27 November 2014

Suaram gesa inkues ke atas kematian Syed Mohd Azlan


HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: NGO Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menyifatkan kenyataan yang menyebut kematian Syed Mohd Azlan ketika dalam tahanan pada 4 Novermber berlaku secara tiba-tiba adalah sesuatu yang tidak masuk akal dan tidak berintegriti.

"Dalam sijil kematian yang dikeluarkan oleh Hospital Sultan Ismail tertulis si mati mati disebabkan oleh hentakan benda tumpul di dada dan bukan mati secara tiba-tiba," kata Suaram dalam satu kenyataan.


Tambah kenyataan itu, tindakan menyembunyikan kematian Syed Mohd Azlan daripada pengetahuan keluarganya telah menunjukkan seperti ada sesuatu perkara yang ingin disembunyikan.

Ini kerana ayah si mati telah dihalang untuk beliau berjumpa dengan anaknya.

Si mati diumumkan mati oleh pihak hospital pada 7.30 pagi dan ayahnya, Syed Mohamad Nur hanya dimaklumkan kematian anaknya pada jam 1.00 petang.

Justeru, Suaram menggesa pihak terbabit dibawa ke muka pengadilan sambil mempersoalkan bagaimana seseorang yang muda dan sihat tiba-tiba mati selepas ditangkap.

Suaram menggesa satu inkues dijalankan dengan segera ke atas kes kematian Syed Mohd Azlan untuk menentukan sebab kematiannya.

"Jikalau didapati terdapat kekerasan untuk menyeksa beliau semasa dalam tahanan, maka mereka yang terlibat perlu dituduh dan dihukum ke atas jenayah yang mereka lakukan," ujar kenyataan itu lagi.

Suaram juga menyeru pihak kerajaan meratifikasikan Konvensi Antarabangsa Menentang Penyeksaan oleh Bangsa-Bangsa Bersatu dengan segera dan menggubal undang-undang untuk mengharamkan penyeksaan. - HARAKAHDAILY 27/11/2014

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive