjukkan Misbun bagi melahirkan pemain juara seperti Datuk Lee Chong Wei, Rashid Sidek dan ramai lagi,” katanya.
Misbun, 54, bekas jaguh badminton negara dianugerahkan ijazah kehormat itu dalam Majlis Konvokensyen ke-14 UTHM di Batu Pahat, Johor, yang disempurnakan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Kenyataan dikeluarkan universiti, anugerah itu dikurniakan bagi menghargai dan mengiktiraf sumbangan Misbun dalam pembangunan sukan tanah air khususnya badminton.
-NFN-

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive